AirAsia Group merancang untuk menambah lebih banyak penerbangan domestik menjelang Julai, menurut ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan itu, Tan Sri Tony Fernandes.
Dia menambah bahawa permintaan untuk perjalanan udara telah meningkat sejak Malaysia memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang kini membenarkan perjalanan di dalam negara.
"Kami melihat permintaan yang sangat kuat," katanya kepada wartawan dalam sidang media awal pada 15 Jun. "Orang mahu terbang, orang mahu pulang, mereka mahu memulakan perniagaan."
Fernandes menambah bahawa syarikat penerbangan tersebut akan membuat penerbangan ke seluruh rangkaian domestiknya mengikut garis panduan kerajaan, tetapi menyatakan bahawa frekuensi akan bergantung pada permintaan. "Pada masa ini, ini adalah di dalam Malaysia, tetapi kami percaya bahawa kami akan segera membuka laluan ke negara lain."
Dengan penambahan penerbangan domestik pasti akan menstabilkan harga penerbangan dan memberi lebih banyak pilihan buat penumpang. Tambah-tambah bagi mereka yang sudah membeli pas perjalanan tanpa had AirAsia untuk sektor domestik.
Sebelum ini, ramai pengguna merungut kerana kurangnya penerbangan promosi yang disediakan apabila seseorang memasukkan kod promosi unik setelah membeli pas penerbangan tanpa had.
Diharapkan lebih banyak pilihan penerbangan tersedia buat pengguna bermula bulan Julai ini sehingga masa-masa seterusnya.
Dalam hal lain, Malindo Air baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke hampir semua destinasi domestiknya di Malaysia berikutan pelaksanaan PKPP. Malaysia Airlines (MAB) juga telah menyatakan bahawa mereka akan memulakan semula penerbangan domestik, dan juga laluan antarabangsa masing-masing mulai bulan Jun dan Julai.