Sebuah balai polis yang dibina pada 1937 di pekan Siniawan yang juga merupakan balai polis pertama di Sarawak bakal diubah suai bagi menjadi sebuah muzium polis yang mempamerkan artifak dan sejarah perjuangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kerja-kerja menaik taraf bangunan lama balai polis tersebut dijangka bermula tahun hadapan.
“Bangunan lama Balai Polis Siniawan dicadangkan untuk dijadikan muzium sejarah polis kerana ini adalah balai polis yang pertama di Sarawak dan pernah menjadi sasaran pada zaman konfrontasi.
Muzium ini akan mempamerkan artifak-artifak bersejarah terutamanya dari empat era pemerintahan sebelum ini
Kerajaan negeri juga telah bersetuju memberi peruntukan RM6 juta untuk kerja-kerja menaik taraf bangunan lama balai polis tersebut.
“Bagaimanapun, kita akan kaji semula untuk tambahkan peruntukan kerana kita jangkakan hanya ini sahaja muzium polis yang akan ada di Sarawak.
“Kita bekerjasama dengan Jabatan Muzium Sarawak dan jabatan-jabatan kerajaan lain untuk kita dapatkan cadangan agar ia setaraf dengan muzium-muzium lain di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh yang turut hadir pada majlis tersebut memberitahu, dengan ada muzium tersebut nanti pasti akan menambah tarikan pelancongan di Pekan Siniawan.
“Balai polis ini juga yang tertua di negeri ini yang wujud sejak pemerintahan Brooke, masuk penaklukan Jepun, selepas itu British dan sekarang di bawah kerajaan Malaysia.
“Bahkan jika kita perhatikan di dinding hadapan balai tersebut, mungkin kita dapat melihat kesan-kesan tembakan komunis suatu ketika dahulu,” jelasnya.
Selain itu katanya, menjadikan bangunan lama tersebut sebagai muzium juga adalah untuk menggantikan Kubu Margherita yang sebelum ini merupakan muzium polis.
“Di Sarawak sekarang ini tiada muzium polis dan tiada lagi tempat untuk menceritakan dan memberi maklumat serta sejarah kepolisan di negeri ini.
“Jadi dengan adanya muzium ini nanti, bukan sahaja dijadikan tempat mempamerkan sejarah polis, tetapi juga tempat anak-anak muda kita belajar dan memahami perjuangan polis,” katanya.
Balai Polis Siniawan baharu yang mula dibina pada 1 Februari 2021 dan siap pada 25 Januari 2022 dengan kos pembinaan RM500,000 merupakan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Serembu.