Sejak sekatan perjalanan semakin dilonggarkan, semakin ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk kembali melakukan perjalanan untuk bercuti, pulang ke kampung dan sebagainya.
Peningkatan jumlah orang yang membuat perjalanan, terutamanya yang menggunakan pengangkutan awam secara tidak langsung mewujudkan beberapa isu akibat kurangnya kesiapsiagaan daripada syarikat pengendali ataupun operator pengangkutan awam.
Terbaru, penumpang sebuah pesawat Malaysia Airlines yang sepatutnya bertolak dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah pada Ahad, 8 Mei menjadi mangsa apabila pesawat tersebut mengalami isu teknikal sewaktu enjin dihidupkan.
Dikatakan bahawa pendingin hawa di dalam kabin pesawat tidak dapat dihidupkan kerana proses baikpulih sedang dilakukan, memaksa penumpang menahan kepanasan selama hampir 1 jam.
Salah satu video yang tular berkenaan insiden tersebut adalah daripada seorang pengguna tiktok @babahnadeen yang menunjukkan penumpang di dalam pesawat terpaksa mengipas diri masing-masing menggunakan makalah panduan keselamatan yang disediakan di kerusi pesawat.
Turut kedengaran adalah tangisan bayi yang merasa tidak selesa dengan suasana tersebut.
Susulan insiden itu, seorang penumpang memerlukan bantuan perubatan kecemasan.
Lebih teruk lagi, pesawat itu juga terpaksa kembali semula ke ruang menunggu (bay) selepas prosedur kali kedua untuk menghidupkan enjin gagal ketika melakukan ‘pushback’.
Penumpang kemudian dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 1.37 tengah hari dan selamat tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang.
Babahnadeen meluahkan kekecewaan dengan insiden yang berlaku memandangkan dia dan penumpang lain terpaksa berdepan situasi tidak menyenangkan itu selama hampir satu jam sebelum dimaklumkan perjalanan terpaksa ditangguhkan.
“Kapal terbang delay. Kan senang kalau cakap awal-awal tadi, kapal terbang rosak.. :ast-last delay, kapal terbang rosak.. pening kepala otak akulah.
“Kalau dah tahu macam ni keluarkan dulu penumpang. Bagi keselesaan kat diorang, bagi rasa aircond.. dudukla kat tempat awal-awal tadi.
“Ini kau tunggu lama-lama, kau sidai lama-lama. Matilah orang dengan anak-anak itu, berpeluh-peluh,, buka baju..menangis-nangis. Adoi pening la, bayar mahal-mahal bukan sikit,” luahnya.