Semalam heboh media sosial apabila media melaporkan sebuah Taman Tema Disneyland dan Disney City bakal dibangunkan di dalam daerah Jasin, Melaka tahun 2027.
Ianya selepas termeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara beberapa syarikat untuk membangunkan sistem tren Maglev sejauh 22km yang didakwa sebagai transport penghubung bagi ‘Lokasi Hotspot Pelancongan dan Pembangunan Taman Tema Disneyland serta Disneyland City’.
Meskipun lokasinya belum diumumkan, EXCO Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang turut hadir pada majlis itu berkata, pembinaan ‘Taman Disneyland pertama di Asean’ itu akan menelan kos kira-kira RM2 bilion.
Namun apa yang menimbulkan persoalan orang ramai, sekiranya benar pengumuman tersebut, mengapakah tiada wakil Disney yang turut serta dalam majlis sebesar itu?
Tidak lama kemudiannya, seorang wartawan CNN di Asia Tenggara, Heather Chen telah menghubungi pihak Disney bagi mendapatkan respon berhubung perkara itu.
Apa yang mengejutkan adalah maklum balas dari wakil Disney bahawa tiada sebarang perancangan rasmi tentang pembinaan taman tema Disney di Melaka sekaligus menjadikan berita berkenaan sebagai palsu dan hanyalah spekulasi semata-mata.
Perkara tersebut dikongsikan Heather Chen menerusi satu ciapan di Twitter.
Terbaru, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengakui terdapat sedikit kekeliruan dan salah faham serta menjelaskan pembinaan taman tema itu masih dalam perancangan dan tidak ada sebarang persetujuan atau pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani setakat ini.
Menurutnya, MoU ditandatangani pada Selasa lalu antara syarikat Metrolink Sdn Bhd dan Menara Taming Sari Berhad adalah untuk mengadakan Sistem Maglev yang bakal menghubungkan semua tempat pelancongan di Melaka dan bukan MoU Disneyland.
"Tapi syarikat Metrolink ada menyatakan perancangan seperti saya cakap tempoh hari untuk mengadakan Disneycity di Jasin, Melaka. Jadi ini satu perancangan.
"Kami tidak ada menyatakan bahawa sudah ada persetujuan atau MoU dengan Disneyland. Saya boleh saja nak merancang esok nak bina Burj Khalifa di Melaka, tidak semestinya pengurusan Burj bersetuju.
"Saya meminta maaf atas kekeliruan ini tapi saya sedar satu fakta bahawasanya Disney mempunyai reputasi yang baik, mungkin atas keterujaan tak sabar kalau boleh ia (Disneyland di Melaka) jadi realiti, maka tiba-tiba Disneyland ini dah jadi 'out of proportion', digembar-gemburkan dan hampir pasti berada di Melaka.
"Tidak...kita dalam perancangan, mungkin kerana itulah tertularnya seolah-olah Disney sudah bersetuju," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat Tourism Melaka, Ayer Keroh, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KCI Metrolink Sdn Bhd, Dr Parimalan R Isa Michael.
Muhammad Jailani berkata, pada sidang media berkenaan pihaknya tidak pernah menyiarkan apa-apa berkaitan Disneyland kecuali video Sistem Maglave kepada hadirin.
"Kita pamerkan video Maglave iaitu rangkaian sistem kereta api Maglev yang tiada geseran, tidak pakai minyak, tidak membawa bunyi dan ini sealiran konsep 'bandar hijau' direncanakan kerajaan Melaka.
"Saya sekali lagi minta maaf atas kekeliruan yang berlaku ini. Mengenai Disneycity atau Disneyland ini adalah perancangan syarikat dalam pada mereka merancang membangunkan Meglav kalau boleh ada peluang untuk Disney masuk dan buka cawangan atau mini Disney," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, bahawa kekeliruan itu bukan berpunca daripada pengumuman dibuatnya, sebaliknya salah tanggapan oleh pihak lain.
"Saya minta maaf kerana banyak orang salah sangka, tapi saya tidak yakin saya melakukan kesilapan. Pihak syarikat maklumkan kami hasrat atau perancangan untuk bawa Disney ke sini.
"Yang dispekulasikan ini seolah-olah sudah ada persetujuan, perjanjian dan komitmen, (sedangkan) ini perancangan kami memajukan negeri untuk kepentingan rakyat. Salahkan saya merancang?" katanya.