Baru-baru ini kami sempat menginap selama 2 Hari 1 Malam di sebuah homestay bernama Serene, GG Villas di Sungai Besar, Selangor. Alhamdulillah satu pengalaman baharu bagi kami, jadi kami nak review sedikitlah berkenaan homestay ini.
Kalau ikutkan, keseluruhan kawasan ini ada satu villa besar dan 2 tiny house boleh muatkan 25-30 orang. Tapi disebabkan keluarga besar kami tak terlalu ramai, kami hanya ambil satu villa besar sahaja. Untuk satu villa ni boleh muat maksimum 20 orang.
Semasa tarikh kami menginap, harga per malam bagi satu villa adalah RM2000. Mungkin nampak macam mahal, tapi harga ini boleh dibahagikan mengikut kepala. Jadi kalau maksimum 20 orang, kira RM100 per kepala. Okaylah tu kan !
CHECK-IN
Apa yang menarik disini adalah proses check-in memang smooth sebab tak perlu nak masukkan kunci sendiri, nak cari passcode dan macam-macam seperti di homestay lain. Kami whatsapp tuan rumah bertanyakan jika dah boleh check-in awal. Waktu itu, tuan rumah kata boleh check-in pukul 1 walaupun sepatutnya jam 3. Alhamdulillah.
Sampai saja kat homestay, rupanya homestay ini berpagar dan ada penjaga. Memang senang. Mereka akan bukakan pagar dan ada 'helper' assist kita sikit-sikit.
BILIK & TANDAS
Untuk bilik, ada 3 bilik dan 1 ruang tidur terbuka di tingkat atas. 1 bilik katil king, 1 bilik katil queen, 1 bilik bunk beds dan ruang tidur terbuka pun bunk beds juga.
@surgaroute homestay tengah sawah padi di Sungai Besar. memang best sini. siap dapat breakfast, laundry dan basikal untuk jalan-jalan.
♬ What It Is - Solo Version - Doechii
Selain itu, ada sofa bed kat bawah. Okay jer tidur dengan bunk beds ramai-ramai. Kalau buat family day, barulah bonding.
Bestnya, semua bilik ada balkoni. View semua cantik-cantik.
Tandas ada 4 biji. 3 dalam bilik dan 1 diluar. Kesemua tandas bersih terutamanya tandas dalam bilik tidur utama. Mewah !
Cuma sabun, shampoo diberi dalam botol kecil macam di hotel. Cadangan kami, tuan rumah boleh sediakan sabun dalam 'soap dispenser' sebab tetamu pun ramai, tapi sabun sikit sangat. Pakai yang wall mounted, tetamu tak ambil bawa balik hehe.
FASILITI
Berbeza dengan homestay lain yang sediakan mesin basuh, disini tiada mesin basuh. Tapi ada laundry service. Siap basuh, siap keringkan. Memang berguna sebab takyah nak berebut mesin basuh, berebut ampaian. Duduk ramai-ramai kan, jenuh juga tu. Lagipun, duduk sini nak bercuti bukan nak buat kerja rumah huhu.
Aircond dan kipas bagi kami macam tak cukup sebab kipas di dalam bilik bahagian atas agak kecil dan ada juga pakai kipas dinding. Kat bawah pula ada bahagian tak berapa rasa aircond.
Rekreasi : ada meja snooker, infinity pool yang cukup luas menghadap ke sawah padi, jacuzzi, ada tempat OOTD, ada buaian, laman cukup luas, gazebo, reban ayam, pit BBQ, kolam ikan, basikal untuk jalan-jalan pusing kampung, dan kawasan parking boleh muat banyak kereta. TV pun ada astro full channel dan Netflix.
Ada kebun juga, ini kami ada minta sikit hasil tu. 'Helper' tu bagi je hehe.
Cuma, bab kolam renang itu kalau ada guest lain di tiny house kena berkongsi sikitlah. Tapi takpe je, kalau kat hotel pun kita berkongsi juga kan. Cuma, kami ni budak-budak tak ramai. Bila ada budak lain menginap di tiny house tu, lagi suka diorang mandi sebab ada kawan.
Untung kalau family kecil ambil tiny house. Sebab still dapat mandi kolam renang besar hehe. Tak silap kami sebuah tiny house dalam RM400 per malam.
Kalau anda ambil keseluruhan kompleks paling best sebab keseluruhan kawasan keluarga anda punya.
Nak masak, nak makan senang sebab semua kelengkapan dah ada.
Waktu pagi, ada disediakan sarapan untuk tetamu. Alhamdulillah.
Keselamatan : Alhamdulillah, seperti dikatakan kawasan berpagar dan ada 'helper'.
SUASANA
Suasana memang terbaik, betul-betul dalam kampung, tengah bendang. Tak banyak kenderaan lalu-lalang. Laman cantik, boleh tangkap gambar banyak-banyak. Tapi, waktu petang hingga malam memang banyak serangga. Macam-macam jenis ada . Tapi mungkin ikut musim juga kot.
KESELURUHAN
Overall, kami bagi 4/5 bintang untuk Serene.GG Villas. Paling outstanding bagi kami adalah kawasan berpagar, ada helper, laundry service, infinity pool & jacuzzi dan juga laman luas. Beberapa cadangan penambahbaikan seperti kami nyatakan tadi.
Untuk menempah boleh hubungi Serene.GG. Homestay ini hanya untuk Muslim sahaja.