Beberapa penumpang kereta kabel Sky Way berdepan pengalaman mencemaskan apabila terperangkap lebih dua jam di laluan turun dari Stesen SkyAvenue, Genting Highlands, malam tadi akibat masalah teknikal.
Insiden itu mendapat perhatian selepas beberapa pengguna TikTok berkongsi pengalaman mereka di lokasi kejadian. Mereka meluahkan rasa syukur kerana selamat tiba di bawah walaupun terpaksa menempuh detik mencemaskan tersebut.
“Alhamdulillah, selamat turun. ‘Supply current’ tiada, sebab itu kereta kabel sangkut di tengah-tengah,” kata seorang pengguna, Amienhfzn.
Seorang lagi penumpang, Nur Nilam Sari, berkongsi perasaan paniknya ketika kejadian: “Dua jam sangkut dalam kereta kabel dekat tengah-tengah pula tu. Ya Allah, lindungi kami semua. Alhamdulillah dapat turun dah.”
Situasi itu turut memberi kesan emosi kepada penumpang lain. Azman, yang turut terperangkap, menyatakan, “Sama la kita, terperangkap tadi. Yang sedihnya, satu keluarga trauma.”
Sementara itu, seorang penumpang bernama Syuhada menceritakan pengalaman getir yang dialami keluarganya: “Berpeluh satu keluarga kami, hanya Allah yang tahu perasaan takut berada di tengah laluan turun dengan bergoyang, gelap. Alhamdulillah, Allah masih selamatkan kami semua selepas lebih dua jam.”
Walaupun insiden ini menimbulkan rasa panik dan trauma kepada sesetengah penumpang, mereka bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Pihak berkuasa diharap dapat mengambil langkah untuk memastikan keselamatan dan kelancaran perkhidmatan kereta kabel di masa hadapan.