Mungkin ramai tertanya-tanya, berapa ramaikah bilangan Jemaah haji pada setiap tahun? Berapa pula Jemaah Haji yang dihantar oleh Malaysia ? Adakah setiap negara mempunyai kuota tertentu bagi menghantar jemaah Haji?
Ya, jawapannya ada. Kuota haji rasmi negara-negara dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (Organisation of Islamic Cooperation - OIC) atau OIC, termasuk Malaysia adalah berpandukan kepada Mesyuarat OIC pada tahun 1988 di Amman, Jordan. Pihak Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota haji setiap negara pada kadar 0.1% daripada jumlah penduduk negara berkenaan.
Jadi, disebabkan itulah jumlah jemaah haji daripada pelbagai negara berubah-ubah mengikut populasi dan keadaan semasa.
Bagaimanapun, pada tahun 2022, disebabkan situasi pandemik COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya, Malaysia dan negara-negara lain hanya dibenarkan menghantar sebanyak 45 peratus jemaah haji daripada keseluruhan kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara.
Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.
Kuota Jemaah Haji 2023
Terbaru, bagi tahun 2023, Malaysia menerima kuota haji untuk penghantaran seramai 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi berasaskan perangkaan penduduk Malaysia pada masa kini.
Kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi.
Kerajaan Malaysia menzahirkan rasa bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota diberikan itu.
Kami memohon semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar.