Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bermula hari ini bagi semua pengangkutan awam di Lembah Klang.

Berita gembira itu disampaikan oleh Perdana Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu, hari ini.
“Setiap hari banyak aduan berkaitan kesesakan lalu lintas melampau di ibu kota dan kerajaan bersetuju menyediakan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam itu.
“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat.
“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kg Batu, di sini hari ini.
“Kita harap dengan tambang percuma ini dapat mengurangkan kesesakan dan berharap juga pengguna terus menggunakan semua pengangkutan ini, bukan setakat sebulan, tapi berterusan untuk ke tempat kerja,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan memperuntukan subsidi sejumlah RM155 juta untuk pemberian tambang percuma, iaitu RM140 juta untuk pengangkutan awam kendalian Rapid KL, dan RM15 juta bagi KTM Komuter laluan Lembah Klang