Brunei ialah sebuah negara kecil yang kaya dengan sumber minyak dan gas yang terletak di sebelah utara pulau Borneo. Brunei dikelilingi Malaysia dengan dua bahagian Brunei dipisahkan di daratan oleh Malaysia iaitu Bahagian Limbang.
Walaupun negara ini kecil, namun negara ini tetap menyajikan pelbagai tempat-tempat menarik untuk dilawati disebalik ketenangannya. Ini adalah antara lokasi yang anda boleh lawati apabila mengunjungi negara Brunei Darussalam.
1. Royal Regalia | Muzium Alat Kebesaran Diraja
Muzium ini menempatkan koleksi barangan diraja, alat kebesaran diraja dan tradisi Sultan, gambar-gambar lama keluarga diraja, pameran buah tangan dari negara-negara sahabat serta pameran memperingati perayaan jubli perak dan jubli emas pemerintahan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Pengunjung disambut dengan kereta emas yang sama digunakan untuk membawa Sultan melalui jalan-jalan di Bandar Seri Begawan pada perayaan Jubli Perak pada tahun 1992.
Masuk ke muzium itu, ada replika takhta sultan, pelbagai mahkota, gaun, senjata dan contoh-contoh penghormatan yang diberikan kepada Sultan. Hadiah kristal, jed, gading, dan perak yang elok, bertujuan untuk mengingatkan para pengunjung kekayaan Sultan.
Tiada bayaran masuk dikenakan bagi melawat muzium ini namun ia ditutup pada hari jumaat dan juga ahad.
2. Kampung Ayer
Penempatan asal penduduk Bandar Seri Begawan yang telah melalui proses pembangunan dengan infrastruktur moden.
Bagi pengunjung luar, kawasan ini juga diberi jolokan sebagai ' Venice of the East' disebabkan penduduk-penduduk disini yang tinggal di perkampungan atas air.
Bot penumpang boleh disewa di Dermaga Diraja dan jika bernasib baik dapat melihat hidupan liar seperti buaya, monyet proboscis dan burung-burung.
3. Taman Mahkota Jubli Emas
Taman Mahkota Jubli Emas ialah taman berkeluasan 12 hektar (30 ekar) yang terletak di bahagian berdekatan kuala Sungai Kedayan dengan Sungai Brunei. Taman ini mempunyai persiaran selebar 6 meter (20 kaki) untuk pejalan kaki dan penunggang basikal, serta sebuah taman bunga dan kawasan lapang hijau untuk aktiviti riadah. Terdapat sebelas pusat akses ke dalam taman: sembilan dari darat dan dua dari sungai melalui jeti.
Salah satu pusat akses tersebut ialah melalui Jambatan Pejalan Kaki Sultan Omar ‘Ali Saifuddien yang menyeberangi Sungai Kedayan dan menyambung taman dengan kawasan di seberang. Penduduk tempatan yang datang kesini selalunya untuk bersenam sambil santai santai bersama keluarga atau pasangan. Taman ini dekelilingi hijau-hijauan kerana temanya yang mengamalkan eco-park.
Taman Mahkota Jubli Emas ialah sebuah taman bandar di Bandar Seri Begawan, Brunei. Taman ini dibuka pada 22 Oktober 2017 sempena sambutan jubli emas KDYMM Sultan Hassanal Bolkiah menaiki takhta sebagai Sultan Brunei semasa dan yang ke-29.
Taman ini merupakan hasil dari pengkonsepan Eko-Koridor Sungai Kedayan, sebuah projek untuk menggiatkan semula Sungai Kedayan, yang merangkumi mitigasi banjir, pemulihan alam sekitar dan pembangunan kawasan awam. Projek Eko-Koridor ini ialah sebahagian dari Pelan Induk Pembangunan Bandar Seri Begawan, yang bertujuan untuk ‘penggiatan semula’ Bandar Seri Begawan, khususnya di kawasan Pusat Bandar, dengan pembangunan lanjutan infrastrukur komersil, kediaman dan perkhidmatan.
Di lokasi ini juga terletaknya 'The Frame Brunei Darussalam', sebuah spot bergambar yang menarik , seolah-olah bingkai gambar besar yang memotretkan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien yang terletak di belakang.
4. Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien
Dinamakan sempena Sultan Brunei ke-28 Sultan Omar 'Ali Saifuddien III, masjid ini menjadi simbol umat Islam di negara Brunei. Bangunan masjid ini siap dibina pada tahun 1958 dan menjadi salah satu contoh senibina moden Islam.
Masjid dibina dalam sebuah lagun buatan di tepi Sungai Brunei. Ia memiliki menara dibuat daripada marmar dan kubah utama bersalut emas. Masjid sendiri dikelilingi taman, pokok-pokok dan pancutan air. Satu daripada unsur tempatan ialah kegunaan bentuk "kalat" (tali tebal) pada tiang luar masjid. Sebuah jambatan menghubungkan masjid dengan Kampong Ayer di tengah-tengah sungai Brunei.
Sebuah barj buatan dibina di dalam lagun pada tahun 1967 bagi meraikan hari ulang tahun ke-1400 Nuzul Quran. Barj ini merupakan replika barj mahligai Sultan Bolkiah dan digunakan bagi pementasan Tilawah Al-Quran.
Dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi, ditutup untuk lawatan setengah jam sebelum waktu solat fardhu dan setengah selepasnya. Bagi orang Islam boleh saja solat dan terus melawat dalam masjid. Bagi wanita Islam kena tunggu waktu melawat untuk melihat ruang utama solat.
5. Masjid Jame'Asr Hassanil Bolkiah
Sebuah lagi masjid yang menjadi ikon negara Brunei Darussalam yang wajib dilawati. Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah atau lazim dikenali sebagai "Masjid Emas". Masjid ini dinamakan sempena sultan terkini Brunei, Hassanal Bolkiah. Setiap kubah pada masjid ini diperbuat daripada emas 29 karat. Bersama-sama Masjid Omar Ali Saifuddien, masjid ini berperanan sebagai masjid utama negara. Masjid ini mula dibina pada 1988 di sebuah tapak berukuran 20 ekar di Kiarong. Masjid ini dirasmikan pada 14 Julai 1994 sempena hari keputeraan ke-48 Sultan Brunei.
Waktu lawatan adalah sama seperti Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien.
6. Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah dibuka secara rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 19 Ogos 1996. Kompleks ini menempatkan pusat beli-belah dan aktiviti komersial di bawah satu bumbung yang terdiri daripada fesyen, kecantikan, aksesori, cenderamata dan isi rumah.
Selain itu, kompleks ini menempatkan pejabat, pusat komunikasi, bank, butik, klinik, medan selera dan restoran. Kemudahan lain termasuk ruang serbaguna, surau dan tempat letak kereta. Kebanyakan penduduk tempatan dan pelancong datang ke kompleks ini kerana ini adalah salah satu pusat membeli-belah terbesar di Bandar dan terletak betul-betul di tengah-tengah semua mercu tanda terkenal Brunei.
Kompleks itu sendiri terletak dengan indah di kawasan strategik antara dua mercu tanda utama Bandar yang terkenal, "Kampong Ayer" dan Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien. Ia adalah kurniaan oleh Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk rakyat Negara Brunei Darussalam. Hasil daripada kompleks beli-belah yang indah dan tersergam indah ini disalurkan kepada kerja-kerja amal yang dijalankan oleh Yayasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
7. Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja
Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja mengandungi maklumat mengenai sektor minyak dan gas di Brunei. Bangunan ini diwartakan di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam pada tahun 2006, telah dijadikan sebagai Bangunan Galeri Seni. Sejarah bangunan ini merupakan Bangunan Kastam dan Eksais Diraja yang dibina sekitar tahun 1950-an, dan merupakan antara peninggalan seni bina kolonial dan mempunyai dua tingkat dengan bentuk “U", dan berbentuk kekotak (boxy form) Rafflesia style. Di bahagian tengah bangunan utama menempatkan pintu gerbang untuk laluan masuk dan keluar kenderaan yang berurusan dengan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sekarang menjadi ruang lobi menerima pelawat.
Muzium ini mempunyai kantin, kedai cenderamata, dek pemerhatian, dan empat dewan pameran iaitu :
Our Past: Footsteps in Time (Masa Lalu Kita: Menjejaki Masa) – Galeri pertama membentangkan perkembangan minyak dan gas di negara Brunei dan cara hidup Brunei sehingga telaga minyak pertama diterokai pada tahun 1899, bersama-sama dengan kesannya terhadap ekonomi negara dan seluruh dunia. Temui asal usul segala-galanya dalam bilik unjuran 180 darjah.
Our Present : The Nation's Aspiration (Masa Kini Kita: Hasrat Negara) – Galeri kedua mempamerkan perniagaan minyak dan gas semasa negara, termasuk rantaian nilai industri dan infrastruktur sokongan. Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai sektor ini dan bagaimana Brunei memenuhi permintaan minyak dan gas dunia melalui dinding dan stesen interaktif.
Our Future: Our Eyes on Tomorrow (Masa Hadapan Kita: Pandangan Masa Hadapan Kita) – Masa depan sektor minyak dan gas Brunei ditonjolkan dalam galeri ketiga. Dengan penggunaan tablet Augmented Reality (AR) dan stesen interaktif yang menghiburkan, pelajari cara teknologi baharu mengubah dunia perniagaan supaya lebih mampan dan mesra alam.
Art Gallery (Galeri Seni) – Galeri keempat berfungsi sebagai galeri seni sementara untuk sektor kreatif tempatan mempamerkan karya mereka dalam usaha membantu pertumbuhan industri kreatif di Brunei. Penonton akan dapat melihat hasil ciptaan pelukis tempatan melalui persembahan arca, foto, lukisan, dan karya seni berbingkai dan gantung yang lain.
Baru dibuka pada tahun 2022, muzium dan galeri ini amat sesuai dilawati bersama keluarga dan anak-anak.
8. Hotel Empire
Resort bertaraf 5 bintang dengan pantai persendirian, golf course, panggung wayang dan pelbagai kemudahan lain. Walaupun tidak menginap di sini, boleh saja datang untuk merasai suasana.
Dikatakan, hotel ini bukan sahaja yang termewah di Brunei, malah antara termewah dan gah di Asia Tenggara !
9. The Mall Gadong
Kompleks membeli belah paling popular di kalangan rakyat Brunei, menempatkan restoran, food court dan kedai kegemaran ramai. Dibuka pada tahun 2006, ia merupakan antara kompleks membeli-belah terbesar di Brunei Darussalam.
10. Jambatan Sultan Omar Ali Saifuddien, Temburong
Jambatan terpanjang di Asia Tenggara yang baru dibuka untuk kegunaan kenderaan luar negara. Rakyat Brunei telah dapat menikmati kemudahan ini sejak sempadan ditutup kerana wabak COVID-19 pada tahun 2020.
Jambatan sepanjang 30 Kilometer dengan kos 1.6 Billion Dollar Brunei ini menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan daerah Temburong. Kalau sudah sampai di pekan Bangar boleh juga melawat tamu yang menjual antaranya udang galah dan wajid, makanan wajib dibeli disini.
11. Jerudong Park
Taman tema yang yang terdiri dari tiga tema iaitu, Wonder Park, Adventure Park dan Water Park.
Sebagai taman hiburan terbesar di Borneo, Jerudong Park mempunyai pelbagai jenis permainan untuk semua peringkat umur.
Antara tarikan menarik yang terdapat di Jerudong Park adalah ferris wheel yang mana anda dapat melihat kawasan sekitar taman seluas pemandangan, roller coaster yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, bot pedal yang membawa anda mengelilingi sekitar tasik di Jerudong Park, carousel, bumper car, waterpark dan banyak lagi! Ceriakanlah percutian anak-anak anda ke Brunei dengan membawa mereka ke sini.
Tiket masuk boleh dibeli di laman web rasmi dan juga di pintu masuk.
12. Masjid Ash-Shaliheen
Masjid dengan struktur gaya Maghribi dibuka pada tahun 2012 Kubah Turquoise melengkapkan dinding berwarna batu pasir. Arkitek terkenal Mesir Abdel-Wahed El-Wakil menggabungkan unsur-unsur tradisional Afrika Utara dengan seni kontemporari.
13. Seria Energy Lab
Galeri interaktif yang menyeronokkan terutama buat kanak-kanak bagi belajar, meneroka berkenaan industri minyak dan gas di Brunei.
Pusat sains yang dirasmikan oleh Sultan Hassanal Bolkiah ini beroperasi setiap hari kecuali hari jumaat dan isnin. Pusat ini terdiri daripada galeri utama, gelanggang bola keranjang, lubang bola sepak pantai, bilik persidangan, taman permainan, makmal sains, bilik darjah dan teater.
14. Pantai Serasa
Pantai Serasa merupakan pantai rekreasi yang popular di Brunei. Kawasan pantainya terjaga dan sering dibersihkan sisa sisa laut setiap kali selepas air pasang.
Pantai ini lebih kepada tempat untuk relaks dan mengambil angin tepi pantai. Datang ke sini waktu petang berkelah sambil melihat matahari terbenam juga merupakan satu aktiviti yang agak menarik untuk dilakukan di Brunei.
15. Pasar Malam Gadong
Merupakan sebuah pasar malam yang menyediakan banyak gerai-gerai makanan samaada buah-buahan, makanan ringan, ikan bakar, seafood atau pun goreng-gorengan yang berat.
Kalau anda mencari tempat makan jalanan yang tulen, menarik dan agak meriah di Brunei, di sinilah destinasi yang patut anda datang.
Pasar Malam Gadong mula dibuka seawal jam 3.00 petang sehingga jam 12.00 malam. Di Pasar Malam ini ada lebih dari 156 vendor yang menjalankan perniagaan di bawah satu bumbung, menjual makanan penjaja, hasil segar, kraf tangan dan pelbagai barangan lain termasuk pakaian.
Antara hidangan tempatan seperti sate (lidi daging barbeku), kuey teow, nasi katok (nasi lemak) dan macam-macam lagi dijual dalam pelbagai variasi. Banyak pilihan makanan dan minuman, lebih menarik, ia umpama pusat jualan setempat bagi penduduk Brunei yang mungkin akan menawarkan harga yang lebih murah dan berbaloi.
16. Istana Nurul Iman
Istana Nurul Iman merupakan sebuah istana yang sangat besar, malah dikatakan Istana Nurul Iman antara istana terbesar dan termewah di dunia.
Istana ini mempunyai 1,788 bilik, 257 bilik bersiram serta sebuah dewan jamuan yang boleh menampung seramai 5,000 orang dan masjidnya sendiri yang boleh memuatkan seramai 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Di istana ini juga terdapat 110 buah garaj kereta, kandang kuda berhawa dingin yang menempatkan 200 ekor anak kuda polo milik Sultan serta 5 buah kolam renang. Secara keseluruhan, Istana Nurul Iman mempunyai ruang lantai sebesar 2,152,782 kaki persegi (200,000 m²).Disebabkan saiz istana ini yang sangat besar, maka terdapat 564 lampu candelier, 51,000 mentol lampu, 44 tangga dan 18 lif di situ.
Pada hari kebiasaan, anda hanya boleh melawat sehingga ke pintu pagar utama dan hanya melihat istana dari luar. Bolehlah bergambar.
Namun jika anda berkesempatan, anda boleh datang pada sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri kerana pada waktu ini pihak sultan mengadakan acara rumah terbuka dan junjung ziarah di Istana Nurul Iman dan masa inilah pelawat dibenarkan untuk measuk ke dalam istana. Setiap tahun jumlah pengunjung yang datang melawat istana ini mencecah lebih 100,000.
Setiap kali berlangsungnya rumah terbuka di istana ini, setiap pengunjung semestinya tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan Sultan Brunei. Setiap pengunjung juga akan dihidangkan dengan jamuan percuma.
17. Taman Rekreasi Tasek Lama
Merupakan sebuah taman rekreasi yang terletak hanya beberapa minit dari pusat Bandar Seri Begawan. Hutan-hutan berada di bahagian kanan bandar dan tasik lamanya pula berada di dalam hutan tersebut.
Taman ini memang popular di kalangan orang setempat untuk melakukan senaman di pagi dan petang hari. Sekiranya anda nak releks-releks dan bersenam sambil menikmati udara segar, di sinilah destinasi yang patut anda kunjungi di Brunei.
Terdapat juga laluan/ trek jogging dan laluan jalan kaki di sini. Tumbuhan juga ditanam di sekitarnya yang membuatkan landskap Taman Rekreasi Tasek Lama lebih mesra alam dan sistematik.
Sekiranya anda lebih gemar eksplorasi, kemaskan peralatan mendaki anda dan pergi ke denai hutan di Sarang Helang (Eagle’s Nest) atau Bukit Markuching. Menara tinjau boleh memberi anda pemandangan indah taman. Pastikan anda singgah di air terjun yang boleh anda nikmati.
Dengan banyaknya pokok, flora dan fauna, taman ini juga menjadi habitat kepada hutan berbukit dengan berbilang denai yang menghala lebih dalam ke dalam hutan belantara, termasuk yang menuju ke takungan.
Dikatakan lebih 80 spesies burung telah direkodkan ditemui di sini, termasuk Straw-headed Bulbul dan White-rumped Shama.
Tambahan lagi, waktu terbaik untuk melihat burung adalah pada jam 6 hingga 10 pagi dan 4 hingga 6.30 petang.
18. Tamu Kianggeh
Tamu Kianggeh adalah sebuah pasar awam di Bandar Seri Begawan. Pasar ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang. Pasar ini agak sibuk pada hari Jumaat dan Ahad. Hasil segar biasanya dijual pada harga yang lebih murah daripada supermarket. Untuk melawat ke Tamu Kianggeh, anda perlu berjalan di seberang Sungai Kianggeh di mana anda dapat melihat teksi air yang menurunkan pelanggan di jeti.
Sekiranya bernasib baik, anda boleh menyaksikan persembahan gulingtangan secara langsung, alat muzik kuningan tradisional. Ini adalah sebahagian daripada apa yang membuatkan Tamu Kianggeh unik, pelancong akan dapat melihat unsur-unsur budaya Brunei yang semakin pupus, seperti kraftangan tradisional seperti keranjang tangan, dulang dan pasu.
19. Pusat Kesenian Brunei
Pusat Latihan Seni dan Kraftangan Brunei adalah pusat kerajaan yang diselaraskan oleh Muzium Brunei. Kebanyakannya wujud untuk menghidupkan semula seni dan kraftangan tukang dan penenun. Fungsi Jawatankuasa ini adalah untuk melaksanakan dasar dan program untuk menghidupkan semula seni dan kraftangan yang hampir menghilangkan pengrajin tukang dan penenun wanita. Dengan adanya pusat ini, seni dan kraftangan daripada negara Brunei ini dapat dikekalkan dan diteruskan supaya dapat dilihatkan kepada generasi yang akan datang.
20. Tamu Tutong
Kompleks Pasarneka dan ‘Tamu Tutong’ berada di Kampong Serambangun Tutong. Bagi warga tempatan, kompleks ini lebih dikenali sebagai ‘Tamu Tutong.’ Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong ini hanya diadakan pada setiap hari Khamis dan mula dibuka seawal jam lima pagi.
Tamu Tutong ini sentiasa dipenuhi orang ramai. Apa yang menariknya berkunjung ke Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong ini ialah terdapat pelbagai barangan seperti buah-buahan, sayur-sayuran segar, bunga-bungaan, ikan, ayam dan daging segar yang dijual.
Selain itu, tamu ini juga mempunyai tempat kawasan gerai makan yang boleh dikunjungi orang ramai pada bila-bila masa. Kira-kira seramai 200 lebih pengusaha termasuklah warga emas ikut menjual di Tamu Tutong.
Selain itu, kompleks tersebut juga mempunyai satu tempat bagi ‘Tamu Mingguan Satu Kampung Satu Produk (1K1P)’.Tamu Mingguan 1K1P adalah sebagai inisiatif mempromosikan produk-produk orang kampung dari Daerah Tutong, Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait.
Tamu Tutong sering kali menjadi tumpuan lawatan para pelancong di negara ini.
21. Taman Negara Ulu Temburong
Ulu Temburong National Park merupakan taman negara pertama yang dibina di Brunei dan mula dipelihara sejak tahun 1991.
Ia turut digelar sebagai ‘Permata Hijau Brunei’ dan menjadi contoh terbaik dasar perlindungan hutan yang Berjaya. Dikatakan kawasan ini mendapat peruntukan yang besar daripada kerajaan bagi tujuan proses pemuliharaan.
Pelancong yang berminat boleh menjelajah hutan dan melihat pemandangan menarik dan hidupan liar dari jambatan kanopi. Destinasi ekopelancongan ini mempunyai beberapa sungai utama seperti Sungai Temburong dan Sungai Belalong.
Untuk ke sini anda perlu menaiki bot panjang di Bandar Seri Begawan. Di sini anda boleh melakukan beberapa aktiviti seperti canopy walk, menaiki bukit, melawat ruang pameran kayu, dan berkayak.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah bermandi-manda di dalam air segar dari kawasan gunung di Sungai Temburong, berkayak, memerhati burung dan banyak lagi. Di sini juga terdapat dalam sekitar 400 jenis rama-rama.
Taman negara ini turut menyediakan penginapan di Ulu-Ulu Resort.
22. Billionth Barrel Monument
Brunei merupakan antara negara pengeluar minyak yang terbesar di Asia Pasifik. Oleh itu sebuah tugu telah dibina sekitar tahun 1991 bagi memperingati pengeluaran 1 billion tong minyak yang dihasilkan di medan minyak darat di Seria.
Tugu ini turut dibina berhampiran S-1 iaitu telaga pertama yang ditemui oleh Brunei Shell Petroleum pada tahun 1929.
Destinasi yang terletak berhampiran pantai ini terdapat lima paip yang membentuk struktur gerbang yang mengingatkan kepada lima rukun islam serta jubin lantainya menggunakan reka bentuk model islam serta hasil tangan arkitek warga tempatan.
Di sini turut dijadikan galeri seni lukis terbuka bagi mempamerkan hasil karya pelukis tempatan negara Brunei.
23. Pantai Muara
Di Brunei ini anda turut berpeluang untuk menikmati percutian di tepi pantai. Pantai Muara ini dahulunya terbentang hingga ke Pelumpong Spit sebelum ia dipisahkan untuk memberi laluan mudah ke Pelabuhan Muara pada tahun 1960an.
Pantai ini terletak pada jarak anggaran 27 km dari Bandar Seri Begawan dan 3 km dari Pelabuhan Muara.
Pantai yang seluas 11 hektar ini turut mempunyai fasiliti rekreasi yang agak lengkap seperti trek sepanjang 1.2 km, padang bola tampar, padang bola sepak pantai, tapak perkhemahan dan banyak lagi.
24. Pantai Seri Kenangan
Nak tahu apa yang menariknya tentang Pantai Seri Kenangan ini? Air laut pantai ini terbahagi daripada air Sungai Tutong dengan sedikit kawasan tanah sahaja. Perbezaan air daripada 2 sumber yang berbeza ini dapat dilihat dari keadaan air sungai yang kelihatan lebih tenang dan air laut yang berombak.
Selain itu, daripada Pantai Seri Kenangan ini juga anda dapat menyaksikan pemandangan matahari naik dan terbenam yang cukup mengujakan. Kawasan pantai ini juga dikelilingi dengan gerai-gerai jualan makanan dan juga restoran.
25. Hutan Simpan Labi
Hutan Simpan Labi merupakan salah satu daripada tarikan alam semulajadi yang terdapat di Brunei. Keindahan hutan simpan ini adalah kerana kawasan sungainya yang mengalir tenang, kolam-kolam semulajadi untuk bermandi-manda dan juga pokok-pokok di sekitar yang menyejukkan pandangan mata.
Sekiranya anda datang ke sini pada waktu malam, anda mungkin akan menjumpai cendawan yang bercahaya, flora yang cukup unik!
26. Taman Warisan Tasek Merimbun
Tasek Merimbun adalah sebuah tasik semula jadi yang terbesar di Brunei. Ia terletak berhampiran Mukim Rambai di Daerah Tutong, kira-kira 70 km dari ibu negara, Bandar Seri Begawan.]Tasik berbentuk S ini terletak 27 km dari Pekan Tutong dan ia dikelilingi oleh Taman Warisan Tasek Merimbun seluas 7800 hektar.
Pada tahun 1967, Pengarah Jabatan Muzium Brunei yang pertama mencadangkan Tasek Merimbun sebagai aset berharga dan Perlindungan Hidupan Liar yang berpotensi. Tinjauan mengenai kepelbagaian bio dan aktiviti sosio-ekonomi Tasek Merimbun yang dijalankan pada 1983-84 membawa kepada penemuan kelawar Buah Kolar Putih yang jarang ditemui. Penemuan ini merupakan sebab utama penetapan Taman Warisan Tasek Merimbun pada 29 November 1984 sebagai Taman Warisan ASEAN yang kesebelas.
Warna air tasik ini adalah hitam, namun ia bukannya kerana pencemaran tetapi air tasik ini menjadi hitam disebabkan oleh tannin yang dibebaskan dari daun-daun yang jatuh ke dalam air tasik ini.
Pemandangan di sekitar tasik ini cukup indah yang mana anda dapat melihat pelbagai jenis burung berterbangan dan banyak lagi haiwan lain. Di tengah-tengah tasik ini juga terdapat sebuah pulau yang boleh diakses dengan menggunakan jambatan kayu yang disediakan.
Kalau anda ingin menerokai dengan lebih luas lagi, anda boleh menyewa bot, dapatlah anda sekeluarga makan angin sepuas hati di sini.
27. Muzium Teknologi Melayu
Muzium Teknologi Melayu dibuka rasmi pada 29 Februari 1988 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Muzium ini mempamerkan pelbagai teknologi tradisi yang digunakan oleh penduduk tempatan di Negara Brunei Darussalam. Muzium ini banyak mempamerkan teknologi-teknologi tradisi yang digunakan oleh penduduk di Kampong Ayer dan masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan darat.
Muzium Teknologi Melayu terdapat tiga galeri pameran iaitu:
GALERI 1 | RUMAH TRADISI KAMPONG AYER
Galeri ini mempamerkan enam buah contoh rumah tradisional yang terdapat di Kampong Ayer dalam lingkungan akhir kurun ke-19 hingga pertengahan kurun ke-20. Evolusi penggunaan bahan-bahan binaan dapat dilihat melalui rekabentuk struktur binaan. Kesemua model-model rumah tersebut dapat menyediakan rekod pensejarahan kepelbagaian pengaruh-pengaruh bentuk binaan.
GALERI 2 | TEKNOLOGI TRADISI KAMPONG AYER
Mempamerkan kepelbagaian teknologi tradisi dan perusahaan-perusahaan yang terdapat di Kampong Ayer seperti alat menangkap ikan, tenunan, memburis perahu dan penuangan tembaga.
GALERI 3 | TEKNOLOGI TRADISI MASYARAKAT TEMPATAN DI KAWASAN DARAT
Galeri ini mempamerkan beberapa jenis teknologi tradisi yang digunakan oleh masyarakat tempatan seperti dalam perusahaan membuat sago, pemprosesan gula dan penanaman padi. Galeri ini juga mampamerkan contoh rumah tradisional etnik Dusun, Kedayan, rumah panjang etnik Murut dan pondok etnik Penan.
28. Muzium Maritim Brunei
Muzium Maritim Brunei Darussalam terletak di Kota Batu, dan merupakan repositori sejarah maritim yang mengandungi peninggalan artifak dan pertukangan maritim dari berbagai era. Ia dibangunkan di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 dengan peruntukan BND5 juta di atas tanah seluas 3.53 hektar (8.74 ekar).
Reka bentuk Bangunan Muzium Maritim Brunei Darussalam adalah berkonsepkan sebuah kapal, dari pandangan depan, bersesuaian dengan penglibatan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat perdagangan yang masyhur pada zaman dahulu.
Muzium Maritim Brunei Darussalam terdapat tiga galeri iaitu:
1 |GALERI KAPAL KARAM BRUNEI
Galeri ini mempamerkan penemuan Kapal Karam Brunei pada tahun 1997. Kapal Karam Brunei merupakan satu penemuan yang penting dalam sejarah maritim Negara Brunei Darussalam kerana ianya menggambarkan peranan Brunei dalam perdagangan maritim dengan negara-negara luar pada akhir abad ke-15 sehingga awal abad ke-16 masihi.
2 | GALERI KEGEMILANGAN MARITIM BRUNEI
3 | GALERI TAPAK WARISAN ARKEOLOGI
29. Taman Arkeologi Kota Batu
Terletak di Jalan Sultan Bolkiah, Kampung Kota Batu, kira-kira 5km dari Bandar Seri Begawan, Taman Arkeologi Kota Batu ialah tapak yang pertama diwartakan dibawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam, tahun 1967, Edisi Semakan 1984, 1991, 2002 dan merupakan tapak arkeologi terpenting di Negara ini.
Dipercayai sebagai tapak Ibu Kota Brunei Tua antara abad ke 14-17 masihi, Kota Batu juga berperanan sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan dan pusat pemukiman utama Brunei pada ketika itu.
Taman ini juga signifikan dalam penyelidikan fauna dan flora. Kajian ethno-arkeologi juga dilakukan terhadap sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan di tapak ini dan menunjukkan kepakaran penduduk di zaman dahulu menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai bahan untuk seni bina, perusahaan, perubatan dan permakanan.
Kemudahan yang disediakan di Taman Arkeologi Kota Batu ini ialah; pejalan kaki sepanjang 1,580 meter, pondok-pondok rehat, jambatan penghubung ke Pulau Terindak dan kemudahan-kemudahan asas iaitu tempat berehat, tandas awam dan tempat letak kereta awam.
30. Muzium Daerah Belait
Bangunan ini di bina pada tahun 1938, di atas tanah berkeluasan enam ekar, pada mulanya merupakan tempat kediaman bagi Penolong Residen British sebelum dijadikan kediaman rasmi Pegawai Daerah Belait sehingga tahun 1990. Selain daripada tempat kediaman, bangunan ini mempunyai lakaran sejarah yang tersendiri iaitu pernah digunakan sebagai dewan santap semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Daerah Belait bersempena dengan hari keputeraan Baginda.
Konsep seni bina bangunan ini adalah gabungan di antara seni bina Melayu tempatan dengan seni bina kolonial.
Terdapat lima galeri pameran di dalam muzium ini;
- Galeri Warisan Budaya / Cultural Gallery
- Galeri Warisan Sejarah (Pentadbiran dan Perkembangan Daerah Belait) /History (Administration and Development of Belait District)
- Galeri Warisan Sejarah (Minyak dan Gas) /History of Oil and Gas
- Galeri Warisan Alam Semula Jadi / Natural History
- Galeri Sementara (untuk pameran berkala). / Temporary Gallery
31. Galeri Sukan
Galeri Sukan Negara Brunei Darussalam yang terletak di Stadium Negara Hassanal Bolkiah telah dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada 7 April 2014.
Galeri ini mempamerkan perkembangan sukan di negara ini dan memberikan penghargaan serta pengiktirafan kepada tokoh-tokoh dan ahli-ahli sukan yang telah mengharumkan nama negara pada kejohanan sukan serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, Kejohanan Bolasepak Piala Malaysia, Kejohanan Bolasepak Liga Singapura, Kejohanan Bolasepak Piala Hassanal Bolkiah bagi Belia ASEAN dan Sukan Para yang melibatkan atlet-atlet yang berkeperluan khas. Turut dipamerkan ialah piala, pingat, cenderamata, peralatan sukan dan gambar-gambar kenangan para atlet negara.
Galeri Sukan mengandungi sebanyak (5) lima zon pameran dan (3) tiga sudut khas:
Zon A mempamerkan penglibatan atlet Negara dalam sukan dari tahun 1950-an hingga 1980-an, merangkumi sukan bola sepak, hoki, go-kart, tarik kalat dan banyak lagi. Antara atlet yang telah mengharumkan nama negara pada tahun berkenaan seperti Aloysius Sibidol, Awang Suhaili bin Lani, Awang Zainuddin bin Dato Marsal dan Awang Zunaidi bin Hamdan, Dayang Sanah binti Tamit, Onn Timbang, Zainal Abidin Sanif, Ak Yunus, Yaakub Mohamad, Rani Metassan, Sinin Metali, Awang Ahmad bin Rashid dan Awang Ali bin Haji Ismail.
Zon B mempamerkan penyertaan dan penglibatan Kerabat Diraja dalam sukan.
Zon C mempamerkan beberapa kejayaan atlet-atlet negara dan mengimbas kembali kejayaan penganjuran Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-20. 'Awang Budiman' adalah mascot Sukan SEA ke-20 sebagai lambang identiti kebruneian.
Zon D adalah pameran bagi penglibatan Majlis Sukan Olimpik Negara Brunei Darussalam (BDNOC) ke Kejohanan Sukan Antarabangsa. Dalam zon ini juga mempamerkan kejayaan pasukan negara di Kejohanan Sukan Bolasepak Piala Hassanal Bolkiah Bagi Belia ASEAN (HBT) tahun 2012.
Zon E adalah pameran gabungan mengenai kejayaan pasukan Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan bola sepak semasa menjuarai Piala Malaysia 1999, Brunei DPMM FC menjuarai Piala Liga (League Cup) Singapura 2009 & 2012; penyertaan atlet Brunei dalam Sukan Malaysia, Sukan Persahabatan Bimp-Eaga, Sukan Arafura, dan Sukan Borneo serta penyertaan atlet-atlet kurang upaya dalam Sukan Para peringkat negara dan antarabangsa.
Dewan Kecemerlangan memaparkan wajah-wajah atlet negara yang telah berjaya menempa nama di persada sukan, membawa pulang pingat dan mengharumkan negara di peringkat antarabangsa. Mereka menjadi tokoh-tokoh sukan dalam ristaan yang dapat dibanggakan. Di samping itu, sudut ini juga mencatatkan nama-nama atlet yang telah berjaya memenangi pingat emas dalam Sukan SEA, Kejohanan Peringkat Asia & Serantau
Sudut Persatuan mempamerkan sejarah ringkas penglibatan beberapa Persatuan Sukan Kebangsaan khususnya bagi Sukan Teras (Core Sports). Di samping itu, sudut ini juga memperlihatkan koleksi pakaian dan piala yang dimenangi.
Sudut Interaktif menyediakan beberapa jenis permainan dalam bentuk mini seperti permainan golf, bola keranjang, 'snakes and ladders', dart dan banyak lagi untuk memberi pulang dan pengalaman kepada pelawat memainkan sendiri permainan berkenaan.
32. Pantai Jerudong
Menghaadap Laut China Selatan, pantai ini agak sibuk dengan nelayan-nelayan yang mencari rezeki.
Banyak bot dapat dilihat tersadai di sekitar Pantai Jerudong ini, keindahan kawasan pantai ini ditambahkan lagi dengan pokok-pokok kasuarina dan kelapa yang banyak mengelilingi sekitarnya, memang sesuailah untuk anda jadikan salah satu setting fotografi.
Berdekatan dengan pantai ini juga terdapat Pasar Ikan Jerudong yang menjual bermacam jenis hasil laut yang segar-segar, bukan itu sahaja, buah-buahan dan sayuran pun ada.
33. The Cement Wreck
Cement Wreck dikatakan sebagai salah satu daripada kawasan menyelam yang terkenal di Brunei. Dengan kedalaman dari 9 ke 32 meter, anda dapat melihat sisa kapal karam yang dikelilingi oleh batu karang dan banyak hidupan laut yang penuh warna-warni.
Al-kisahnya, pada tahun 1980, sebuah kapal kargo dari Jepun tenggelam semasa dalam perjalanan ke Brunei, dan inilah kapal yang dapat anda terokai apabila menyelam di sini.
Satu panorama dalam air yang unik dan sangat indah untuk dilihat dan dialami sekali di dalam hidup. Kawasan karam ini juga dikatakan sebagai yang paling fotogenik di Asia.
34. Muzium Brunei
Memiliki beberapa bahagian galeri antaranya adalah Galeri Seni Islam, Galeri Sejarah dan ruang galeri untuk pameran sementara.
Antara barangan yang paling antik yang terdapat di muzium ini adalah barangan seramik dari Iran serta kaca dari Mesir yang dianggarkan telah wujud sejak abad ke-9 dan ke-10 lagi. Nak tahu apa lagi yang ada di sini? Mai datang!
35. Taman Persiaran Damuan
Terletak berdekatan dengan Sungai Brunei, di Damuan Recreational Park, anda dapat berekreasi sambil menikmati pemandangan air yang tenang ini. Bukan itu sahaja pemandangan yang disajikan di hadapan anda, dari taman rekreasi ini juga anda dapat melihat dengan jelas bangunan kebanggaan Brunei, Istana Nurul Iman!
Apa lagi, ajak keluarga anda berjogging ramai-ramai di sini! Di samping pemandangan yang menarik, taman ini turut lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti tandas, bilik mandi dan taman permainan, tempat makan pun ada.
36. Hutan Simpan Peradayan
Hutan Simpan Peradayan yang berkeluasan 1,070 hektar ini meliputi 2 buah bukit iaitu Bukit Perdayan yang berketinggian 1,225 kaki dan Bukit Patoi, 950 kaki. Sekiranya anda bercadang untuk meredah Hutan Simpan Peradayan ini, pastikan anda memakai pakaian yang sesuai, dan berhati-hati terutama sekali selepas hujan kerana perjalanan mungkin licin.
Walaupun perjalanan menuju ke kawasan puncak di kawasan hutan ini agak mencabar, namun ganjaran yang menanti anda sangatlah mengasyikkan. Anda dapat melihat keindahan hutan yang menghijau, air laut yang membiru dan kawasan perkampungan di Sarawak. Jangan lupa untuk mengabadikan pemandangan ini dengan kamera anda!