Sekarang ini di seluruh dunia, ada sejenis segmen pelancongan yang di luar kebiasaan, dipanggil 'dark tourism' yang menyasarkan kelompok yang kuat semangat.
Walaupun ia pada asalnya disasarkan kepada kelompok tertentu, namun nampak gayanya ramai yang berminat tentang segmen ini.
Terbaru, Kerajaan Sabah bercadang untuk turut mempromosikan beberapa kawasan "berhantu" yang sering dikaitkan dengan lokasi bersejarah di negeri Sabah. Antara yang mendapat perhatian adalah Rumah Agnes Keith.
Kepada yang belum tahu, lokasi Rumah Agnes Keith adalah merupakan kediaman bersejarah semasa era pentadbiran British dan antara tarikan pelancong di Sandakan.
Rumah Agnes Keith dinamakan bersempena seorang penulis Amerika Syarikat yang dikenali menerusi autobiografi beliau semasa tinggal di Sandakan bersama suaminya, Harry Keith, seorang pemulihara hutan berbangsa Inggeris, pada 1930-an. Dalam karyanya itu, beliau menceritakan tentang penampakan lembaga serta insiden-insiden misteri di rumah berkenaan.
Bangunan ini merupakan mercu tanda kewujudan kuasa Barat di Sabah jadi tempat ini harus dijaga sebaik mungkin kerana sudah menjadi sebahagian daripada warisan Sabah.
Kisah mengenai rumah Agnes Keith yang berhantu sering tersebar dalam kalangan penduduk setempat. Ada yang kata mereka nampak seseorang mengintai dari tingkap, manakala yang lain pula kata ternampak wanita di atas bumbung rumah.
Jabatan Muzium Sabah menawarkan segmen pelancongan 'dark tourism' itu bagi menarik lebih ramai pelawat mengunjungi Rumah Agnes Keith, khususnya mereka yang berminat dalam aktiviti paranormal, untuk bermalam di kediaman tinggalan zaman kolonial British yang dikatakan 'berhantu' tersebut.
Idea ini tercetus selepas pelancong asing memberitahu mereka diselubungi perasaan seram sebaik sahaja memasuki rumah itu, namun tiada seorang pun yang mengaku ternampak (hantu).
Difahamkan, dengan segmen terbaru ini, pelawat boleh memilih berkhemah di luar bangunan atau membawa beg tidur dan bermalam di dalam rumah, selepas membayar caj tertentu.
BACA JUGA : DESTINASI PELANCONGAN BERHANTU DI MALAYSIA