Kalau anda ke Terengganu memang wajib untuk menikmati lauk-lauk asli dari Terengganu. Lagi wajib untuk mencuba lauk asli & klasik yang memang sukar dijumpai di kedai lain.
Salah satu kedai yang menyediakan menu klasik Terengganu adalah Kedai Makang Belagoangin yang terletak di Kg Pancur Kuin, Batu Rakit, Kuala Nerus.
Tak jauh pun dari Bandaraya Kuala Terengganu, kira-kira setengah jam perjalanan atau 20Kilometer+. Kalau dari Kuala Terengganu nak buat perjalanan ke Penarik, Besut dan sebagainya memang elok sangat singgah sini.
Maksud bagi Belago angin ini agak unik & menjadi faktor tarikan. Kalau ikutkan dialek daerah Besut, ia bermaksud berminat dan suka.
Kedai Makang Belagoangin ini diusahakan oleh Tuan Kama Zakaria, 53 tahun, seorang kontraktor yang telah hilang pekerjaan pada 2018 dan mengambil inisiatif berniaga kedai makan di sekitar kawasan rumahnya dengan menampilkan konsep kreatif iaitu 'kembali pada masa lalu'.
Pada peringkat permulaan, Kama hanya mengusahakan kedai makan tersebut bersama isteri Wan Jasnah Wan Sulong, 46, dengan dibantu anak sulung mereka Mohd Zulhakim, 29 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat sindrom down, namun kini telah berjaya mengupah lebih ramai pekerja.
Bagi memastikan perniagaannya dapat diuruskan dengan baik, bapa kepada empat orang anak ini, bukan sahaja membantu isterinya memasak, tetapi juga membeli sendiri bahan-bahan untuk digunakan termasuk mendapatkan ikan sungai yang segar.
Suasana Kampung Asli
Istimewanya kedai makan ini kerana mereka bukan sahaja menawarkan pengalaman menikmati hidangan klasik Melayu, tetapi juga kerana lokasi di tepi sawah dan dekorasi kedai makan ini benar-benar membuatkan anda seperti berada di perkampungan Melayu lama.
Menambahkan lagi suasana kampung adalah pondok makan berasaskan atap rumbia serta peralatan yang digunakan disini. Misalnya, dulang untuk menghantar makanan serta tudung saji yang digunakan dibuat daripada nyiru buluh. Persis seperti di rumah kampung dahulu kala.
Bagi seorang veteran atau otai, suasana sebegini sudah pastinya menggamit memori lama.
Tempat makan ini menyediakan lebih 30 buah meja serta boleh memuatkan sekitar 150 orang dalam satu-satu masa. Jadi, walaupun nampak macam kedai biasa-biasa, tetapi destinasi ini sangat sesuai untuk acara kumpulan besar.
Lebih 30 Masakan Klasik & Unik
Kedai Makang Belagoangin menyediakan lebih 30 jenis masakan klasik yang sukar ditemui di tempat lain. Antaranya adalahbudu goreng, gulai siput sawah, gulai kepala ikan tasik, masak asam pedas ikan puyu, gulai Ikan yu, gulai telor itik, kerabu perut, pari bakar berempah, pais patin, ayam percik, cencaru bakar, baung masak tempoyak dan pelbagai jenis ulam-ulaman serta budu.
Perancangan Masa Hadapan
Encik Kama berkata beliau berhasrat menambah baik kemudahan sedia ada dan mengindahkan keadaan sekeliling dengan pelbagai barangan tradisional supaya anak muda kini dapat mengenali budaya nenek moyang mereka.
Beliau, yang kebiasaannya memakai tanjak dan berbaju batik ketika bertugas, juga berhasrat membuka sebuah lagi kedai makan berkonsepkan tradisional di tepi sawah bagi merancakkan pelancongan di Terengganu.
Alamat & Waktu Operasi Kedai Makang Belagoangin
Alamat : Kedai Makang Belagoangin, Kampung Pancur, 21020 Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi : 11:30 AM - 3:30 PM (TUTUP JUMAAT)
Lokasi Google Maps : https://goo.gl/maps/Pk3fRxRqtnJVw6CB9