Pada 13-15 September ini, Karnival Healing de’ Masjid diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal 1446H.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bemula 13 hingga 15 September itu akan bermula jam 8 pagi hingga 10 malam dengan bertemakan Muslim Heroes.
Penganjuran itu diadakan berikutan sambutan hangat pada acara yang diadakan pada 2023 di Masjid Teras Jernang, Bangi yang dihadiri ribuan pengunjung dan berjaya menarik minat pelbagai pihak.
Karnival Healing De’ Masjid menampilkan konsep healing yang unik serta berbeza daripada karnival-karnival lain.
Antara keunikannya adalah Living Museum yang menampilkan Replika Rumah Rasulullah SAW, Pameran Artifaks Barangan Rasullullah, replika Masjid Nabawi dan kota Makkah.
Pelbagai aktiviti hebat disediakan yang bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat yang mesra, terbuka dan mudah didekati di samping mempromosikan nilai-nilai murni.
Selain itu, pengunjung boleh merasai pengalaman simulasi Virtual Reality enam dimensi, menderma kepada dalam Tabung Derma Gergasi, menunggang unta, menaiki belon udara panas, menyertai aktiviti perkhemahan serta mencuba aktiviti sukan sunnah Rasullullah seperti memanah, berkuda dan banyak lagi.
Di samping itu, karnival ini menampilkan ramai ikon tanah air seperti Dr Haji Mohd Fadilah Kamsah, Dr Zaharuddin, The Helmis, Hazeman Huzair, Dahlia Shazwan, Adam Corie, PU Rahmat, Prof Dr Mohd Ridhduan Tee, Imam Muda Ashraf PU Amin, Daie Hakim, Ustaz Ahmad Dusuki dan Ustazah Asma’ Harun.
Di pentas utama, Malam Puisi dan Nasyid Nusantara akan diadakan pada 13 September jam hingga 8.30 malam dengan kemunculan Fedtri Yahya, kumpulan UNIC dan Rabbani.
Antara yang menarik perhatian pada 14 September, akan berlangsungnya Malam Berselawat dan Tausiyah yang diketuai Habib Ibrahim Muhammad bersama Syeikh Mahmoud Al-Wosabi dan Ustaz Syawal Nizam.
Turut selitkan juga adalah acara solidariti Fun Walk Salam Untuk Palestin bersama ikon terkenal seperti Faizal Tahir dan kumpulan Mirwana.
Pihak penganjur juga berbesar hati memberi hadiah misteri kepada pengunjung bertuah yang ke-10,001, 30,001 dan 50,001.