Brunei Darussalam, salah satu negara jiran Malaysia yang terletak di Kepulauan Borneo dan berkeluasan 5,765 kilometer persegi. Ia merupakan salah satu negara terkecil di dunia. Tapi, kecil bukan sebarang kecil. Negara ini juga adalah antara negara paling kaya di dunia disebabkan sumber ekonomi mereka iaitu pengeluaran minyak dan gas.
Negara yang memiliki majoriti penduduk Muslim ini sudah pasti menarik minat kita. Jika anda merancang untuk ke negara Brunei Darussalam, ini adalah tips and trick untuk anda !
Brunei berkeluasan 5,765 kilometer persegi
Ramai orang yang datang melancong ke Brunei hanya ambil masa sehari atau dua hari. Rugi sebenarnya sebab ada banyak tempat yang anda boleh lawati di sana. Sehari dua di Brunei, Taman Negara Ulu Temburong pun anda tak sempat pergi.
Kami cadangkan ambil masa antara tiga ke empat hari untuk melancong di Brunei. Brunei adalah satu negara yang sangat menarik dan jangan rushing untuk balik rumah.
Undang-Undang Syariah di Brunei
Brunei adalah negara yang mengaplikasikan undang-undang syariah bagaimanapun ia tidak terpakai kepada yang bukan beragama Islam.
Jaga pemakaian dan sentiasa berpakaian sopan sekalipun anda jauh dari rumah. Cuba jaga nama baik Malaysia sewaktu anda berkunjung ke sana. Perbuatan yang bertentangan dengan syariah boleh dikenakan hukuman yang berat disini. DI dunia dapat hukuman, di akhirat pun dapat sekiranya tidak bertaubat. Jadi, jangan buat perkara-perkara tidak bermoral ya.
Tiada Aktiviti jahiliah
Ramai orang rasa Brunei ini bosan sebab tiada apa-apa aktiviti yang anda boleh lakukan di waktu malam. Tapi cuba anda buka jiwa dan minda anda untuk menyelami budaya masyarakat Brunei, mesti anda akan merasai keseronokkannya.
Di Brunei, anda tidak boleh berpakaian yang mendedahkan aurat, Tidak ada pusat kemaksiatan seperti kelab malam di sana dan tidak ada satu kedai pun yang menjual minuman beralkohol dan memabukkan.
Mungkin bosan bagi sesetengah orang, namun disebabkan peraturan inilah ia menjamin kedamaian, keharmonian dan ketenangan seluruh negara ini.
Pakai Pakaian Bersesuaian
Buat Muslim, pakailah pakaian bersesuaian dan menutup aurat kerana suruhan itu bukan sahaja datang dari kerajaan Brunei, tetapi ia datang dari maha pencipta. Kepada yang bukan muslim, tidak perlu untuk anda try-hard berpakaian menutup litup seperti kawan-kawan muslim anda yang lain. Cukup sekadar anda berpakaian yang tidak menjolok mata.
Baju biarlah di bawah paras lengan dan kain pula biarlah di bawah paras lutut. Kepada lelaki, seeloknya anda berseluar panjang ketika keluar bersiar-siar menikmati keindahan negara Brunei Darussalam.
Elak bercakap soal politik
Hati-hati bila bercakap tentang Brunei lebih-lebih lagi berkaitan Sultan mereka. Perkara ini adalah perkara sensitif dan ada tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya anda menyinggung perkara berkenaan Sultan Brunei.
Jadi, lebih baik anda elakkan daripada berbual soal politik di sana lebih-lebih lagi jika anda ada perkara-perkara kritikal yang ingin dibualkan.
Pengangkutan awam tidak selalu digunakan
Sekiranya anda travel ke sana dan tidak memandu kenderaan, adalah elok sekiranya anda boleh merancang perjalanan anda terlebih dahulu. Ada bas dari lapangan terbang ke pusat bandar, tapi kekerapannya tidak banyak.
Kebanyakan tempat-tempat menarik di Brunei terletak berdekatan antara satu sama lain dan sekiranya jarak tempat yang anda tuju itu jauh, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Lebih berbaloi sekiranya anda boleh menginap di kawasan pusat bandar kerana anda boleh menjimatkan kos untuk menaiki teksi di sana.
Untuk menggunakan perkhidmatan teksi, download aplikasi Dart atau Grab. Aplikasi ini akan memberikan lokasi anda, jumlah kos dan pemandu teksi akan mengambil anda di lokasi yang diberikan.
Brunei adalah surga makanan
Rakyat Brunei juga adalah pencinta makanan dan anda jangan tinggalkan negara Brunei tanpa mencuba beberapa menu makanan tempatan tatkala melancong di sana. Anda perlu cuba ambuyat dan nasi katok yang sinonim dengan masyarakat disana.
Rebut peluang ke Taman Negara Ulu Temburong
Untuk pengetahuan anda, Brunei antara negara yang mempunyai hutan hujan dara yang terbaik di dunia. 60% daripada keluasan negara ini masih ditutupi hutan hujan dan masih belum diteroka oleh manusia. Walapun hanya sebahagian sahaja kawasan Ulu Temburong yang boleh dilawati orang awam, itu sahaja sudah cukup memuaskan bila melihat keindahan alam semulajadi di sana.