HalalXPlorer Logo
15 December 2023

Rumah Kampung Boy bakal jadi tarikan baharu di Perak akhir 2020

Kongsikan:

Sebelum wujudnya puluhan siri animasi moden yang menjadi kegemaran kanak-kanak masa kini, kita terlebih dahulu dihidangkan dengan siri animasi yang cukup menghiburkan berlatarkan kisah budak-budak kampung.

Siapa tak gemar siri animasi Kampung Boy yang begitu terkenal yang cukup terkenal di sekitar pada tahun 1999 dan 2000 yang lalu. Walaupun siri animasi ini hanya mempunyai 26 episod dari 2 musim sahaja, namun cukup meninggalkan bekas pada sesiapa sahaja yang membesar pada waktu zaman kegemilangannya.

Siri animasi Kampung Boy itu mengisahkan kehidupan seharian kanak-kanak di kampung sekitar 1950-an yang diilhamkan dari kisah benar pelukis karikatur ini sendiri.

Animasi ini diadaptasikan daripada komik yang beliau lukiskan pada 1970-an ketika berada di Amerika Syarikat kerana pada masa itu, nama Malaysia tidak dikenali dan beliau mahu mengubah perkara tersebut.

Nampaknya, impian kartunis tersebut benar-benar menjadi realiti apabila watak kartun ini benar-benar mendapat tempat di hati masyarakat.

Selain daripada watak animasi atau karikatur , salah satu ikon terkenal menggambarkan siri animasi ini adalah sebuah rumah kampung didiami oleh watak utama animasi tersebut iaitu Mat.

Tetapi, tahukah anda, sebenarnya rumah di dalam animasi tersebut sebenarnya memang wujud?

Rumah yang digambarkan dalam siri animasi atau komik lukisan Kampung Boy itu sebenarnya adalah rumah sebenar yang pernah diduduki oleh kartunis animasi ini sendiri iaitu Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid , yang kini telah pun berusia 69 tahun.

Rumah tersebut terletak di Batu Gajah adalah rumah milik ibu-bapa beliau dan disitulah beliau dibesarkan . Namun, rumah ikonik tersebut sudah tidak lagi wujud.

Walaupun begitu, kita berpeluang untuk kembali menggamit memori dan nostalgia bersama animasi Kampung Boy apabila replika rumah Lat ini sedang dibina di Kampung Gajah, Perak dan dijangka bersedia menerima pelancong pada akhir tahun 2020 ini. Lihat video kerja-kerja pembinaan rumah ini pada tahun lalu.

https://www.youtube.com/watch?v=GTMcEDafViw

Replika rumah tersebut beserta galeri Lat itu dibina di tapak pada jarak kira-kira 30 minit dari tempat Lat membesar.

Apabila Rumah Lat dan Galeri dibuka nanti, ia akan memberi gambaran mengenai kehidupan kartunis terkenal itu yang sebelum ini dapat dilihat dalam komik sahaja.

Pengunjung boleh mengimbau kenangan masa lalu lengkap dengan perabot yang kebanyakannya dari era sebelum Perang Dunia Kedua. Ianya termasuk meja solek, meja makan dan kerusi, cermin dan rak almari asal milik keluarga Lat yang digunakan untuk menyimpan rekod ketika usia beliau 19 tahun.

"Masih ingat lagi, saya akan mengunci almari itu kerana rakan serumah akan menyelongkar piring hitam milik saya dan pakai pakaian saya.

"Almari itu adalah antara barang berharga buat saya ketika itu, malah saya berjimat untuk membeli piring hitam dan pakaian kerana saya percaya perlu kelihatan segak pada usia itu," katanya mengimbau kenangan tentang almari kesayangannya itu kepada The Star.

Lat memberitahu projek itu adalah sesuatu yang sangat peribadi buat dirinya dan beliau sangat gembira apabila projek tersebut turut mendapat sokongan kerajaan negeri Perak dan beliau tidak sabar untuk melihat reaksi pengunjung yang melawat rumah itu apabila ia dibuka kelak.

"Saya cukup teruja untuk memberi orang ramai melihat rumah dan galeri ini. Saya rasa ia akan menjadi tarikan baru kepada generasi muda. Sebanyak mana saya menikmati sepanjang menjayakan projek ini, ia bukan untuk saya tetapi masa depan," ujarnya.

Di galeri pula, ia bakal menempatkan karya selama empat dekad Lat sejak 1964 dan kepada yang mengagumi hasil kerjanya, ini adalah lokasi sesuai untuk dikunjungi nanti.

Sepatutnya rumah Lat dan galeri akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada bulan Julai ini, namun disebabkan penularan wabak COVID-19 ketika ini yang merencatkan begitu banyak aktiviti harian, maka pembukaan rumah tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga hujung 2020.

Lat berharap Rumah Lat dan Galeri itu dapat berdiri kukuh untuk jangka masa panjang bagi membolehkan generasi akan datang mengenali sejarah dan nostalgia zaman lalu.



InsyaAllah kita akan dapat merasai sendiri apa yang cuba digambarkan oleh Dato Lat dalam karyanya nanti.

Lebih info menarik di SurgaRoute

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA