Sebut mengenai Pulau Pinang, pastinya orang ramai sedia maklum di mana negeri ini sememangnya cukup terkenal dengan kehadiran pelancong tempatan dan juga luar negara.
Disebabkan itu, memang banyak hotel dan juga homestay yang dibangunkan di sekitar negeri ini.
Bagaimanapun, dikatakan ada penduduk setempat yang merasa kurang selesa dengan tindakan segelintir pelancong yang menginap di homestay.
Sehubungan dengan itu, Pulau Pinang dilaporkan sedang merancang untuk mengharamkan penawaran homestay dalam memberi keselesaan kepada penduduk setempat.
Exco negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun tempoh pengharaman itu belum diputuskan, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan rancangan itu, berdasarkan pelbagai aduan daripada kumpulan penduduk.
“Sama ada rakyat suka atau tidak, kami akan berpendirian tegas dalam perkara ini. Kawasan perumahan untuk penduduk. Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel,” katanya kepada FMT.
Garis panduan itu akan memberi kuasa kepada badan pengurusan pangsapuri, kondominium atau sebarang hartanah berstrata mengambil tindakan terhadap pemilik rumah ingkar yang membenarkan penyewaan homestay jangka pendek.
“Kami mungkin negeri pertama yang berbuat demikian. Satu lagi garis panduan akan diperkenalkan untuk hartanah bertanah, sementara menunggu isu perundangan yang perlu kami selesaikan.”
Difahamkan Kerajaan Pulau Pinang turut memaklumkan tindakan menyewakan unit kediaman boleh dilakukan sekiranya mendapatkan persetujuan sekurang-kurang 75% penduduk serta perlu mempunyai rekod pada data mesyuarat agung tahunan.
Jagdeep berkata, disebabkan jumlah hartanah strata di Pulau Pinang adalah ketiga tertinggi dalam negara, garis panduan itu akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan dan keselamatan sosial untuk penduduk.