Baru saja semalam kami siarkan artikel berkenaan ura-ura bahawa taman tema terkenal Disneyland akan dibina di Jasin, Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis memberitahu pemberita pada Rabu (16 Nov) bahawa taman tema itu akan menjadi yang pertama di Asean, selepas taman tema di China, Eropah dan Jepun.
Menurut News Straits Times, taman tema Disneyland dan Disney City akan dibina di atas tanah seluas 80.9 hektar di Jasin.
Pembinaan itu dianggarkan menelan belanja kira-kira RM2 bilion, menurut Melaka Hari Ini.
Namun, rupanya ura-ura berkenaan adalah palsu dan tidak benar.
Tiada rancangan sedemikian untuk membina Disneyland di Melaka.
Seorang wartawan CNN, Heather Chen terus menghubungi pihak Disney selepas exco negeri Melaka mengumumkan pembukaan taman tema itu di Jasin menjelang 2027 dan pihak Disney menafikan dakwaan Exco negeri itu.
Chen sebelum ini pada Khamis (17 November) menulis tweet mengenai penjelasan asal yang dia terima daripada Disney, tetapi memadamkannya tidak lama selepas itu atas arahan Disney.
Dia kemudian menyiarkan tweet baharu yang menjelaskan keadaan.
"Tweet saya kini telah dipadamkan atas perintah Disney.
“Tetapi penjelasan asal yang saya buat daripada menghubungi (Disney) masih kekal.
"Tiada rancangan rasmi untuk taman tema Disney di Melaka, laporan awal adalah spekulatif dan salah maklumat semata-mata," katanya di Twitter.