Kalau cakap mengenai pelancongan di Negeri Pahang, ramai dari kita pasti terfikir mengenai Cameron Highlands, Genting Highlands, Cherating, Bukit Fraser dan Kuantan sahaja kan.
Sebenarnya banyak lagi tau tempat menarik di sekitar negeri terbesar Semenanjung Malaysia ini. Misalnya, kalau anda ke Pekan jangan lupa untuk melawat Muzium Sultan Abu Bakar (Muzium Pahang).
Apa yang menarik ? Selain daripada pameran pelbagai artifak sejarah, disini ada sebuah kafe bernama Kafé Belibis atau sering dipanggil Kafe Kereta Api. Mengikut makluman yang diterima, kafe tersebut adalah daripada 1 Lokomotif KTM Class 22 dan 3 koc yang diubah suai.
Beroperasi di bawah kelolaan Perbadanan Muzium Negeri Pahang sebagai salah satu inisiatif untuk memelihara sejarah Kereta Api Tanah Melayu (KTM) sebagai salah satu penyedia pengangkutan kereta api di Pahang, kafe berkonsep unik ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menjamu selera di dalam gerabak kereta api sebenar.
Kalau ruang di dalam koc keretapi penuh, masih banyak lagi tempat makan disediakan di bahagian luar. Kawasan ini pun cantik juga dengan senibina dan suasana ibarat stesen keretapi zaman kolonial.
Kafe yang dibuka sejak Januari tahun ini menyediakan menu sarapan pagi, makan tengahari dan minum petang dengan waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 7.30 malam.
Lokasi
?Kafe Belibis, Muzium Sultan Abu Bakar, Kampung Pancur, 26600 Pekan, Pahang
Kredit Gambar :@maliharamiza | @nooraznidamuhammad | @suenizam | @hellorayhere | Azura Ariffin