Setelah pembukaan Taman Persahabatan Selangor-Jepun tergendala akibat COVID-19, akhirnya orang ramai berpeluang juga mengunjungi taman yang terletak bersebelahan Dataran Kemerdekaan Shah Alam tersebut.
Ia diharap dapat menjadi mercu tanda baharu di Selangor seterusnya mampu menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara !
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata taman yang menelan belanja RM3.8 juta itu mula dibina sejak 2018 sebagai tanda penghargaan kepada Jepun yang telah sekian lama menjadikan Selangor sebagai satu daripada destinasi pelaburan.
Taman ini siap sepenuhnya pada tahun lalu namun ditangguhkan pembukaannya ekoran pandemik COVID-19. Pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membuat pembukaan rasmi taman tersebut pada Oktober 2021 bersempena sambutan ulang tahun MBSA.
Taman seluas 2.42 hektar itu asalnya merupakan sebahagian kawasan Tasik Timur, Taman Tasik Shah Alam, kini dibuka kepada orang awam pada setiap hari mulai 10 pagi hingga 7 malam dan masuk adalah percuma.
Taman tersebut mempunyai beberapa seni bina yang melambangkan elemen Jepun sebagai daya tarikan utama iaitu Laman Zen, Kolam Maze, Gerbang Torii, Tsukubai (Stone Basin), Laman Refleksologi dan Laman Teres serta menampilkan ciri unik iaitu dikelilingi pagar keselamatan berkonsepkan buluh.
Yang seronoknya lagi, taman tersebut akan dimeriahkan dengan program persembahan kebudayaan Jepun dan Selangor pada setiap hari minggu.