Cameron Highlands merupakan salah satu destinasi percutian yang sering menjadi pilihan pelancong tempatan dan juga luar negara. Ini kerana altitudnya yang tinggi membuatkan suhu persekitaran di kawasan tersebut lebih rendah berbanding kawasan lain di Malaysia. Memang jadi port untuk rakyat Malaysia merasai suhu dingin tanpa berbelanja besar !
Namun siapa sangka, rupanya keindahan alam semulajadi Cameron Highlands yang terletak di Pahang ini mendapat pengiktirafan dari luar negara apabila disenaraikan sebagai salah satu dari 51 destinasi tercantik di dunia oleh Conde Nast Traveler (CN Traveler).
Menurut CN Traveler, agak sukar untuk memilih satu-satunya lokasi cantik di Malaysia jika dilihat dari kepelbagaian diversiti di negara ini. Namun jika perlu membuat pilihan, Cameron Highlands adalah pemenangnya.
“Terletak di negeri Pahang, kawasan seluas 275 batu persegi ini adalah rumah kepada ladang teh terbesar di negara ini. Selain itu ia bukit-bukit hijau boleh dilihat dari kejauhan.
“Anda juga boleh menerokai taman rama-rama dan ladang strawberi,” kata CN Traveler.
Selain Cameron Highlands, terdapat beberapa lagi destinasi pelancongan di Asia yang turut tersenarai antaranya Ha Long Bay (Vietnam), Palawan (Filipina), Gunung Fuji serta Arashiyama Bamboo Grove (Jepun) dan Danxia Landform Geological Park (China.)
Pemilihan Cameron Highlands di dalam senarai tersebut menjadikan tanah tinggi ini sebaris dengan beberapa lagi tempat pelancongan terkemuka dunia seperti Amazon (Amerika Selatan), Cappadocia (Turkiye), Greenland (Denmark), The Great Barrier Reef (Australia) dan banyak lagi.