Putrajaya memang terkenal sebagai kawasan yang mempunyai banyak taman bagi aktiviti riadah seperti Taman Saujana Hijau, Taman Wawasan, Taman Botani dan pelbagai lagi.
Tetapi, rupanya ramai tak tahu sebenarnya Putrajaya juga ada sebuah taman yang boleh membawa anda seolah-olah berada di zaman dinasti di China.

Kredit Gambar : Perbadanan Putrajaya
Taman tersebut adalah Taman Persahabatan Malaysia-China yang terletak di tapak kekal FLORIA Putrajaya iaitu Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.

Rekaan taman ini bercirikan ‘Lingnan-styled garden’ dengan kos kira-kira RM1.5 Juta dan dibangunkan di atas tanah seluas 0.24 hektar di tapak kekal FLORIA.

Taman Persahabatan Malaysia-China ini bukan hanya menyokong hubungan baik dan meraikan ulang tahun ke-40 jalinan perhubungan dua hala antara Malaysia dan China tetapi juga dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancong yang dapat menambah ‘karakter antarabangsa’ di Putrajaya.

Disini, enam elemen utama diterapkan iaitu gunung, air, batu, bangunan, kaligrafi dan tumbuhan yang menghasilkan kombinasi yang cukup mendamaikan.
Suasana pergunungan dapat dirasai di keseluruhan taman. Memasuki elemen air, kolam yang terletak di tengah antara pavilion dan pintu masuk serta kolam lainnya yang terdapat di sekitar kawasan bagai memberikan kedamaian yang berterusan.

Elemen batu dan bangunan pula diperlihatkan dari tembok yang mengelilingi kawasan taman dan pavilion serta koridor berbumbung yang terdapat di sini.
Motif tradisional Cina yang diterapkan pada pembinaan bangunan ini menunjukkan kekayaan dan keaslian seni bina negara itu.

Kaligrafi yang diperlihatkan di sekitar kawasan juga sangat mengujakan. Ia bagaikan menghidupkan setiap sudut dengan sentuhan halus kaligrafi Cina.

Tumbuh-tumbuhan adalah elemen yang sangat berperanan memberikan kedamaian di taman ini. Pokok Maple, pokok bonsai, buluh dan beberapa jenis pokok serta bunga yang ditanam di taman bagai terapi diri saat bersiar-siar di taman ini.

Gabungan pelbagai elemen utama dengan batuan berwarna, koridor penggulungan, pokok yang subur, bunga yang berkembang, halaman yang indah dan pavilion di taman ini sebagai bukti persahabatan yang berpanjangan antara Malaysia dan China.
Dibuka kepada kunjungan orang awam tanpa dikenakan bayaran buat masa ini, pengunjung berpeluang menghayati sendiri keunikan seni bina yang diterapkan di dalam taman persahabatan ini.

Pendek kata, pengunjung boleh merasa seperti berada nun jauh di China yang sememangnya kaya dengan kehalusan seni binanya.
Anda juga boleh bersantai atau beriadah bersama keluarga di kawasan sekitar taman ini.
Lokasi Taman Persahabatan Malaysia-China yang berhadapan dengan tasik Putrajaya dan ruang legar yang luas, pengunjung boleh berkelah atau melakukan pelbagai aktiviti menarik di situ.
Lokasi
Taman Persahabatan Malaysia-China, Lebuh Sentosa, Presint 4, 62250, Wilayah Persekutuan Putrajaya