Langkawi yang terdiri daripada gugusan 99 pulau di luar pantai Kedah, merangkul anugerah peringkat antarabangsa 'Asia Best Awards 2022' dan diiktiraf salah satu daripada Pulau Terbaik di Asia Tenggara baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, anugerah itu membuktikan usaha dan dedikasi berterusan pihaknya terutama sepanjang pandemik iaitu semasa ketibaan pelancong ke pulau itu berada pada tahap kurang memuaskan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pihak LADA tetap optimis dan memikul tanggungjawab memastikan pulau Langkawi berdaya tahan dalam perjalanannya ke arah pemulihan dan kekal menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai.
Sebagai agensi perintis dalam pembangunan pelancongan Langkawi, LADA memainkan peranan penting untuk menjadikan Langkawi destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal seperti sekarang.
Sementara itu, pihak LADA juga menjangkakan ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa berpotensi menggiatkan semula ekonomi dan merangsang pendapatan masyarakat setempat.
Bagi merealisasi hasrat ini, pihak LADA memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu Pelancongan Leisure (Antarabangsa & Domestik), Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dan Acara Pelancongan.
Pelan tindakan mereka merangkumi promosi pelancongan berkonsepkan hijau, mencipta pengalaman dan bertanggungjawab, insentif seperti membeli-belah bebas cukai dan mewujudkan tempat yang menarik untuk Instagram bagi memastikan kami dapat mengekalkan kedudukan Langkawi sebagai satu daripada pulau terbaik di Asia Tenggara.
Kejayaan manis itu turut diiringi berita gembira apabila Four Seasons Resort Langkawi turut menerima anugerah The Best Beach and Upcountry Hotel in Malaysia 2022.