Masjid ini telah dibina oleh seorang Ketua Orang Melayu Sarawak yang termasyur dan ternama
Tahukah Anda Sejarah Masjid Bahagian Kuching? Masjid Pertama yang dibina di Bandar Kuching ialah pada tahun 1847.
Masjid Besar inilah yang pertama dan paling tua di Negeri Sarawak dan telah menjadi lambang Islam di negeri ini. Masjid telah dibina oleh seorang Ketua Orang Melayu Sarawak yang termasyur dan ternama, iaitu Datu Patinggi Ali dan keluarganya.
Seterusnya pada tahun 1929 para Dato-Dato dan masyarakat Islam dengan bantuan dari kerajaan Raja Brooke telah sama-sama berusaha membina dan memperelokkan Masjid Negeri ini dengan pembinaan pintu besar, jendela-jendela, mimbar dan kubah tinggi dan besar berwarna hitam.
Bangunan Masjid Besar Sarawak ini menjadi bangunan yang paling cantik serta kemegahan bagi penduduk di Bandar Kuching pada zaman itu. Begitulah ringkasan cerita Masjid Besar Negeri Sarawak ini semenjak tahun 1847 hingga tahun 1967 yang mana telah menemui fasa perubahan dan pengubahsuaian mengikut rentak perubahan masa dan zaman.
Sebelumnya, Masjid Kuching ini dikenali sebagai Masjid Lama
Masjid Besar yang megah ini berdiri teguh sebagai satu syiar Islam yang mulia hinggalah pada tahun 1967 perubahan yang seterusnya telah berlaku dengan perletakan batu asas untuk Masjid Negeri yang baru dibina di tapak yang sama pada tahun yang sama.
Dalam bulan Februari, 1966, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, dijemput untuk meletakkan Batu Asas Masjid yang hendak diperbaharui itu.
Setelah melihat keadaan Masjid dan memandang betapa pentingnya Negeri Sarawak mempunyai sebuah Masjid yang lengkap dan sederhana besarnya, sebagai lambang Islam dan perpaduan, maka beliau mencadangkan supaya masjid lama itu diroboh dan digantikan dengan sebuah masjid yang baru.
Cadangan ini telah diterima dan usaha-usaha pun diteruskan untuk memungut lebih besar lagi derma, kerana kos membina sebuah masjid baru dijangkakan menelan belanja kira-kira RM1 juta.