Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 (SHWP 2023) yang akan berlangsung sepanjang bulan Februari akan memberikan fokus kepada program kesejahteraan dan kebajikan yang berterusan kepada golongan B40 dan miskin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Pelaksanaan program SHWP 2023 itu juga berkonsepkan mesra rakyat dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
Ia berdasarkan tema ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’ yang membawa maksud kepada aspirasi JWP untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang mencerminkan nilai perpaduan, kesefahaman dan kekitaan seluruh komuniti di Wilayah Persekutuan.
Tema itu juga melambangkan nilai muafakat yang dimiliki oleh semua warga tidak kira latar belakang bangsa, kaum dan agama seterusnya menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang maju seiring dengan matlamat nasional Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada keterangkuman dan kesaksamaan dalam kalangan lapisan masyarakat majmuk khususnya di Wilayah Persekutuan.
Aktiviti Menarik Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023
Antara program utama yang dijadualkan termasuk Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah, Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan dan Formasi Muzikal Air yang melibatkan pertunjukan air pancut berirama dan hiasan berlampu pada sepanjang bulan ini di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Turut diadakan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang telah bermula pada 15 Jan hingga 28 Feb ini dan program Mucang-Mucang Se Wilayah yang merupakan sinonim kepada aktiviti gotong-royong dalam dialek Brunei.
Selain itu, program lain yang dirancang adalah Program Jualan Peniaga dan Penjaja Kecil, Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 2 Feb, Khutbah Jumaat Khas sempena SHWP 2023 pada 3 Feb dan Program Derma Darah
Semua program SHWP 2023 disusun selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian dan agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelak pembaziran perbelanjaan kerajaan.