Umrah merupakan salah satu ibadah yang menjadi impian umat Islam. Menurut Ijma’ Ulama’, umrah wajib dilakukan sekali sepanjang hidup bagi orang yang mampu (sekali dengan haji).
Bagi yang berhajat untuk mengerjakan umrah, terdapat panduan umrah yang boleh diikuti. Ia sebagai rujukan untuk kita mengetahui apa yang kita boleh buat, apa yang dilarang dan sebagainya.
Dengan panduan umrah ini, diharapkan agar dapat membantu anda melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Maksud Umrah
Umrah ialah haji kecil, ia diambil dari perkataan al-I’timar yang bermaksud ziarah. Orang yang mengerjakan umrah akan berniat ihram umrah dari miqat, mengerjakan tawaf Qudum, bersaie dan seterusnya bertahallul dari ihram dengan bercukur atau bergunting.
Rukun Umrah
Berikut merupakan 5 rukun umrah yang perlu anda ketahui:
1. Berihram
Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, memakai 2 lembar kain yang tidak berjahit.
Manakala bagi wanita pula pakaian ihram lebih bebas yang menutup seluruh tubuh, kecuali wajah dan telapak tangan.
Disunatkan memakai pakaian berwarna putih.
2. Tawaf
Mengelilingi kaabah 7 pusingan. Niat tawaf adalah “Aku berniat tawaf umrah di Kaabah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”
3. Saie
Syarat sah saie ialah dilakukan selepas tawaf, dengan tujuan hendaklah semata-mata untuk saie. Bermula dari bukit Safa dan tamat di bukit Marwah, sempurna bilangan 7 kali dari kaki bukit ke kaki bukit.
Perjalanan tidak boleh terputus, seperti melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula dengan pintu lain.
4. Tahallul
Mencukur atau menggunting sebahagian rambut di kepala selepas selesai saie bagi menandakan telah selesai mengerjakan umrah. Memotong rambut sekurang-kurangnya 3 helai namun adalah afdhal bagi lelaki untuk bercukur.
Bagi yang tiada rambut di kepala, memadai melalukan pisau di kulit kepala. Bagi wanita, boleh memotong mana-mana bahagian rambut asalkan tidak kurang dari 3 helai.
5. Tertib
Setiap rukun yang dilakukan mesti mengikut turutan dengan tertib.
Persediaan Sebelum Mengerjakan Ibadah Umrah
Sebelum menunaikan umrah di Mekah, perkara-perkara sunat boleh dilakukan di hotel penginapan sebelum niat umrah.
Antara persediaan umrah ialah:
- Memotong kuku, merapikan janggut, misai dan rambut, mencabut bulu ketiak, menggosok gigi dan membersihkan anggota badan
- Mandi sunat ihram
- Mengambil wudhu’
- Memakai pakaian ihram selepas mandi sunat ihram
- Solat sunat ihram, boleh dilakukan di hotel atau di Miqat sebelum niat ihram
Kelengkapan Umrah (Senarai Barang yang Perlu Dibawa)
Senarai kelengkapan umrah yang perlu ada dalam checklist anda:
- Kain ihram dan aksesori
- Telekung dan mini telekung
- Sejadah
- Botol spray wudhu’
- Pakaian yang sesuai
- Uncang untuk simpan kasut
- Label beg dan telekung
- Ubat-ubatan dan keperluan kesihatan
- Buku doa
Panduan Umrah yang Ringkas dan Mudah (Mengikut Sunnah Nabi)
Berikut adalah panduan yang sesuai bagi jemaah yang bermula dari Madinah kemudian ke Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah. Perjalanan anda bermula dari satu tempat bernama Miqat Birr ‘Ali.
Di sini anda disunatkan untuk bersolat sunat tahiyatul masjid dua rakaat, kemudian berniat untuk mengerjakan umrah dan berihram kerana Allah Taala.
Ketika ini, anda juga disunatkan untuk bertalbiyah:
Selepas anda tiba di Mekah dan selesai urusan check-in hotel, inilah saat nya untuk mengerjakan umrah.
Semuanya bermula di saat anda memasuki kompleks Masjidil Haram. Anda digalakkan untuk berdoa sebaik sahaja masuk ke Masjidil Haram. Terdapat banyak Sunnah Nabi yang anda boleh amalkan sepanjang umrah. Anda boleh menonton penerangan dan tatacara umrah seperti diterangkan Ustaz Shamsuri Hj Ahmad di bawah :
Larangan Semasa Ihram
Setelah melafazkan niat ihram dan lengkap berpakaian ihram, anda mesti meninggalkan larangan ihram.
Berikut merupakan 13 larangan semasa ihram yang patut anda ketahui.
Jika anda melanggar salah satu atau lebih daripadanya, anda akan dikenakan dam:
1. Memakai sarung tangan |
2. Memakai bau-bauan atau minyak wangi (di badan atau pakaian) |
3. Memakai minyak rambut, janggut atau semua bulu lain selain dari bulu di pipi dan dahi |
4. Mencabut rambut atau apa-apa bulu lain di badan |
5. Memotong kuku |
6. Mengerat, memotong, mencabut atau menebang pokok di Tanah Haram |
7. Memburu atau membinasakan binatang buruan (yang halal dimakan) di Tanah Haram |
8. Melakukan pendahuluan persetubuhan (yang menaikkan nafsu syahwat) |
9. Berjimak atau bersetubuh |
10. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin |
11. Memakai pakaian bersarung, berjahit atau bercantum (untuk lelaki sahaja) |
12. Menutup kepala atau sebahagian darinya seperti kopiah atau topi (untuk lelaki sahaja) |
13. Menutup muka atau seperti pakai purdah (untuk wanita sahaja) |