Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergerak selangkah lagi ke hadapan dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya rendah karbon dan mesra pejalan kaki.
Ia apabila pihak DBKL melaksanakan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dari persimpangan Jalan Esfahan ke persimpangan Jalan Melayu kepada akses semua kenderaan menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan pejalan kaki sepenuhnya bermula ahad, 28 Ogos 2022.
Penutupan Jalan TAR ini akan dilaksanakan pada setiap hari Ahad bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Pelbagai Aktiviti Tambahan Dirancang
Tidak cukup sekadar itu, DBKL juga merancang untuk mengadakan pelbagai persembahan seni seperti buskers, lukisan potret, hiasan inai serta kiosk dan ruang rehat memenuhi sepanjang laluan ini bagi memberikan suasana baharu di kawasan tersebut.
Lokasi sekitar Jalan TAR juga akan dihiasi dengan hiasan perabot jalanan dan fasiliti serta ruang untuk pengunjung mengambil peluang memanfaatkan sepenuhnya masa dengan bersantai, berehat dan mengambil gambar.
Tidak lupa, disediakan juga ruang untuk anak-anak kecil beriadah dan bermain dengan pengawasan petugas.
Menjadi hasrat DBKL untuk menjadikan Jalan TAR sebagai satu destinasi keluarga yang wajar dikunjungi dengan lebih selesa, santai dan selamat.
Sehubungan dengan itu, DBKL sangat menyarankan orang ramai yang ingin masuki ibu kota pada waktu hujung minggu untuk menggunakan pengangkutan awam seperti Bas RapidKL, GOKL, MRT dan LRT bagi melicinkan aliran trafik di sana.