Meraikan tahun ke-84 dalam perniagaan, Kluang Rail Coffee secara rasmi telah disenarai ke dalam Malaysia Book of Records sebagai kopitiam kereta api tertua di Malaysia.
Pengiktirafan itu dirasmikan hari ini pada majlis penyampaian sijil yang diadakan di cawangan pertama Kluang Rail Coffee di stesen kereta api Kluang yang dibuka pada tahun 1938 di Jalan Stesen, Kluang, Johor.
Sejarah Penubuhan
Kluang Rail Coffee ialah perniagaan keluarga yang mula beroperasi sejak fasa awal Perang Dunia ke-2 dan telah bertahan dengan pelbagai cabaran yang mendatang, seperti pendudukan tentera British dan Jepun Tanah Melayu ketika.
Kluang Rail Coffee diasaskan oleh Lim Luan Hee pada tahun 1938 dengan hanya satu kati gula dan
beberapa tin susu. Pada asalnya Kluang Rail Coffe beroperasi sebagai kantin yang melayani penduduk dan kakitangan pejabat kerajaan sekitar semasa era tersebut.
Pada masa itu, kereta api merupakan pengangkutan & rangkaian komunikasi utama di Tanah Melayu. Dibina pada tahun 1909, stesen kereta api Kluang terletak di lokasi yang strategik berdekatan dengan balai polis, pejabat pos, pejabat telekomunikasi, hospital dan pejabat pentadbiran kerajaan.
Ini menjadikan kantin sangat terkenal, terutamanya sejak ia mula menghidangkan sarapan pagi dan secawan kopi seawal jam 6.30 pagi. Lama-kelamaan, kantin itu berkembang menjadi kopitiam atau kedai kopi pertama di daerah Kluang di bawah seliaan Lim Lim Heng Yong dan kemudian cucunya Lim Jit Chen.
Mengingati zaman mudanya, Lim Jit Chen (Jack) berkata evolusi masakan Hainan sangat dipengaruhi oleh cita rasa Inggeris dan Asia.
“Sebagai contoh, orang Inggeris mempunyai roti bakar dan jem untuk sarapan pagi. Pada masa itu (Perang Dunia 2), jem diimport dan mahal. Malah mentega juga adalah mahal. Oleh itu, sarapan tempatan berkembang untuk menawarkan roti bakar dengan mentega dan kaya (jem telur kelapa). Telur separuh masak bagaimanapun, adalah tambahan (elemen) Asia yang unik,” jelasnya.
Kluang Rail Coffee terkenal dengan kopi tradisional Hainan (dibuat biji kopi Liberica tempatan) dan roti bakarnya yang dihidangkan dengan mentega dan kaya.
Kluang Rail Coffee juga telah menyaksikan babak penting dalam sejarah negara, dari tahun-tahun awal Perang Dunia kedua dan Merdeka, hingga zaman Darurat Malaysia. Melalui semua itu, perniagaan ini tidak pernah goyah dalam komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan makanan mampu milik kepada masyarakat setempat.
Simbol Perpaduan Masyarakat
Kopitiam juga merupakan simbol budaya perpaduan, berkembang dari semasa ke semasa untuk memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia.
“Nasi lemak bungkus, yang dibuat oleh orang Melayu tempatan, adalah contoh yang bagus untuk ini,” tambah Lim Jit Chen.
Dengan semangat Muhibbah, Kluang Rail Coffee turut berbangga kerana menjadi pemegang sah sijil Halal JAKIM.
“Perniagaan akan berkembang mengikut peredaran masa, tetapi kita mesti terus menghormati warisan dan ini mesti dicerminkan dalam perkhidmatan kita kepada masyarakat. Kluang Rail Coffee, yang kami suka gelarkan sebagai ‘rail born’ dan betul-betul kopitiam Malaysia. Ia adalah outlet yang telah membawa begitu ramai rakyat Malaysia bersama-sama dengan begitu banyak kisah yang diceritakan dalam secawan kopi sejak 84 tahun yang lalu. Ia bukan hanya tentang minuman atau makanan, tetapi ia mengenai pengalaman dan ikatan yang dicipta di kalangan pelanggan kami.”
Fasa Sekarang
Walaupun stesen keretapi Kluang yang baharu telah dibina, bagaimanapun stesen keretapi yang lama masih lagi dikekalkan sebagai bangunan warisan dan dengan kewujudan Kluang Rail Coffee sebagai kopitiam keretapi tertua di Malaysia, telah menjadi tarikan pelancong bersejarah yang sangat popular di
daerah Kluang. Kluang Rail Coffee komited terhadap reputasi mercu tanda itu sebagai sejarah yang terkenal dan menjadi tarikan pelancong di daerah Kluang.
Pada tahun 2008, Lim Jit Chen dan sepupunya Lim Jit Tong bekerjasama untuk meluaskan perniagaan dengan pengenalan lebih banyak menu tempatan dan antarabangsa. Kluang Rail Coffe kini mempunyai empat cawangan di Kluang dengan lebih 70 kakitangan tempatan yang berkemahiran tinggi. Tiga lagi cawangan terletak di Jalan Duku, Jalan Tasik dan Sri Impian, kesemuanya di daerah Kluang.
Harapan Masa Hadapan
Melangkah ke hadapan, pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records akan menjadi batu loncatan untuk perkembangan Kluang Rail Coffee.
“Ia merupakan satu perjalanan yang epik daripada permulaan yang mencabar. Pengiktirafan yang kami terima hari ini adalah hasil daripada sambutan yang amat menggalakkan dan sokongan berterusan daripada penduduk Kluang. Justeru mereka sama-sama layak untuk mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records,” kata Lim Jit Tong, Pengarah Kluang Rail Coffee Sdn Bhd.
“Ia merupakan salah satu rahsia Kluang yang disimpan sejak 84 tahun lalu. Tindakan seterusnya bukan sahaja kami akan membawa jenama ini ke kawasan lain di Malaysia, tetapi kami juga akan mempromosikan lagi Kluang sebagai tarikan pelancong yang mesti dikunjungi.”
Ini akan dicapai berdasarkan dedikasi dan komitmen Kluang Rail Coffee untuk menyediakan Kopi & makanan yang terbaik, untuk membina hubungan dan pengalaman pelanggan yang tidak dapat dilupakan, diserta dengan harga berpatutan.