Seperti perayaan Aidilfitri sebelum ini, Perlis membenarkan solat sunat Aidiladha pada 20 Julai ini dilaksanakan di tanah lapang.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia selaras dengan sunnah selain dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19 dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.
"Solat akan dilaksana pada 8 pagi di tanah lapang pekarangan masjid dan bilangan jemaah yang dibenarkan bergantung kepada kapasiti luas kawasan tersebut," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bagi penyertaan yang optimum, solat sunat Aidiladha boleh dilakukan secara dua sesi iaitu pada 8 pagi bagi sesi pertama dan 9 pagi bagi sesi kedua.



Tuanku Syed Faizuddin bertitah sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan seperti hujan lebat, solat boleh dilakukan di dalam masjid mengikut saiz masjid.
"Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan," titah baginda.
Bagaimanapun, individu yang terlibat dengan aktiviti rentas negeri, termasuk mereka yang berulang alik bekerja setiap hari, tidak dibenarkan hadir ke solat sunat Aidiladha di Perlis.
Larangan itu turut membabitkan ahli keluarga dan individu yang tinggal bersama mereka, melainkan ahli keluarga dan individu berkenaan telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin COVID-19.
“Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard,” titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah SOP penjarakan fizikal bagi solat fardu dikurangkan kepada 1.5 meter dan aktiviti pengajian serta kuliah agama dibenarkan bermula 13 Julai ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11,600 kepada amil kariah Masjid Kampung Binjal di sini, semalam, untuk diagihkan kepada 29 asnaf kariah tersebut, demikian menurut kenyataan itu.