Sekarang ini, antara salah satu ikon negeri Melaka adalah Masjid Terapung atau Masjid Selat yang dibuka sejak tahun 2006 di Pulau Melaka dan bernilai kira-kira 10 Juta.
Terbaru, nampaknya Melaka bakal memiliki sebuah lagi masjid terapung yang dianggarkan bernilai RM14 juta, terletak di Pulau Besar.
Buat masa sekarang, idea pembinaan masjid tersebut berada di fasa kertas kerja dan akan dihantar kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan.
Dikatakan, masjid tersebut akan menjadi salah satu masjid tercantik di dunia dan ia merupakan antara agenda dalam menjadikan Pulau Besar sebagai Pusat Tamadun Islam Melaka.
Untuk membangunkan masjid itu, kerajaan negeri Melaka bakal melancarkan Saham Wakaf Masjid Pulau Besar yang mana ia membolehkan orang ramai mendapatkan saham akhirat daripada sumbangan pembinaan masjid terapung tersebut.
Selain masjid, di bahagian Selatan Pulau Besar juga akan dibangunkan Sekolah Tahfiz yang boleh menempatkan 500 golongan cerdik pandai dalam bidang agama, selain turut merancang pembinaan Quran Village dan Muzium Islam sebagai bukti agama Islam bermula di Melaka.
Malah, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali juga dalam cadangan menjadikan kawasan Pulau Besar sebagai kawasan patuh syariah yang mana semua pengunjungnya nanti wajib menutup aurat.
Sumber : Melaka Hari Ini