Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bakal tamat 28 jun ini dilanjutkan atau sebaliknya bakal diketahui hari ini (27 Jun).
Status perkara itu dipercayai akan diketahui melalui pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media berkala.
Walaupun berita palsu berkaitan lanjutan PKP 3.0 tular pada Sabtu 26 Jun, namun dijangka bahawa PKP3.0 tidak akan beralih ke fasa dua dan akan terus berlanjutan di fasa satu melihatkan kepada situasi dan keadaan semasa COVID-19 yang tidak selari dengan nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah ditetapkan.
Jumlah positif COVID-19 melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut memberi bayangan pelaksanaan PKP fasa pertama bakal berlanjutan.
Berdasarkan PPN, PKP fasa pertama hanya akan berakhir jika purata kes COVID-19 berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut.
Selain itu, penilaian dibuat berdasarkan kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi telah divaksin.
Sekiranya PKP 3.0 disambung 14 hari lagi bermakna tempoh itu akan berakhir pada 12 Julai namun perlu diingatkan seminggu seterusnya umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha.
Ini membuatkan kerajaan berkemungkinan besar akan memanjangkan tempoh PKP sehingga sambutan perayaan itu bagi mengelakkan masyarakat melakukan aktiviti ziarah-menziarahi sekaligus mencetus kluster baharu seperti mana Hari Raya Aildilfitri.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (dua kluster).
Kredit : Astro Awani