Seorang Wanita bekas housekeeping Hotel berkongsikan beberapa rahsia dan tips jika mahu bermalam di hotel, pastikan anda tahu akan rahsia dan tips-tips dibawah ini.
Biasanya bilik hotel akan dikemas oleh pekerja dalam jangka masa 30 minit atau kurang daripada itu. Oleh itu, ada kemungkinan kebanyakan peralatan di hotel mungkin tidak sebersih yang anda jangkakan meskipun ianya kelihatan berkilat dan kemas.
Rahsia 1 : Berhati-Hati Guna Gelas Di Bilik
Gelas di bilik anda mungkin berkilat. Tapi ia sebenarnya tidak bersih. Kebanyakan staff mengemas bilik tidak mencuci gelas itu, tetapi hanya mengelapnya saja. Dalam satu pendedahan oleh Fox News pada tahun 2007, kamera tersembunyi yang dipasang di hotel mewah sebuah bandar merakamkan yang gelas di bilik selalunya tidak dibasuh.
Kadang-kadang ia disembur dengan pencuci tingkap dan dilap dengan tuala kotor. Ada yang membersihkannya dengan menggunakan sarung tangan yang sebelum itu digunakan untuk mencuci mangkuk tandas. Pilihan terbaik? Bawa cawan plastik dari rumah. Jika tidak pun, cuci dahulu gelas dan cawan dengan air panas dan sabun sebelum menggunakannya.
Rahsia 2 : Elak Guna Cerek Air di Bilik
Memang best bila boleh membancuh teh dan kopi panas-panas di bilik yang sejuk dengan penghawa dingin, tambah pula di waktu pagi.
Tetapi dalam satu pendedahan di dalam majalah Saloon, seorang pengemas bilik mengakui yang ada satu perkara yang pelik mengenai cerek air. Cerek sebenarnya kerap dijadikan tempat meletak kond*m terpakai.
Menurutnya, beliau mempunyai satu pen yang digunakan khusus untuk mengambil kond*m tersebut. Begini rutin pembersihan beliau. Pertama buang benda tersebut. Kemudian sembur pencuci, bilas dengan air panas dan ulang jika lekit cecair masih ada.
Tambahnya lagi, beliau terlalu kerap menemui sisa tersebut di dalam cerek sehingga apabila beliau menjerang air di rumah, beliau kerap terbayang apa yang terjadi di bilik hotel.
Rahsia 3 : Pintu Hotel Mudah Dibuka
Tidak kisahlah sama ada anda bercuti di hotel bajet atau hotel mewah, bawa sendal pintu anda untuk keselamatan. Setiap kali anda berada di bilik, letak sendal di pintu.
Mengapa? Sebab tak kiralah betapa canggihnya sistem keselamatan pintu anda, ia tidak selamat seperti yang anda sangka. Sistem kunci rantai dan sistem kad elektronik mudah dibuk, tidak kiralah sama ada oleh orang luar ataupun staff hotel sendiri.
Jadi anda perlukan sendal. Walaupun murah, sendal pintu adalah cara paling efektif menghalang orang yang tidak dikenali dari masuk ke dalam bilik sewaktu anda, pasangan anda dan anak-anak sedang tidur.
Rahsia 4 : Jangan Guna Air Dari Paip Untuk Minum
Jika anda menginap lama di hotel, guna air mineral sebagai air minuman. Jangan gunakan air paip dari bilik air, terutamanya jika anda bercuti di kawasan yang mempunyai air tercemar dari sisa najis manusia dan racun serangga.
Rahsia 5 : Jangan Bersandar di Tingkap Bilik
Tingkap di bilik hotel selalunya tidak diperiksa dengan kerap, walaupun di bilik-bilik hotel mewah di dalam bangunan tinggi.
Setiap bulan, ada saja berita dari seluruh dunia mengenai kanak-kanak dan juga orang dewasa yang jatuh dari tingkap hotel.
5 rahsia ini hanya kakitangan hotel sahaja yang tahu. Jadi nanti bila anda bercuti lagi, pastikan anda bawa sendiri cawan anda dan gunakan air mineral untuk minum.
Gunakan tip praktikal di bawah ini supaya cuti yang sepatutnya menggembirakan tidak jadi mimpi ngeri.
Tips 1 : Pilih Tingkat Yang Betul
Tingkat paling bawah adalah antara tingkat yang patut anda jauhi terutamanya jika ia jauh dari lobi. Jika anda tidak dapat mengelak, minta agar diberi bilik yang pintunya menghadap kawasan dalaman hotel, dan bukannya menghadap jalan raya atau tempat letak kereta.
Ini kerana tingkat bawah merupakan sasaran mudah bagi mereka yang ingin memecah masuk ke bilik hotel anda.
Jauhi juga bilik-bilik di tingkat 6 dan ke atas kerana jika terjadi kebakaran besar, anda mungkin gagal diselamatkan. Ini kerana kebanyakan tangga bomba hanya boleh mencapai ke tingkat 5 atau 6 sahaja.
Bilik paling ideal adalah yang di tingkat 3 atau tingkat 4. Jika terjadi kebakaran, anda mudah diselamatkan. Bilik di sini juga tidak mudah untuk di akses oleh penjenayah seperti di tingkat lebih rendah.
Syarikat-syarikat antarabangsa yang telah berpengalaman dengan krisis jenayah kebanyakannya mempunyai kontrak khas dengan hotel agar diberikan bilik di tingkat-tingkat ini untuk staff mereka.
Tips 2 : Bawa Sendal Pintu
Alat keselamatan yang murah, ringan dan boleh dibeli di mana-mana. Benda mudah ini mungkin menjadi sebab anda selamat.
Secanggih manapun sistem keselamatan hotel anda, ia boleh dipecah masuk. Pilihan terbaik anda ialah gunakan dead-bolt di pintu bersama sendal pintu yang anda bawa sendiri dari rumah.
Setiap kali anda berada di bilik, selitkan sendal getah ini di bawah pintu bilik. Alat kecil dan murah ini akan menjadi penghalang terakhir jika penjenayah berjaya mematahkan semua sistem keselamatan yang dipasang di pintu bilik hotel.
Tips 3 : Biarkan Televisyen dan Lampu Terpasang
Membazir? Mungkin tidak. Membiarkan televisyen dan lampu terpasang apabila anda keluar memberi tanggapan kepada penjenayah yang anda masih berada di dalam bilik.
Jika anda perlukan khidmat housekeeping sewaktu di luar, biarkan lampu dan televisyen terpasang, dan letakkan notis “Jangan Ganggu” atau “Do Not Disturb” di tombol pintu. Sebelum keluar, telefon ke lobi dan beritahu mereka yang bilik anda boleh dibersihkan seperti biasa.
Ya, banyak hotel kini memerlukan keycard bilik diletakkan ke dalam slot kuasa di tepi pintu untuk memastikan sumber elektrik bilik anda terus terpasang. Jadi minta 2 kad bilik sewaktu anda mendaftar.
Alternatif kedua ialah dengan menggunakan apa-apa kad lain yang sama saiz (seperti kad lama yang tidak diguna lagi) untuk dimasukkan ke slot itu (Nota: Helah ini mungkin berjaya untuk hotel dengan sistem lama sahaja).
Tips 4 : Waspada Dengan Kamera Tersembunyi
Sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran kamera tersembunyi. Kamera pengintip yang dahulunya hanya digunapakai oleh pihak berkuasa kini mudah dibeli di laman web dengan harga yang murah.
Lebih menakutkan, kerana saiznya yang semakin kecil, kamera ini boleh disembunyikan di dalam lampu meja, kotak tisu, soket elektrik, pengesan asap, sehinggalah kepada objek kecil seperti pen.
Jika anda tidak mahu diri anda dirakam sewaktu di dalam bilik hotel, anda boleh membeli pengesan kamera tersembunyi yang ada di pasaran.
Tips 5 : Penyimpanan Barang Berharga
Sewaktu di bilik, pastikan barangan berharga seperti passport, wang atau dokumen penting tidak ditinggalkan. Tetapi jika anda terpaksa meninggalkannya, simpan atau sorok barangan anda. Antara caranya ialah menggunakan pita pelekat dan melekatkan dokumen itu di bawah laci meja atau tempat tersorok lainnya.
Pastikan juga laptop di simpan atau dikunci menggunakan kabel keselamatan jika anda meninggalkannya di bilik.
Jika anda mahu menyimpan barangan anda di peti besi bilik, uji peti besi itu terlebih dahulu. Ini kerana pihak hotel yang cuai kerap membiarkannya dengan kata laluan masterkey asal peti iaitu 000000. Untuk sesetengah hotel, dengan hanya menekan nombor tersebut, boleh menyebabkan pintu besi itu terbuka.
Jika ini terjadi, letakkan saja barangan anda di peti besi kaunter tetamu (untuk 3 bintang ke atas). Jika anda menghuni hotel bajet, anda perlu mencari alternatif lain.
Yang paling senan, jangan bawa barangan kesayangan anda sewaktu cuti.
Tips 6 : Kenali Hotel Anda
Selepas check-in, ambil masa untuk cari tangga kecemasan. Jika terjadi kebakaran, anda tahu di mana tempat menyelamatkan diri. Kebiasaannya peta laluan kecemasan (Evacuation Plan) ini diletakkan di belakang pintu bilik anda.
Ambil juga beberapa minit untuk membiasakan diri anda dengan sistem telefon di bilik anda. Pastikan ianya berfungsi supaya anda dapat terus membuat panggilan kecemasan bila perlu.
Jika tempat letak kereta menakutkan anda (banyak hotel mempunyai tempat letak kereta yang gelap dan sunyi), gunakan valet parking. Ia mungkin agak mahal, tetapi ia lebih selamat, terutamanya jika anda seorang wanita dengan kereta mewah.
Jika terjadi sebarang kecurian, buat laporan polis kerana sesetengah barangan berharga yang dibeli dengan kad kredit mungkin dilindungi insuran.
Tips Tambahan Untuk Wanita
Pengembara wanita yang berseorangan lebih digemari oleh penjenayah. Jika anda menginap bersendirian, anda kena lebih berhati-hati kerana anda merupakan sasaran kegemaran penjenayah. Ini kerana kaum wanita kerap membawa barang kemas berharga, lebih mudah dilemahkan, dan menjadi bonus untuk penjenayah yang mempunyai motif seks.
Pastikan sewaktu anda diberi kunci bilik, tetamu lain tidak tahu akan nombor bilik anda. Sewaktu menaiki lif, pastikan juga anda tidak bersendirian dengan tetamu lelaki lain. Jika anda diserang di dalam lif, tekan semua butang lif agar lif berhenti dan terbuka di setiap tingkat.
Jika anda ada sebarang urusan peribadi, buat urusan di kawasan orang ramai seperti di lobi atau di restoran di luar hotel.
Konklusi
Percutian bersama keluarga atau kerja di luar kawasan yang menyebabkan anda terpaksa menginap di hotel mungkin memenatkan. Tetapi apapun situasi anda, jaga keselamatan diri.
Akhir kata, walau dimana pun anda berada dan menginap di hotel, jaga lah keselamatan sentiasa. Tidak dinafikan memang ada banyak hotel yang betul-betul memberikan layan dan servis yang bagus dan hotel seperti ini selayaknya mendapat pujian. Oleh itu terpulanglah kepada kebijaksanaan anda untuk membuat pilihan yang tepat dan sesuai dengan anda.