Umat Islam di negara di Malaysia kembali dibenarkan mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini selepas kabinet memutuskan perkara tersebut.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron COVID-19,
Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah, selepas ini.
"Baru tadi kami buat keputusan sepertimana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh kabinet.
"SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari tanah suci) nanti mereka (jemaah) dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan," katanya kepada media selepas pelancaran Video Dream Malaysia melalui kerjasama Tourism Malaysia dan GoPro Malaysia.
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
Mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Februari ini, Nancy berkata, ia belum diputuskan lagi.
"Mungkin agensi pelancongan umrah sudah mengetahui sebab kami juga sudah mengadakan perjumpaan dengan mereka tidak sampai dua minggu lalu.
"Saya rasa mereka sudah membuat persediaan untuk aktiviti atau promosi mereka selanjutnya," katanya.