Wanita pada zaman kini sememangnya berani dan lebih terbuka untuk merancang percutian secara solo. Oleh itu, stigma lama mengatakan bahawa wanita tidak mampu untuk meluangkan masa bercuti secara sendirian disebabkan oleh banyak faktor, seperti tidak lagi relevan. Kepada anda yang mula berjinak-jinak untuk melakukan aktiviti percutian secara sendirian, ini tips untuk anda :
1. Set minda untuk lebih bersifat terbuka
Sebelum merancang sebarang percutian, set minda untuk sentiasa bersedia bertolak ansur dan menghormati perbezaan budaya negara orang.
Sememangnya kita ada pilihan untuk hanya bercuti ke tempat yang lebih sinonim dengan adat sendiri dan menggunakan bahasa yang sama. Tapi, apa kata latih diri untuk keluar dari zon selesa dan terokai tempat baharu. Sememangnya ada risiko yang perlu kita hadapi tetapi dari situlah kita dapat belajar banyak perkara dan mengetahui kemampuan sebenar diri kita. Ini akan kita pengalaman baru dan kepuasan setelah melancong.
Tentunya menarik untuk melihat bagaimana orang menjalani kehidupan seharian mereka dalam komuniti yang berlainan dan unik. Jadi ikut serta dalam aktiviti penduduk tempatan supaya lebih banyak perkara yang boleh kita pelajari. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
2. Melancong Ala Minimalis
Ambil kira setiap kemungkinan, risiko dan masalah. Jika perlu, senaraikan kesemuanya di dalam sebuah buku nota kecil dan buat persediaan bagi setiap cabaran yang mungkin dihadapi.
Sememangnya merancang percutian secara solo memerlukan persediaan yang lebih terperinci berbanding dengan percutian bersama ejen percutian atau berteman. Namun, jangan ‘over-planning’ dan pek bagasi secara ringkas dengan hanya membawa barangan yang perlu, mempunyai pelbagai fungsi dan serba boleh. Ini dapat membantu anda memaksimakan pengalaman bercuti sepenuhnya tanpa stress yang berlebihan.
3. Jalin persahabatan setempat
Inilah masanya untuk anda sebagai wanita mencari teman baharu. Kenal dan bina persahabatan sama ada dengan pelancong wanita solo yang lain ataupun dengan masyarakat setempat.
Cara terbaik adalah dengan memilih untuk menginap di hostel yang lebih santai berbanding di hotel. Di sini, anda akan berasa lebih dekat dengan kehidupan pelancong solo yang lain, masyarakat setempat dan mudah untuk turut serta dalam aktiviti harian mereka.
Pilih untuk membeli belah di kedai-kecil kecil yang menjual pelbagai jenis cenderamata budaya setempat mahupun restoran yang menyajikan makanan lokal yang diasaskan oleh wanita. Dengan cara ini, anda bukan saja menunjukkan sokongan dari segi kewangan tetapi dapat membina hubungan persabahatan yang baharu.
4. Lupakan sebentar tentang media sosial !
Pengalaman bercuti secara solo datang hanya sekali sekala. Ambil peluang ini sepenuhnya untuk bebas daripada pengaruh sosial media dan luangkan lebih banyak waktu untuk beriadah, mengenali sejarah dan refleks mengenai budaya masyarakat setempat. Pastinya kita akan merasa sunyi tanpa teman, jadi tips terbaik untuk mengatasinya ialah dengan merancang misi untuk dicapai.
Ianya semudah mencari makanan atau snek tradisional terbaik di Nepal, India atau mengikuti pertunjukan flamenco terbaik di Sepanyol. Selain itu, cabar diri untuk ikut serta di dalam mengikuti kelas-kelas aktiviti kraf, mempelajari praktis masyarakat setempat atau apa yang lebih menarik ikut serta di dalam kerja sukarelawan di pusat jagaan haiwan atau di sekolah.
Jangan lupa juga, untuk catat segala jadual dan pengalaman anda di dalam jurnal, selain daripada di sosial media. Ini akan memberi kesan yang lebih sentimental. Tak percaya? Cubalah!
5. Lindungi diri dan dokumen peribadi anda. Have a backup!
Merancang percutian bukan hanya untuk berhibur dan bergembira semata-mata. Dalam masa yang sama anda juga perlu menitik beratkan aspek keselamatan dari segi fizikal dan barangan peribadi. Lindungi dokumen penting seperti passport, tiket penerbangan, kad pengenalan dan seumpamanya dengan selamat dan di tempat yang mudah didapati sekiranya terdapat kecemasan.
Gunakan aplikasi seperti Cloud backup untuk menyimpan segala salinan dokumen perjalanan seperti tiket penerbangan, tempahan hotel dan data peribadi. Maklumkan kepada kenalan rapat atau keluarga yang boleh dipercayai tentang simpanan tersebut untuk senang diakses sekiranya terjadi apa-apa kepada anda.
Dari segi perlindungan fizikal, anda seharusnya lebih peka untuk tidak “check-in” secara spesifik tentang lokasi penginapan terutamanya di media sosial. Selain itu, cuba dapatkan polisi insurans tambahan yang menawarkan pakej perlindungan sekuriti dan kesihatan terutama bagi mereka yang gemar melibatkan diri dalam aktiviti lasak yang berisiko tinggi.
Diharapkan tips yang telah dikongsi sedikit sebanyak membantu anda untuk merancang percutian solo anda sendiri. Hidup hanya sekali, jadi gunakan peluang dan ruang yang ada untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Rancang percutian dengan lebih teratur dengan memperbanyakkan membaca dan membuat rujukan yang relevan sebelum memulakan langkah. Percayalah, anda pasti tidak rugi!