Tarikan pelancongan yang tidak asing lagi di Shah Alam, i-City tampil dengan satu lagi tarikan terbaru iaitu Immersive Winterland, pusat pengalaman imersif yang pertama di Malaysia.
Menggabungkan teknologi, hiburan dan seni secara visual untuk pengalaman deria yang benar-benar mengasyikkan, Immersive Winterland adalah tarikan yang sesuai untuk dinikmati oleh seisi keluarga.
Antara tarikan yang pasti digemari oleh kanak-kanak adalah Immersive Exploration Cave yang membawakan haiwan animatronik, dinasour dan ‘Kong’ yang digeruni.
Paling wajib dicuba adalah permainan 360° Immersive Explorer yang membawa pengunjung mengalami pengalaman menaiki pesawat yang menjunam dari tebing salji ke lautan terbuka secara tujuh dimensi.
Bagi yang suka merakam memori dan menikmati keindahan bunga-bungaan, Blossom Odyssey adalah untuk anda. Bahagian ini menyediakan penjelajahan mempesona di mana ia mempamerkan projeksi digital bunga-bungaan yang berwarna-warni yang diserikan dengan kehadiran rama-rama cantik setiap kali dinding disentuh.
Setiap tema merangsang deria dan imaginasi pengunjung dan percayalah ia menjanjikan sebuah pengalaman melampaui visual. Ia merangsang deria pengunjung dengan pelbagai suhu, sensasi taktil, dan landskap bunyi yang menarik yang dicipta oleh teknologi audio spatial yang canggih.
Lain-lain tarikan yang boleh anda cuba adalah Immersive Ski Simulator, simulasi ski imersif pertama di Malaysia yang menawarkan pengalaman ski yang seakan benar, memberikan peluang yang jarang-jarang dapat dirasai oleh penduduk tempatan, dan Immersive Snowball Simulator yang menjemput rakan-rakan dan keluarga untuk sama-sama menggulung bola salji.
Terdapat juga taman permainan yang membolehkan anak-anak kecil bermain gelongsor dan ribuan bola untuk dilambung dan dibaling ke skrin permainan gergasi.
Harga Tiket Immersive Winterland i-City
Tiket-tiket masuk ini sudah boleh ditempah secara dalam talian di laman web rasmi i-City pada harga RM45 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak yang mempunyai ketinggian lebih 90 sentimeter.
Waktu Operasi Immersive Winterland i-City
Tarikan ini dibuka dari jam 3.30 petang hingga 11.00 malam pada hari bekerja dan dari 1.00 tengahari hingga 11.00 malam pada hujung minggu dan hari-hari kelepasan am. Tiket untuk i-City boleh dibeli disini.