MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini menggesa agar pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Ia susulan kekecohan mengenai perubahan waktu ditetapkan sesetengah hotel atau inap desa yang hanya membenarkan tetamu untuk melakukan daftar masuk ke dalam bilik bermula pukul 4 petang dan perlu mendaftar keluar sebelum pukul 11 pagi.
King Sing turut memaklumkan, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan ia tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan

"Malah pengguna juga berasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.
“Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan dengan lebih banyak.
"Namun, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata. Pelanggan yang berbelanja pasti mahu melakukannya dengan senang hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu sedikit sebanyak pastinya memberi kelegaan kepada pengunjung, yang berharap agar semua pengusaha hotel dan inap desa akan memberi pertimbangan sewajarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menyatakan mereka berpuas hati dengan keprihatinan daripada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook dengan nama Juna Yahaya turut mencadangkan agar waktu mendaftar keluar boleh dilonggarkan ke pukul 2 petang untuk memudahkan umat Islam menunaikan solat jamak dan qasar.
"Apabila melancong ni menariknya jika dapat check out (daftar keluar) pukul 2 petang, boleh solat jamak (dan) qasar di hotel siap-siap.
"Kalau ada anak ramai (atau) bayi, nak singgah masjid atau surau pun kadang-kadang agak memakan masa yang agak lama," tulisnya.