HalalXPlorer Logo
feri langkawi
17 January 2023

Mutu Feri Langkawi Akan Ditambah Baik Menjelang Lima'23 & Musim Perayaan

Kongsikan:

Kementerian Pengangkutan akan memperbaiki perkhidmatan feri ke Langkawi bagi menerima kemasukan pelancong menjelang musim perayaan dan persiapan menghadapi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata ketika ini terdapat beberapa cabaran membabitkan perkhidmatan feri ke Langkawi yang perlu diberi perhatian.

Katanya, ketika ini perkhidmatan feri masih beroperasi namun kapasitinya perlu dipertingkatkan.

"Selain itu, terdapat juga beberapa isu operasi yang perlu diselesaikan dan saya sudah mengarahkan Jabatan Laut untuk melihat perkara ini dengan serius dan bekerjasama dengan operator feri.

"Perkara ini bukan hanya untuk LIMA, malah sekarang untuk perayaan Tahun Baharu Cina, yang mana terdapat banyak permintaan ke Langkawi," katanya pada sidang media pelancaran LIMA '23, di MITEC, hari ini.

Loke berkata, pameran LIMA pada tahun sebelumnya menarik ramai pelancong domestik untuk ke Langkawi.

Katanya, pihaknya akan cuba menyelesaikan isu pengangkutan yang dihadapi supaya tidak membantutkan sektor pelancongan di Langkawi.

"Saya yakin penganjuran LIMA '23, tempiasnya agak besar untuk industri pelancongan dan ekonomi, khususnya di Langkawi.

"Oleh itu, kementerian akan menyokong penuh usaha ini bagi melaksanakan LIMA '23 dengan terbaik sekali supaya memberikan imej positif untuk negara di persada antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Loke berkata, infrastruktur pengangkutan di Langkawi antaranya perkhidmatan teksi, lapangan terbang sudah bersedia untuk menerima permintaan.

Katanya, kementerian juga akan membantu sekiranya terdapat keperluan untuk kelulusan permit teksi atau e-hailing di Langkawi.

"Kita akan cuba yang terbaik bagi membantu untuk memudahkan permohonan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA