Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19 bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat dan satu inisiatif untuk terus bergerak ke hadapan sewaktu pandemik.
Perdana Menteri berkata, kelonggaran tersebut sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran.
Beliau turut meminta masyarakat bersabar kerana jangka masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya sehingga akhir tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, antara fokus program vaksinasi yang kini sudah mencapai lebih 400,000 suntikan sehari ialah di kawasan Greater Klang Valley.
Katanya, ia meliputi Selangor, Kuala Lumpur, sebahagian Pahang, selatan Perak dan utara Negeri Sembilan yang menunjukkan kes jangkitan masih tinggi.
"Saya percaya dengan langkah tumpuan khusus untuk kawasan ini, maka kes COVID-19 dapat kita uruskan dengan baik.
"Yang juga agak baik ialah kerana vaksinasi mengikut jadual dan kita harap dalam tempoh bulan ini atau bulan depan, pembekalan vaksin akan meningkat dan bertambah.
"Jadual (sasaran imuniti kelompok) yang kita unjurkan dalam PPN iaitu sebelum akhir tahun, insya-Allah (dicapai)," katanya.
Sumber : Berita Harian