Malindo Air kini secara rasminya dijenamakan semula sebagai Batik Air. Perubahan itu telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang telah memberikan Malindo Airways Sdn Bhd Sijil Pengendali Udara (AOC) untuk beroperasi sebagai Batik Air.

Dikatakan penjenamaan semula itu dilakukan agar selari dengan matlamat syarikat induknya, Lion Air Group untuk mewujudkan identiti bersama bagi kesemua syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dalam kumpulan itu. Syarikat penerbang itu juga menyatakan bahawa proses keseluruhan pertukaran nama akan dilakukan secara berperingkat.

Sebagai info, nama Malindo Air adalah simbolik kepada kerjasama antara Mal aysia dan Indo nesia. Sebaliknya, Batik Air adalah nama syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang dikendalikan oleh kumpulan itu di Indonesia manakala Kumpulan Lion Air juga mengendalikan beberapa syarikat penerbangan lain termasuk Wings Air, Lion Bizjet, Thai Lion Air, dan Lion Air.

Ura-ura berkenaan perubahan nama ini sebenarnya telah bertiup sejak tahun 2017 lagi, namun baru sahaja dapat direalisasikan sekarang.