Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline, memulakan promosi tambang super rendah baharu bagi penerbangan untuk tempoh Ogos hingga Oktober 2023.
Untuk dua hari sahaja (28-29 Januari 2023), anda boleh menikmati tambang sehala semua dalam dari serendah RM39 serta bagasi 15kg percuma apabila anda menempah penerbangan untuk tempoh perjalanan antara 1 Ogos hingga 27 Oktober 2023.
Penerbangan dari Kuala Lumpur (KLIA2) ke Langkawi, Kota Bharu dan Pulau Pinang ditawarkan daripada RM39 sehala (atau RM78 pergi balik), manakala penerbangan ke destinasi Sarawak seperti Kuching, Miri dan Sibu, bermula dari RM69 sehala. Penerbangan dari KLIA2 ke Tawau dan Kota Kinabalu ditawarkan dari RM99 sehala.
Ambil perhatian bahawa anda mesti memilih pilihan bagasi berdaftar 15kg untuk kedua-dua perjalanan, pergi dan pulang untuk menikmati tawaran bagasi percuma.
Lazimnya, MYAirline mengenakan bayaran RM30 untuk menambah 15kg elaun bagasi untuk penerbangan dalam Semenanjung Malaysia atau RM35 jika anda terbang ke Sabah dan Sarawak. Untuk menempah tambang promo dengan bagasi berdaftar percuma untuk bulan Ogos hingga Oktober, anda boleh melakukannya secara dalam talian melalui laman web MYAirline.