Ada perancangan untuk bercuti sekitar Bandaraya Kuantan tetapi takut perlu keluarkan duit yang banyak, terutama bab penginapan ? Ha, Jangan risau sebab hari ini kami akan kongsikan 10 hotel pilihan kami di Kuantan dengan bajet bawah RM300.
Tetapi, kena ingat harga hotel ini fleksibel mengikut musim. Kadang kala kalau waktu cuti persekolahan harga hotel naik melampau-lampau. Itu kami tak boleh buat apa lah. Ini kami kongsikan hotel-hotel terbaik di Kuantan dengan kadar harga bawah RM300 pada waktu-waktu biasa.
Swiss-Belhotel Kuantan
Swiss Belhotel ini terletak di Tanjung Lumpur, Kuantan dan berkongsi bangunan dengan satu blok apartment yang mana kebanyakan unit apartment disitu turut dijadikan homestay dan disewakan kepada pelancong.
Walaupun tidak terletak berdekatan pantai yang cantik, tetapi lokasi hotel ini terletak di Tanjung Lumpur adalah sebab hotel ini salah-satu terbaik di Kuantan.
Tanjung Lumpur adalah salah satu kawasan paling banyak port makanan best di Kuantan. Misalnya, kawasan ini dipenuhi dengan restoran ikan bakar, celup tepung, gerai satar dan juga keropok.
Tanjung Lumpur juga terletak tidak jauh dengan Bandaraya Kuantan. Jadi, memang senang untuk berjalan-jalan dan cari makan.
Selain itu, unit hotel disini adalah unit apartment, jadi kesemuanya besar-besar. Unit paling kecil adalah unit studio yang lengkap dengan dapur dan kawasan makan.
Akhir sekali, fasiliti mereka bermula dari gimnasium, kolam renang semuanya terbaik. Siap ada bilik permainan untuk kanak-kanak.
- Harga Kebiasaan : RM 233 +
- Taraf : 4 Bintang
- Alamat : Swiss-Belhotel Kuantan, Jalan Tanjung Lumpur 1 Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan, Pahang
The Zenith Hotel
Jika anda menyukai bandar dan datang ke Kuantan atas urusan yang memerlukan anda berada di Pusat Bandar Kuantan, The Zenith Hotel adalah salah satu hotel pilihan kami.
Disebabkan lokasinya di tengah Bandaraya Kuantan, hotel ini mempunyai akses yang mudah untuk ke hospital, pusat komersial, kompleks kerajaan, kompleks membeli-belah ternama seperti East Coast Mall, Kuantan City Mall, & Berjaya Megamall serta kawasan pelancongan seperti Menara Kuantan 188.
Hotel ini juga terletak di bangunan yang sama dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah menjadikan hotel ini sebagai hotel perniagaan terbaik di Kuantan.
- Harga Kebiasaan : RM 293 +
- Taraf : 5 Bintang
- Alamat : The Zenith Hotel, Jalan Putra Square 6, Putra Square, 25200 Kuantan, Pahang
Swiss-Garden Beach Resort
Resort famili atau resort keluarga terbaik di Kuantan ! Jika anda mencari satu resort lengkap buat seisi keluarga, disinilah tempatnya. Lokasinya terletak di tepi pantai dan mereka mempunyai kolam renang serta taman tema air mini terbaik di Kuantan.
Memang sesuai untuk keluarga dengan kanak-kanak. Ibu ayah boleh tenangkan fikiran dengan berjalan di tepi pantai yang bersih, anak-anak pula boleh berseronok dengan pelbagai permainan dan gelongsor air.
Hotel ini juga lengkap dengan bilik permainan buat kanak-kanak beraktiviti dan menyerlahkan kreativiti mereka.
Harga Kebiasaan : RM 257 +
Taraf : 4 Bintang
Alamat : Swiss-Garden Beach Resort, 2656~2657, Mukim Balok Beach Beserah 26100, Kuantan, Pahang
AC Hotel by Marriott Kuantan
Dahulunya dikenali sebagai Hotel Vistana, kini dijenamakan semula sebagai salah sebuah hotel di bawah kumpulan Marriott-Bonvoy dan sebab itulah kami rekomendasi hotel ini.
Sebagai salah satu hotel di bawah jenama kumpulan antarabangsa, pasti hotel ini memberikan servis yang terbaik. Tetapi, hotel ini bertaraf 4 bintang sahaja, janganlah pula mengharapkan servis terlampau kayangan pula.
Hotel ini tidak menawarkan pemandangan pantai dan laut, tetapi lokasinya strategik di tengah bandar.
Untuk menempah hotel ini kami sarankan untuk anda tempah melalui laman web Marriott-Bonvoy untuk mendapatkan mata ganjaran yang boleh ditebus untuk apa-apa kelebihan nanti.
Harga Kebiasaan : RM 220 +
Taraf : 4 Bintang
Alamat : AC Hotel by Marriott Kuantan City Centre, Jalan Teluk Sisek, 25000 Kuantan, Pahang
Adena Beach Resort
Salah satu resort dengan pantai yang putih bersih di Kuantan adalah Adena Beach Resort. Kawasan resort ini pun agak luas dengan pelbagai jenis pilihan bilik dan chalet.
Terletak di Beserah, lokasi resort ini terletak agak jauh dari Pusat Bandar Kuantan. Tetapi, jika anda bercuti mencari pantai dan laut, buat apa nak dekat dengan bandar kan ?
Antara pantai awam yang boleh dikunjungi disini adalah Pantai Balok. Resort ini pula mempunyai 2 kolam renang untuk anda bermandi-manda.
Harga Kebiasaan : RM 120 +
Taraf : 3 Bintang
Alamat : Adena Beach Resort, Lot 1260 Mukim, 26100 Kuantan, Pahang
De Rhu Beach Resort
Resort ini terletak dengan jarak berjalan kaki sahaja untuk ke Pantai Balok. Walaupun hanya bertaraf 3 bintang, tetapi tarikan utama resort ini adalah 3 kolam renangnya dan taman tema air mini yang agak luas.
Harga Kebiasaan : RM 120 +
Taraf : 3 Bintang
Alamat : De Rhu Beach Resort, 152 Mukim Sungai Karang Balok, 26100 Kuantan, Pahang
The Colony @ Kuantan
Berbeza dengan hotel dan resort lain di dalam senarai ini, The Colony hanyalah sebuah hotel kecil di dalam sebuah bangunan rumah persis homestay. Bagaimanapun, setiap bilik di dalam rumah ini disewakan secara berasingan.
Walaupun hotelnya kecil, tetapi kemudahan dan fasiliti tetap lengkap dengan kolam renang.
Paling menarik, lokasi hotel ini yang terletak berdekatan Pantai Teluk Cempedak iaitu pantai paling terkenal dan meriah di Kuantan.
Harga Kebiasaan : RM 180 +
Taraf : -
Alamat : The Colony@Kuantan, 21, Lorong Selamat, Taman Kerjasama, 25050 Kuantan, Pahang
Hotel Sentral Kuantan
Terletak di kawasan persisiran Sungai Kuantan dan Menara Kuantan 188 yang terkenal, sekaligus menawarkan pemandangan yang indah dari tingkap bilik pengunjung menjadikan hotel ini layak masuk dalam senarai hotel pilihan kami.
Mana lagi nak dapat pemandangan seumpama ini di Kuantan kalau bukan di Hotel Sentral Kuantan. Mereka juga mempunyai restoran di aras bumbung (rooftop restaurant) untuk anda menikmati hidangan sambil melihat pemandangan.
Harga Kebiasaan : RM 108 +
Taraf : 3 Bintang
Alamat : Hotel Sentral Kuantan @ Riverview City Centre, 45, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang
Mega View Hotel
Hotel 3-3.5 Bintang yang direkomendasi oleh Agoda dan mendapat 'rating' tertinggi dari pengujung. Secara keseluruhan, hotel ini mendapat penarafan 8.4/10 dari 6,783 review yang diterima dan berada dalam kategori 'Excellent' di Agoda manakala rating di Google Reviews pula adalah 4.1/5.
Antara review paling tinggi bagi hotel ini adalah bagi tahap kebersihannya, lokasi yang strategik dan servis yang diberikan.
Harga Kebiasaan : RM 113 +
Taraf : 3 Bintang
Alamat : Hotel Mega View, 567, Jalan Besar, 25000 Kuantan, Pahang
Grand Darul Makmur Hotel
Sebelum ini dikenali sebagai M.S Garden Hotel yang telah dibuka sejak tahun 1995, menjadikan hotel ini sebagai salah satu 'Otai' di Bandaraya Kuantan.
Sebelum adanya hotel-hotel besar yang lain, hotel inilah antara hotel paling mewah di Kuantan, menjadi tempat persinggahan orang-orang besar & VIP di Kuantan satu masa dahulu.
Dengan taraf 4 bintang, hotel ini mempunyai 117 bilik 'deluxe' , 49 bilik 'Family Deluxe', 30 'Executive Suites' dan 4 'Premier Suites' & 'Penthouse'.
Walaupun sudah berusia hampir 30 tahun, tetapi penjenamaan semula dan renovasi dari masa ke masa menjadikan bangunan hotel ini dan hiasan dalamannya kekal relevan.
Harga Kebiasaan : RM 227 +
Taraf : 4 Bintang
Alamat : Grand Darul Makmur Hotel, Lot 5 & 10, Lorong Gambut, Off Jalan Beserah, 25300 Kuantan, Pahang