Pekan Sehari Temerloh yang terkenal sejak beberapa dekad lalu diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Pekan Sehari terpanjang dengan jumlah peniaga terbesar di Malaysia.
Pekan Sehari sepanjang satu kilometer beroperasi di sepanjang Sungai Pahang, di Lurah Semantan setiap Ahad itu, dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan mempunyai kira-kira 600 peniaga yang menjual pelbagai jenis produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan, kuih-muih, ikan, ayam, daging serta pelbagai lagi.
Kira-kira 5,000 hingga 7,000 pengunjung mengunjungi Pekan Sehari ini setiap Ahad dan ia secara langsung memberikan pulangan ekonomi baik kepada peniaga.
Kewujudan Pekan Sehari Temerloh memberi peluang penduduk di sekitar Temerloh turut sama merasai limpahan ekonomi, di mana penternak ikan sangkar dan nelayan sungai dapat membekalkan ikan mereka kepada peniaga ikan sungai.
Pekan Seharian Temerloh yang sudah berusia 150 tahun ini turut menjana pendapatan kira-kira RM500,000 hingga RM800,000 bagi pelbagai perniagaan di Temerloh ini.
Penduduk kampung yang menanam sayur kampung dapat membekalkan tanaman mereka kepada peniaga sayur dan anak muda dapat bekerja secara sambilan bagi menambah pendapatan.
Pada masa sama, pengusaha hotel dan rumah tamu serta peniaga kedai makan dan restoran juga merasai kesan hasil limpahan ekonomi ini.