KLIA Landing Sight Area, lokasi melihat kapal terbang mendarat jarak dekat di KLIA yang tular sejak kebelakangan ini terpaksa ditutup sementara oleh pihak berkuasa, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) atas faktor keselamatan & lambakan sampah.
Menurut SinarPlus, kawasan tersebut dikatakan penuh dengan kehadiran pengunjung lebih-lebih lagi pada hujung minggu.
Mana tidaknya, ramai yang tidak mahu terlepas peluang untuk bergambar bersama pesawat yang mahu mendarat dengan jarak sangat dekat di KLIA Landing Sight Area ini.
Bagaimanapun, hanya kawasan landing sight area (di selekoh) ini sahaja yang ditutup. Beberapa 'spot' lain di sepanjang jalan ini termasuk juga Anjung Spotters masih lagi tiada tindakan.
Menurut perkongsian daripada saudara Are Peace, masih ramai pengunjung yang datang ke kawasan yang ditutup tersebut dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan sekaligus membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian warganet dan rata-ratanya yang belum sempat berkunjung berasa sedih kerana penutupan tersebut.
Malah, ada di antara mereka menzahirkan rasa marah kepada pengunjung lokasi itu kerana membuang sampah merata-rata.
Kami mohon untuk semua lebih cakna mengenai keselamatan diri sendiri & yang tersayang. Terutama apabila perlu bersesak di kawasan awam seperti sebelum ini, mohon tangguhkan hajat untuk bersiar-siar disebabkan bahaya penularan COVID-19 yang kita tak nampak.
Selain itu, pastikan anda mengambil berat keselamatan jalan raya dan mengutamakan kebersihan di kawasan yang dikunjungi.
Kredit Gambar & Informasi : Saudara Are Peace