Percutian memang satu perkara yang menyeronokkan. Lagi-lagi, percutian ke luar negara. Cuma, ada satu perkara yang kita malas nak buat iaitu memperbaharui pasport. Mana taknya, ramai ingat nak kena keluar rumah, beratur di pejabat, menunggu proses yang lama sebenarnya.
Tapi anda tahu tak sebenarnya anda boleh juga memperbaharui pasport secara atas talian saja ?
Tak perlu beratur panjang-panjang dan menunggu giliran. Nak tahu caranya?
Pasport pun boleh renew secara online!
Kalau nak tahu, anda kini boleh perbaharui pasport yang telah tamat tempoh melalui laman web MyOnline Pasport.
Berikut merupakan perkara yang perlu diketahui jika anda ingin melakukan pembaharuan pasport secara online:
- Pembayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit atau debit terus (FPX).
- Pemohon boleh memilih untuk mengambil pasport di pejabat pengeluar yang disenaraikan di dalam sistem.
- Tarikh dan masa pengambilan pasport akan ditentukan oleh sistem berdasarkan hari dan masa permohonan dibuat.
Untuk rekod, menerusi portal My Government – permohonan yang dibuat sebelum jam 3 petang hari bekerja akan diserahkan pada hari sama.
Manakala, permohonan yang dibuat selepas waktu itu akan diserahkan pada jam 10 pagi hari bekerja berikutnya.
Permohonan pasport secara online
Bagi yang masih belum memiliki pasport, anda juga dibenarkan untuk memohon buku merah tersebut secara atas talian.
Berikut merupakan syarat-syarat yang perlu diikuti:
- Pemohon mesti berumur 13 tahun ke atas yang telah dikeluarkan dengan e-pasport (pasport bercip).
- Pemohon perlu mengisi maklumat yang benar dan tepat di dalam ruangan disediakan dalam sistem. Jika terdapat maklumat/akuan palsu, permohonan akan ditolak dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12(1)(c) Akta Pasport 1966 (Akta 150).
- Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun: Hanya penjaga sah yang telah memberi kebenaran semasa permohonan terdahulu dibenarkan membuat permohonan secara atas talian.
NOTA: Penjaga yang sah perlu hadir di pejabat imigresen semasa pengambilan pasport tersebut. Jika penjaga tidak hadir, pasport tidak akan diserahkan.
- Pemohon mesti memuat naik foto bersaiz pasport yang terbaharu.
- Latar belakang foto berwarna putih tanpa bayang. Latar belakang menggunakan warna lain tidak akan diterima.
- Pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada.
- Bagi perempuan yang memakai tudung atau hijab mesti memakai tudung atau hijab berwarna gelap dan tidak boleh menutup muka.
- Gambar yang dimuatnaik mesti dalam bentuk soft-copy yang diambil oleh kedai gambar profesional. Gambar polaroid tidak dibenarkan.
- Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit/debit terus (FPX). Kadar bayaran adalah seperti berikut:
- Permohonan biasa 13 – 59 tahun: RM200.
- Warga emas (60 tahun ke atas): RM100.
- Pemohon perlu hadir sendiri untuk mengambil pasport dengan mengemukakan kad pengenalan, pasport sedia ada dan resit bayaran. Tiada wakil dibenarkan.
- Kegagalan mengemukakan dokumen atau hadir akan menyebabkan pasport tidak akan diserah.
- Buku pasport mesti berada dalam keadaan baik (tidak rosak, berconteng atau terkena air).
- Seseorang warganegara yang melanggar undang-undang adalah tidak layak untuk menggunakan kemudahan permohonan pasport atas talian (MyOnline).
- Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun, mereka perlu membawa sijil kelahiran dan penjaga sah yang telah memberi kebenaran perlu hadir bersama. (Pemohon atau penjaga tidak hadir semasa kutipan, pasport tersebut tidak akan diserahkan).
Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh baca di Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.