Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang bermula 4 Ogos 2022, mencatatkan nilai jualan lebih RM10 juta sehingga 8 Ogos 2022.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah pengunjung juga memberangsangkan dengan kehadiran hampir setengah juta orang setakat Selasa.
"Penganjuran MAHA ini bukan sahaja dibuat secara fizikal tetapi juga secara virtual, jumlah pengunjung yang mengakses melalui microsite Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga lebih 200,000.
"MAHA ini walaupun diadakan dua tahun sekali tetapi kita berpuas hati dengan sambutan pengunjung secara virtual dan fizikal. Sasaran kita pula adalah untuk kutipan nilai jualan sebanyak RM250 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Malaysia Fish and Seafood Exposition 2022’ (MySE 2022) sempena MAHA 2022 di MAEPS.
Mengenai MySE 2022, Ronald berkata, ia merupakan platform bagi pengusaha dalam sektor dan subsektor perikanan menembusi pasaran antarabangsa.
"MySE mempamerkan produk laut yang diusahakan pengusaha tempatan dan tentu sekali kita harapkan produk-produk ini dapat menembusi pasaran antarabangsa.
"MAHA menemukan mereka (pengusaha) dengan pelbagai ejen pengimport dari luar negara dan entiti lain untuk mengangkat produk-produk mereka dan mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.
Penganjuran MySE bertujuan untuk mempromosikan makanan dan teknologi subsektor perikanan oleh pengusaha tempatan dalam usaha meneroka potensi pasaran baharu.
Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pengunjung mengetahui keunikan hidupan marin dan aplikasi teknologi rantaian bekalan makanan.
MAHA 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’, diadakan secara hibrid sehingga 14 Ogos ini.- Bernama