Pasangan kekasih warga Malaysia mengalami kerugian selepas barangan berharga mereka hilang dari bilik penginapan hotel ketika mereka bercuti di Paris.
Menerusi perkongsian Allen Tee di sosial media, beliau berkata kejadian berlaku pada 3 Disember lalu ketika bercuti di bandar yang juga dikenali sebagai Kota Cinta.
Beliau menjelaskan, sebaik kembali ke hotel, keempat-empat beg pakaiannya terbuka dan semua barangan berharga lesap.
"Wang tunai, dompet, kad, komputer, iPad, telefon dan skirt baharu teman wanita saya semuanya dicuri," tulis Allen dalam catatannya.
Lebih memburukkan keadaan, apabila dia menghubungi bank untuk membatalkan kad kreditnya, pencuri berkenaan masih menggunakan kadnya untuk memesan makanan segera.
Katanya, kejadian sama turut dialami seorang lagi tetamu hotel warga Perancis yang boleh berbahasa Cina apabila dia menemui pencuri itu di dalam biliknya.
"Dia menyoal siasat pencuri mengenai kehadirannya di dalam bilik dan lelaki Perancis itu berjaya mengambil dua gambar sebelum pencuri itu melarikan diri.
"Foto itu membuktikan beg yang dibawa pencuri itu adalah milik saya dan barang-barang di dalamnya juga milik saya," katanya.
Susulan kejadian yang sama, Allan mengesyaki rompakan itu dilakukan orang dalam kerana pencuri itu meninggalkan hotel dengan barangan curi tanpa menimbulkan syak wasangka kakitangan hotel.
Beliau berkata hotel itu seolah-olah membenarkan orang luar mengakses tanpa had, memasuki tingkat bilik tetamu dan memecah masuk bilik menggunakan kad bilik.
Beliau menyatakan pengurus hotel dan pengurus besar enggan bertanggungjawab dengan mengatakan ia adalah kali pertama berlaku di hotel berkenaan.
Kejadian itu membuatkan Allen terpaksa membeli beg pakaian baharu dan memfailkan tuntutan insurans.
Mereka memilih untuk meneruskan perjalanan walaupun terpaksa membatalkan beberapa aktiviti yang dirancang. - AGENSI