Perlis (Jawi: ڤرليس, Bahasa Thai: ปะลิส Pâlit, ปลิศ Palit atau เปอร์ลิศ Perlis) merupakan sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Wilayah Satun dan Songkhla, Thailand di sebelah utara, dan Kedah di sebelah selatan. Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat setelah kerajaan Siam melantik Raja Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis.
Perlis mempunyai keluasan sebanyak 821 kilometer persegi menjadikannya sebagai negeri terkecil di Malaysia. Pada tahun 2020, jumlah penduduknya dianggarkan seramai 284,885 orang dengan majoritinya merupakan bumiputera iaitu 88.8 peratus dari jumlah penduduk. Berikut adalah antara destinasi menarik di negeri ini !
Arked Niaga Padang Besar
Arked Niaga Padang Besar terletak di bahagian utara Negeri Perlis dan bersempadan dengan Negara Thailand. Arked niaga ini merupakan lokasi membeli-belah pelbagai barangan terutamanya yang diimport dari negara jiran (Thailand) seperti makanan, pakaian, perhiasan dan kelengkapan rumah. Arked niaga ini menempatkan ratusan lot kedai dan gerai / bazar yang menjual pelbagai jenis barangan pada harga yang murah. Rata-rata peniaga berasal dari Malaysia dan Thailand.
Bukit Tok Dun
Bukit yang dimaksudkan dikenali sebagai Bukit Tok Dun terletak di sempadan Perlis dan Kedah. Bukit setinggi 325m ini terletak di dalam kawasan Felda Laka Selatan. Bukit ini berada tidak jauh dari MRSM Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. Sebenarnya bukit berkenaan bukannya baharu, tetapi ia seperti dijelmakan semula selepas pemilik tanah, Felda Global Venture (FGV) melakukan pembersihan kawasan bagi tujuan pertanian.
Bukit Tok Dun terletak di Pauh kira-kira 20km dari Kangar dan 5km dari pekan Changlun. Keindahan bukit-bukit diselubungi awan memang sangat mengagumkan. Yang mana berminat dalam pendakian wajib datang ke sini untuk menikmati keindahan Bukit Tok Dun. Terdapat juga anak-anak muda Perlis telah mulai mendaki sejak lepas subuh untuk melihat matahari terbit dan ‘awan karpet’ yang dikatakan menyelubungi puncak bukit ini dimana kita akan berada diatas awan.
Galeri 3D Gua Kelam
Galeri 3D Gua Kelam atau lebih dikenali sebagai Galeri Gua Kelam merupakan pameran berbentuk pengalaman penjelajahan dalam gua yang diterjemahkan melalui gabungan pameran bahan grafik 3 dimensi (3D) – bunyi-bunyian alam, pameran spesimen, artifak, replika gua dan informasi dalam bentuk kod QR.
Kampung Wai
Kampung Wai di Kuala Perlis bagaikan sebuah “alam baharu” yang sangat mempersonakan. Ia merupakan pembinaan terusan sepanjang 3 km dari Kampung Wai ke Muara Kuala Perlis.
Mereka yang mencintai alam semula jadi dan menikmati keindahan dengan menelusuri bukit batu kapur berusia 500 juta tahun dengan berkayak boleh berkunjung ke Kuala Perlis. Air terusan disini berwarna kehijau-hijauan mengalir tenang antara bukit-bukau batu kapur yang menambahkan lagi keindahan pemandangannya. Keindahan flora dan fauna pastinya mengamit pengemar aktiviti kayak.
Terowong yang membelah bukit batu kapur dengan kayak di terusan Kampung Wai, Kuala Perlis sehingga Kampung Tebing Tinggi, Bintong ini sejauh 765 meter. Terdapat perkhidmatan kayak yang disediakan iaitu dari Kayak Dahagi Perlis dan Kayak Nakawan Perlis.
Kangar Street Art
Kangar Street Art terletak di tengah-tengah Bandar Kangar. Ia diterjemahkan melalui mural di dinding bangunan di tengah bandar. Ia menjadi tarikan kepada orang ramai dan juga pelancong yang datang ke Negeri Perlis. Mural ini dilukis bagi menyerlahkan tarikan dan menjadi identiti Negeri Perlis.
Kangar Street Art merupakan lorong kenderaan di lorong belakang bangunan dan berfungsi sebagai tempat letak kereta. Antara lukisan yang mendapat perhatian pengunjung di kawasan ini ialah berjudul Nat Pokok Getah, Tak Jadi Duit, Ladang Tebu Chuping, Awang Batil, Warisan Terluka, Suara Alam (Bukit Ayer) dan Cendol Padang Pauh.
Kampung Warisan Tradisi Nelayan
Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis ialah sebuah perkampungan nelayan tradisional, namun kini berubah meniadi perkampungan warna-warni yang indah selepas pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang dikemudikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra, Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta sejak Disember 2020.
Terdapat tujuh buah kampung yang berada di kawasan Kampung Seberang Ramai, laitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.
Ilham transformasi yang dicetuskan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis bersama-sama Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, anakanda puteri sulung baginda telah membawa perubahan yang besar kepada masyarakat di kawasan Kampung Seberang Ramai.
Muzium Kota Kayang
Muzium Kota Kayang merupakan pusat penyebaran maklumat yang memelihara dan mempamerkan harta warisan sejarah negeri Perlis. Muzium Kota Kayang didirikan di kawasan yang dahulunya merupakan tapak kota istana tempat bersemayam keluarga diraja Kedah-Perlis. Ini adalah berdasarkan fakta tinggalan sejarah di sekitar kawasannya seperti Makam Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah Ibni Al-Marhum Sultan Muhyiddin Mansur Shah.
Bentuk bangunan muzium ini berasaskan kepada seni bina melayu dengan bumbung panjang rumah Perlis. Muzium ini telah dibuka untuk kunjungan pada bulan September 2001. Muzium Kota Kayang mempamerkan 400 koleksi di enam galeri iaitu Galeri Sejarah, Galeri arkeologi, Galeri Senjata, Galeri Kebudayaan, Galeri Diraja dan Galeri Menteri Besar.
Superfruits Valley
Superfruits Valley ialah ladang superfruits terbesar di Malaysia yang menanam buah Arah, buah Gac, Limau, Markisa dan banyak lagi. Produk superfruits adalah yang terbaik dan berkhasiat , untuk dinikmati buat semua. Ia merupakan keutamaan dalam membentuk kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Ia juga merupakan produk berkualiti dan terbaik pada harga yang ditetapkan.
Taman Eksotik Buah-Buahan (Taman Anggur)
Taman Eksotik Buah-Buahan (Taman Anggur) terletak di Sungai Batu Pahat, Perlis.
Taman Eko-Rimba Bukit Ayer
Kompleks Eko-Pelancongan Sungai Batu Pahat merupakan pusat eko-pelancongan keluarga yang terkenal di negeri Perlis. Lokasinya terletak di Sungai Batu Pahat, Perlis dan jarak perjalanan dari Bandar Kangar adalah sejauh 12 kilometer. Kompleks Eko-Pelancongan Sungai Batu Pahat adalah dibawah seliaan dan pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Bayaran Masuk ke Kompleks Eko-Pelancongan Sungai Batu Pahat:
Taman Eko-Rimba Bukit Ayer
- Bayaran Masuk untuk Dewasa RM2.00 & Kanak-Kanak RM1.00
Kolam Renang Bukit Ayer
- Bayaran Masuk untuk Dewasa RM5.00 & Kanak-Kanak RM3.00
Tasik Melati
Tasik Melati ialah sebuah tasik yang kecil dengan airnya yang cetek. Lebih daripada 150 buah pulau beting pasir boleh dilihat bertaburan di tasik ini. Siarkaki telah dibina merintangi tasik ini untuk membolehkan pengunjung menikmati pemandangan yang menarik. Di sepanjang siarkaki ini juga disediakan tempat beristirahat.
Tasik Melati terletak di utara Kangar, Perlis, Malaysia. Ia ialah sebuah tasik yang kecil tetapi indah. Ia mendapat namanya melalui bunga teratai yang terapung-apung di atas air.Tasik buatan manusia ini menjadi kesukaan orang ramai untuk berkelah, dan juga agak sesuai untuk menenangkan fikiran.
Tasik Timah Tasoh
Tasik Timah Tasoh ini bukanlah sekadar tasik biasa, ianya sebuah tasik yang sangat indah, sehingga dijadikan lokasi pergambaran muzik video dan drama kerana keindahannya yang tidak terkata. Di sekitar tasik ini anda dapat melihat dusun buah-buahan yang subur seperti buah durian, rambutan, mangga dan durian Belanda, anda boleh petik terus sahaja dari pokok kalau anda menginap di Tasoh Lake Resort & Retreat.
Ini baru pengalaman di desa yang sebenar! Bagi anda yang kaki pancing pula, jom memancing di tasik ini yang menjadi habitat kepada pelbagai jenis ikan air tawar seperti Gelang Pam, Haruan, Ubi, Talapia dan Keli. Dah dapat ikan tu nanti, terus saja bakar tepi tasik ni, boleh dinikmati segar-segar sambil bersantai di gazebo Tasik Timah Tasoh.
Wang Kelian View Point
Wang Kelian View Point merupakan salah satu destinasi popular dikalangan pelancong tempatan dan luar negara di Perlis. Terletak pada ketinggian 304 meter dari aras laut, pada laluan ke sempadan Malaysia-Thailand. Perjalanan ke sini mengambil masa sekitar 30 minit dari bandar Kangar melalui beberapa pekan dan perkampungan dengan suasana yang mendamaikan.
Wang Kelian View Point sememangnya antara lokasi yang wajib dikunjungi sekiranya berada di Perlis. Di sinilah juga lokasi popular orang ramai melihat awan karpet bergantung pada keadaan cuaca dan menikmati pemandangan landskap alam Perlis yang cantik.
Kredit : Tourism Perlis