Resorts World Genting (RWG) mengeluarkan kenyataan memohon maaf berhubung insiden beberapa penumpang kereta kabel Sky Way yang terperangkap lebih dua jam di laluan turun dari Stesen SkyAvenue, Genting Highlands.
Dalam kenyataan tersebut, RWG menegaskan bahawa keselamatan dan keselesaan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan mereka. Pihaknya juga bertindak pantas dengan melaksanakan pelan luar jangka untuk menangani situasi itu.
“Antara langkah segera yang diambil termasuk menyediakan perkhidmatan ulang-alik di Terminal Genting Highlands Premium Outlets serta menawarkan bayaran balik tiket kepada pengunjung yang terjejas,” menurut kenyataan tersebut.
RWG turut menggalakkan tetamu yang ingin mendapatkan bayaran balik untuk menghubungi pasukan perkhidmatan pelanggan mereka.
“Untuk bayaran balik tiket kereta kabel yang sah berkaitan kejadian ini, sila hubungi pasukan perkhidmatan pelanggan kami di tpguestservices@rwgenting.com. Kami sangat menghargai sokongan anda dan memohon maaf dengan tulus atas sebarang kesulitan yang berlaku,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan beberapa penumpang berdepan detik mencemaskan apabila kereta kabel Sky Way terkandas disebabkan masalah teknikal. Perkongsian daripada beberapa pengguna TikTok yang berada di lokasi turut menggambarkan situasi panik ketika kejadian.
RWG berjanji akan terus meningkatkan langkah keselamatan dan keselesaan untuk memastikan pengalaman yang terbaik bagi semua pengunjung di masa hadapan.