HalalXPlorer Logo
port makan terbaik di langkawi kedah
22 March 2025

34 Port Makan Menarik di Langkawi. Lengkap Dari Pagi ke Malam !

Kongsikan:

Langkawi bukan sahaja terkenal dengan pantainya yang memukau dan tarikan alam semula jadinya, tapi juga syurga makanan untuk penggemar kulinari!

image

Dari makanan laut segar, nasi kandar legend, hingga ke kafe hipster yang Instagram-worthy, Langkawi memang ada semuanya. Kalau anda tengah plan percutian ke Pulau Mahsuri ni dan nak cari tempat makan yang best, artikel ni khas untuk anda! Jom kita teroka 34 port makan terbaik di Langkawi yang confirm buat anda puas hati.

01. Nasi Dagang Pak Malau

Nikmati perasaan penuh nostalgia apabila anda singgah makan di restoran Nasi Dagang Pak Malau.

nasi dagang pak malau
Kredit Gambar : Nasi Dagang Pak Malau

Di sini, anda dapat menikmati nasi dagang Terengganu yang cukup enak berlemak rasanya.

Anda boleh memilih sama ada ingin berlaukkan daging lembu, ayam, ikan atau kambing. Tapi sejujurnya, tiada gabungan yang lebih sempurna dengan nasi dagang daripada gulai ikan tongkol.

nasi dagang pak malau langkawi
Kredit Gambar : Deddy Abejacx

Tetapi, yang membuatkan tempat ini menarik adalah dekorasi kedainya yang klasik, dengan pemandangan sawah padi dan paling best, owner kedai ini suka berbalas pantun !

Kalau nasib baik, anda akan bertemu dengan pemilik kedai ini saat memesan makanan ataupun sewaktu membayar.

Lokasi Nasi Dagang Pak Malau terletak tidak jauh dengan Kota & Makam Mahsuri. Jadi, anda boleh singgah ke sini dulu !

  • Alamat: Jalan Makam Mahsuri, Kampung Mawar, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (8.00 am – 2.00 pm) | Selasa (Tutup)

02. Cili Kampung Langkawi

Cili Kampung Langkawi adalah salah satu port makan yang popular di Langkawi, terkenal dengan hidangan masakan kampung yang autentik dan suasana restoran yang santai. Terletak di Mukim Kedawang dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, restoran ini menjadi pilihan ramai kerana lokasinya yang strategik, hidangan lauk-pauk autentik yang pelbagai, dimasak khas setelah pesanan dan ulam-ulaman segar.

cili kampung langkawi
Kredit : Azli Umar

Salah satu menu yang paling mendapat sambutan ialah Siakap Sambal Cili Api dan Daging Salai Masak Lemak Cili Api, makan puladengan nasi panas dan sambal belacan padu. Selain itu, Cili Kampung juga menyediakan hidangan Udang Sambal Petai yang memang wajib dicuba jika anda penggemar makanan laut.

udang sambal petai cili kampung langkawi
Kredit : Azizul MY

Dengan harga yang berpatutan dan lokasi yang strategik, restoran ini sesuai untuk mereka yang nak menikmati masakan kampung dengan suasana yang nyaman. Kalau anda berada di sekitar Pantai Tengah atau Pantai Cenang, mereka juga mempunyai lagi satu cawangan di sana.

Kedai ini sememangnya menyediakan lauk pauk asli Melayu, tapi jangan sangka harga mereka sama seperti kedai nasi campur biasa ya. Harga disini sedikit mahal tapi sangat berbaloi dengan servis, rasa dan bila kita faham setiap menu ini dimasak selepas dipesan, tak macam kedai nasi campur biasa yang masak banyak-banyak sekaligus !

Jangan lupa singgah ke Cili Kampung Langkawi untuk pengalaman makan yang puas hati!

  • Alamat : 11 Kampung Bohor Darat, Jalan Kedawang, Kedawang, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi : 12PM-9:30PM

03. Smiling Buffalo Cafe

Smiling Buffalo Cafe adalah salah satu kafe hipster yang cukup popular di Langkawi, terutama bagi penggemar kopi dan suasana santai. Terletak di Panji Panji Tropical Wooden Home, Kuala Cenang, kafe ini menawarkan konsep terbuka dengan dekorasi ala tropika yang memberikan vibe tenang dan cozy.

smiling buffalo langkawi
Smiling Buffalo Cafe. Kredit Gambar : Loka

Menu di sini berasaskan sajian Barat dengan sentuhan tempatan. Antara hidangan yang paling digemari ialah waffle dengan ais krim dan buah-buahan segar, serta Big Breakfast yang lengkap dengan telur, sosej, cendawan, dan roti sourdough. Bagi peminat kopi, Smiling Buffalo terkenal dengan kopi espresso mereka yang menggunakan biji kopi berkualiti tinggi—perfect untuk menikmati secawan latte atau cappuccino di pagi hari.

Selain makanan yang sedap, kafe ini juga sering menjadi lokasi lepak santai dengan alunan muzik live yang menambahkan lagi keunikan suasana.

Namun kedai ini hanya dibuka dari pagi hingga ke petang sahaja menjadikan ini lokasi breakfast, dan brunch yang top !

Kalau anda mencari tempat untuk sarapan atau brunch dengan suasana tropika yang chill di Langkawi, Smiling Buffalo Cafe memang wajib masuk dalam itinerary anda!

  • Alamat :  965, Jalan Pantai Chenang, Mukim Kedawang, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi : 8AM-4PM

04. Kak Yan Nasi Campur Langkawi

Murah semacam! Bagi sesiapa yang ingin berjimat tapi tak rela membiarkan lidah merasai masakan yang tak mencapai standard, mai singgah ke restoran Kak Yan Nasi Campur Langkawi.

Betapa murahnya masakan yang dihidangkan di sini sehinggakan ada yang mengatakan jumlah bayaran yang dikenakan untuk hidangan lengkap yang penuh dengan lauk bagi 7 orang pun masih tidak lebih dari RM90!

Bagi anda yang datang bersama keluarga, tidak perlu lagi memandang restoran lain kalau anda ingin menyelamatkan poket dari kebocoran.

Apa hidangan yang ada di sini? Terlalu banyak, mencecah sehingga 50 jenis masakan berbeza. Selain nasi campur, makanan lain yang patut dicuba adalah laksa utara, bubur kacang dan juga bubur jagungnya.

  • Alamat: Jalan Ulu Melaka, Kampung Padang Gaong, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (8.30 am – 4.00 pm) | Isnin (Tutup)

05. Kelly's Cafe

Kelly's Cafe terletak di Blissful Guesthouse, Lot 1693, Jalan Pantai Chenang, Kampung Lubok Buaya, Langkawi. Kafe ini terkenal dengan suasana yang mesra dan menu yang pelbagai, menggabungkan masakan Amerika, Southwestern, Eropah, Asia, dan Korea.

Antara hidangan yang disyorkan termasuk 'Hangover Burger' yang terdiri daripada dua lapisan patty, dua keping keju, telur mata, hash brown, tomato, bawang panggang, dan daun salad segar di dalam roti brioche. Selain itu, 'Eggs in Hell (Shakshuka)' menampilkan telur yang dimasak dalam sos tomato istimewa bersama sayuran atau bebola daging, disajikan dengan roti bakar serta taburan keju mozzarella dan parmesan.

smiling buffalo and kelly's cafe langkawi
Antara Menu Di Kelly's Cafe Langkawi. Kredit Gambar : a.aaahmad

Kelly's Cafe juga menawarkan 'Bulgogi Wrap' dan 'Bulgogi Taco', kedua-duanya menggunakan bulgogi buatan sendiri yang dibalut dengan sayuran segar dan sos istimewa. Kafe ini dibuka dari jam 8:30 pagi hingga 4:00 petang setiap hari kecuali Rabu.

Pengunjung memuji kualiti makanan dan perkhidmatan di Kelly's Cafe. Seorang pengulas di Tripadvisor menyatakan bahawa kafe ini menawarkan "sarapan dan makan tengah hari terbaik di Langkawi".

Dengan suasana yang santai dan menu yang pelbagai, Kelly's Cafe merupakan destinasi yang patut dikunjungi bagi mereka yang mencari pengalaman kuliner unik di Langkawi.

  • Alamat :  115, Off, Kelly's Cafe, Jalan Pantai Chenang, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi : 8:30 AM - 4PM

06. Restoran Wan Thai

wan thai langkawi restaurant

Restoran Wan Thai adalah sebuah restoran yang cukup luas, mampu memuatkan sehingga 300 orang pelanggan. Banyak juga lot kedai mereka ambil.

Dengan saiz seluas ini, pastinya kerana ramai pengunjung yang sering datang ke sini disebabkan keenakan masakan di restoran ini !

restoran wan thai seafood langkawi

Seperti namanya, restoran ini menghidangkan masakan Thai dengan keenakan yang sukar ditandingi restoran lain.

  • Alamat: 80-82, Langkawi Mall, Kuah (Jalan Pokok Asam), Langkawi, Kedah 07000
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00am–03.00pm & 06.30pm – 10.00pm)

07. Scarborough Fish & Chips

scarborough fish & chips
Kredit Gambar : Miko Yap

Scarborough Fish & Chips ialah restoran yang terletak di Jalan Tanjung Rhu, Langkawi, Malaysia, terkenal dengan hidangan ikan dan kentang goreng gaya Inggeris tradisional. Restoran ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Scarborough Fish & Chips tanjung rhu
Kredit Gambar : Moneaki Ono

Menu restoran menawarkan pelbagai jenis ikan seperti Dory, Cod Pasifik, Mackerel, Barracuda, dan Red Snapper, yang boleh dinikmati secara goreng atau tumis. Selain itu, terdapat juga pilihan ayam dan stik, serta Fritter Udang.

Scarborough Fish & Chips Scarborough Fish & Chips langkawi
Kredit Gambar : Oliver Ho

Salah satu tarikan utama restoran ini adalah lokasinya yang terletak di tepi pantai Tanjung Rhu, menawarkan pemandangan laut Andaman yang menakjubkan. Para pengunjung boleh menikmati hidangan mereka sambil menikmati pemandangan pantai yang indah.

Bagi mereka yang mencari pengalaman makan yang santai dengan pemandangan laut yang menawan, Scarborough Fish & Chips di Langkawi adalah pilihan yang tepat.

  • Alamat: Lot 1388, Jalan Tanjung Rhu, Mukim Air Hangat, 07100 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (10AM-10PM)

08. Halim GP Gulai Panas Airport

Peminat gulai atau kari? Restoran Halim GP Gulai Panas Airport boleh jadi tempat paling heaven bagi deria rasa anda.

Restoran ini mendapat 4.5 bintang di google review tau ! Salah satu feedback daripada mereka yang pernah mengunjungi kedai ni adalah “Orang yang tak minat kari pun akan hirup sampai licin!”

Halim GP Gulai Panas Airport
Kredit Gambar : Nur Syahirah

Bukan itu sahaja, anda juga boleh memilih daripada pelbagai  jenis masakan laut yang ditawarkan, sama ada ikan, ketam, sotong atau udang yang segar-segar belaka.

gulai panas airport langkawi

Lepas tu, anda boleh “tepuk dada, tanya selera” masakan apa yang nak dicuba? Sekadar digoreng celup tepung? Dijadikan gulai? Atau macam-macam lagi masakan lain yang terlintas di fikiran, pekena pula dengan sambal belacan dan ulam, rasanya memang meletop!

  • Alamat: No 4, Jalan Lapangan Terbang, Kampung Bukit Nau, 07100 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00 pm – 12.00 pm)

09. Restoran Pak Haji Ya Nasi Ayam

Penggemar nasi ayam? Bila dah cuba Restoran Pak Haji Ya Nasi Ayam, anda tak akan jumpa lagi nasi ayam lain yang dapat mengalahkan keenakan di restoran ni.

pak hj ya nasi ayam langkawi
Kredit Gambar : Tzuwei Wong

Dikatakan, kicapnya lain daripada yang biasa kita nikmati, tapi yang penting, kelainan rasanya adalah jauh lebih sedap daripada biasa.

pak hj ya nasi ayam langkawi  sedap hainan
Kredit : Amzar Haziq

Buktinya, boleh dilihat kedai ni jarang sekali lengang daripada kedatangan pelanggan terutama sekali pada waktu tengah hari.

Untuk mendapat makanan dengan cepat, elakkan daripada datang pada waktu kemuncak ini.

  • Alamat: 82-98, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan Kelana Mas, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00 am – 6.00 pm) | Jumaat (Tutup)

10. Restoran Selera Kampung

Selera Kampung

Bagi sesiapa yang bercuti di Langkawi dan mengidamkan hidangan kampung yang asli, Restoran Selera Kampung adalah tempat yang wajib anda singgah. Restoran ini terkenal dengan pelbagai lauk-pauk tradisional yang menyelerakan, dihidangkan dalam suasana santai dan mesra keluarga.

Selera Kampung Langkawi

Sebenarnya, nak tahu kedai itu okay atau tidak, kena tanya warga tempatan, dan restoran ini amat disukai warga Langkawi sendiri ! Rasanya yang sedap, dan harga tidak cekik darah ataupun 'sembelih pelancong'.

  • Alamat: Jalan Padang Matsirat, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali (8AM – 4.30 PM)

11. Restoran Siti Fatimah

Juga menjadi port makan yang sibuk pada waktu tengahari adalah restoran masakan kampung, Restoran Siti Fatimah.

restoran siti fatimah langkawi
Kredit Gambar : Siti Shahidah Afifi

Antara yang boleh dinikmati di sini adalah masakan petai, tempe, bronok, ikan bakar, kari dan banyak lagi! Untuk pencuci mulut pula, anda boleh mencuba jeli ais bandung specialnya, lega tekak lepas berpanas-panasan di bawah matahari.

Seperti yang dikatakan tadi, kedai makan ini menjadi pilihan ramai pada waktu tengahari, oleh sebab itu, kalau anda teringin untuk merasa masakannya, seboleh-bolehnya datanglah sebelum pukul 2 petang.

Kalau lebih dari itu, banyak lauk yang dah licin. Harganya? Bakal membuat anda tersenyum puas hati.

  • Alamat: Batu 5 ¼, Jalan Kampung Tok Senik, Kawasan Mata Air, Ulu Melaka, 07000 Langkawi
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 4.00 pm)

12. Tanjung Tirai View Café

Bukan sekadar menghidangkan makanan yang menyelerakan, lanskap di sekitar Tanjung Tirai View Café ini juga menjadikan pengalaman bersantapan di sini sebuah memori yang sukar untuk dilupakan.

tanjung tirai view cafe

Masakan utama ataupun signature dish di Tanjung Tirai View Café ini adalah ikan jenahak masak asam jawa dan juga sotong goreng tepung.

Masakan lain seperti ketam kari powder juga tak kurang mantap rasanya, sungguh enak!

tanjung tirai view cafe

Sambil makan, nantikan saat matahari terbenam, keindahannya wajib diabadikan di dalam foto.

  • Alamat: Kompleks Jeti Pelancongan Kuah, 07000 Langkawi
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (05.00am–12.00am)

13. Santai Langkawi

Kafe yang sungguh selesa Santai Langkawi adalah kedai makan yang patut anda jadikan pilihan utama setelah kepenatan makan angin di sekitar pulau.

santai langkawi

Aura kafe ini sungguh cosy dengan dekorasi dalaman yang sedap dipandang mata, cukup relaks.

Mengenai hidangannya, anda boleh mencuba masakan seperti tom yam seafood, seafood aglio e olio pedas, steak, pisang goreng cheese, kari hijau Thai, asam pedas, nasi goreng seafood, lamb chop dan banyak lagi.

santai langkawi

Dari masakan Thai, western hinggalah tempatan, macam-macam ada. Nak cuba semua sekali pun boleh, percayalah, tiada satu pun yang mengecewakan.

santai langkawi chicken chop

Sambil menikmati makanan yang dihidangkan, anda akan dihiburkan dengan alunan muzik yang sedap didengar.

  • Alamat: 132, Jalan Pantai Kok, Kg. Batu Ara, Kampung Batu Ara, 07000 Langkawi
  • Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.30 pm – 11.30 pm) | Selasa (Tutup)

14. Desa Permata Ikan Bakar Seafood

Desa Permata Ikan Bakar Seafood adalah sebuah restoran yang menghidangkan makanan selera tempatan dalam harga yang lebih murah daripada kebanyakan kedai seafood lain.

desa permata ikan bakar seafood

Seperti nama kedai, menu utama di sini adalah ikan bakarnya yang disertakan dengan sos istimewa yang akan membuat anda makan sambil menjilat jari.

Selain ini, sebenarnya terdapat banyak lagi makanan seafood yang boleh dipilih.

Anda boleh menikmati seafood yang diingini dengan pelbagai jenis masakan ala kampung yang ditawarkan seperti asam pedas, masak lemak, gulai panas dan sebagainya.

  • Alamat: No 5-6 Gerai Taman Desa Permata, Langkawi, 07000 Kuah, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (5.00 pm – 12.00 am) | Selasa (Tutup)

15. Top BBQ

Walaupun namanya TOP BBQ, tapi kedai ini sebenarnya adalah kedai nasi campur yang menawarkan pelbagai jenis pilihan lauk-pauk !

top bbq langkawi

Dengan harga yang berpatutan dan servis yang mesra, TOP BBQ Langkawi sememangnya destinasi wajib bagi sesiapa yang ingin menikmati pengalaman BBQ yang memuaskan di pulau ini.

  • Alamat : 111, Persiaran Mutiara 2, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi : Setiap Hari (8AM-6PM)

16. Arang BBQ & Grill

Selalunya bila berada di Langkawi, anda akan disajikan dengan hidangan-hidangan makanan laut yang cukup mantap.

arang bbq & grill langkawi

Tetapi, ada satu restoran di sini yang cukup istimewa. Arang BBQ & Grill yang terletak di Jalan Teluk Baru membawakan hidangan makanan grill dan BBQ ke warga Langkawi.

Bagi pencinta hidangan BBQ, Arang BBQ & Grill adalah lokasi terbaik untuk menikmati makanan panggang yang enak dan berkualiti.

arang bbq

Dengan suasana dan sekelilingnya yang nyaman dan relaxing, berdekatan dengan tepian laut, digandingkan pula dengan hiasan dalaman kedai yang menawan, Arang Langkawi memang antara restoran pilihan untuk menikmati makanan sedap dalam suasana yang santai.

arang bbq & grill

Restoran ini terkenal dengan pilihan daging segar, perapan istimewa, dan suasana santai yang sesuai untuk makan malam bersama keluarga atau rakan-rakan.

arang bbq & grill pulau langkawi

Antara menu popular di sini termasuk lamb chop yang juicy, seafood bakar, chicken grill, dan pelbagai jenis BBQ yang diperap dengan rempah khas. Ditambah pula dengan sos pencicah homemade yang menaikkan lagi rasa, pasti membuatkan anda teringin untuk datang lagi!

Dengan harga yang berpatutan dan servis yang mesra, kedai ini sememangnya destinasi wajib bagi sesiapa yang ingin menikmati pengalaman BBQ yang memuaskan di pulau ini.

  • Alamat: Jl. Teluk Baru, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari – (02:00pm-12:00am)

17. Yasmin Syrian Restaurant

Ramai yang tentu terkejut bila tahu yang terdapat sebuah restoran Arab di Pantai Chenang. Tetapi, Yasmin Syrian Restaurant sedia menanti anda.

Restoran yang simple dan santai ini sangat berbeza dari restoran Arab yang sering kita kunjungi di kota. Dengan lokasinya yang berdekatan dengan tepi pantai, ia membawa vibe yang lebih santai dan selesa.

Menu mereka tentulah makanan berunsurkan masakan Timur tengah dan Arab. Tetapi penampilannya juga lebih bergaya dan modern.

yasmin syrian

Anda boleh dapatkan nasi Arab kegemaran anda seperti nasi mandi, nasi kabsah, maqluba dan sebagainya.

Tetapi mereka turut menyediakan makanan grill dan sandwich seperti shish tawook, kebab dan shawarma.

Makanan ringan mereka seperti falafel, mousakka, hummus dan fattoush juga menjadi pilihan ramai untuk dinikmati pada waktu minum petang.

yasmin syrian langkawi

Digandingkan pula dengan kopi Turki atau teh pudina Arab, memang terbaik. Jangan lupa singgah ke sini bila anda teringin makanan arab ketika bercuti nanti.

  • Alamat: Jalan Pantai Chenang, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (12:00pm-12:00am)

18. The Kelapa Cafe By TRV Langkawi

The Kelapa Cafe By TRV Langkawi

Lokasi The Kelapa Cafe ini agak jauh berbanding tarikan-tarikan pelancongan yang lain di Langkawi. Kira-kira 40 minit dari Pantai Cenang namun jika anda sampai ke sini, pastinya berbaloi dan anda tidak akan menyesal !

The Kelapa Cafe By TRV

Mana tidaknya, lokasi cafe ini yang terletak di Tanjung Rhu, salah satu kawasan yang mempunyai pantai paling cantik di serata Langkawi, dengan pantai putih bersih dan laut biru, suasana keseluruhan disini pula amat tenang, dengan dikelilingi desa dan jauh dari bingit pelancong.

The Kelapa Cafe  Langkawi
The Kelapa Cafe By TRV Langkawi

Makanan yang disediakan disini bermula dari menu tempatan, hinggalah ke barat. Yang menarik, bukan sahaja mengenyangkan perut tetapi 'presentation' makanan disini begitu kemas, cantik, kiranya sebelum makan tu kita saji mata dulu !

  • Alamat:  61, Jalan Tanjung Rhu, Kampung Padang Lalang, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (8AM-5PM) | Ahad (9:30AM-5PM)
The Kelapa Cafe By TRV Tanjung Rhu

19. The Argan Trees Restaurant

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine

Pernahkah anda mencuba makanan Mediterranean dan Morocco? Jika ingin tahu serba sedikit tentang budaya dan makanan di sana, marilah ke The Argan Trees Restaurant.

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine

Terletak di Jalan Pantai Tengah, The Argan Trees Restaurant ini seakan-akan membawa sebuah dunia rahsia dalam restorannya. Restoran ini dihias seperti berada di Kepulauan Mediterranean.

Argan Trees Pizzeria Langkawi

Dengan pokok-pokok dan pilihan warna yang chill seperti biru muda dan putih, suasana di sini memang best.

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine Langkawi

Buat pengetahuan anda makanan dari Kepulauan Mediterranean dan Morocco ini adalah seperti gandingan antara masakan western dengan masakan Timur tengah.

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine Pulau Langkawi

Yang popular di sini ialah lamb and veggie tagine, couscous dan zaalouk.

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine Langkawi Island

Mereka juga menyediakan pelbagai jenis sup seperti Bouillabaisse Dan chicken sup yang dihidang bersama roti bun.

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine

Anda juga boleh mencuba kebab, seafood kebab, Moroccan salad dan macam-macam lagi yang membawa rasa yang sangat unik dan berbeza.

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine

Lengkapkan pengalaman makan anda di sini dengan Moroccan tea. Barulah best.

Argan Trees Pizzeria & Mediterranean Cuisine
  • Alamat: Sunblock, Jl. Teluk Baru, Jalan Pantai Tengah, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Selasa (05:00pm-10:30pm) | Rabu-Ahad (02:00pm-10:00pm) | Isnin (Tutup)

20. Telaga Seafood Restaurant

telaga seafood langkawi

Bila dah sampai ke Langkawi, tentulah nak makan makanan laut, bukan? Anda boleh datang ke Telaga Seafood Restaurant yang menghidangkan pelbagai jenis makanan laut.

Terletak di Pantai Chenang, restoran ini membawa konsep ala kampung dengan struktur restoran yang banyak menggunakan kayu dan dihiasi dengan atap yang berukir. Suasananya ceria dan dalam masa yang sama, sangat aman.

Menu utama di sini ialah masakan makanan laut. Malah, ikan, udang, lobster, ketam dan lain-lain boleh dipilih fresh dari dalam akuarium mereka. Betul-betul fresh ya makanan laut di sini.

telaga seafood langkawi

Hidangan seafood ini bertambah memuaskan apabila dipadankan dengan nasi goreng mereka.

Jadi bila anda makan beramai-ramai, bolehlah pesan macam-macam makanan laut seperti sotong goreng tepung, ikan goreng Thai atau stim, ketam dimasak dengan kari, macam-macam lagi.

telaga seafood chenang

Terdapat juga masakan a-la carte seperti makanan laut ala western, masakan Arab, masakan panas dan goreng-goreng dan sebagainya. Selepas menjamu selera, pastikan anda cuba juga aiskrim atau gelato mereka, barulah lengkap.

telaga seafood langkawi
Kredit Gambar : Oya Nazeera
  • Alamat: Telaga Seafood Restaurant, Jalan Pantai Chenang, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: 4pm-12am (setiap hari)

21. Pia’s the Padi

Destinasi ini menarik kerana lokasinya ibarat makan di rumah sendiri, dengan pemandangan indah sawah padi dikeliling namun masakan disini amat istimewa kerana disediakan oleh Chef !

pia's the padi langkawi
  • Alamat: Jalan Ulu Melaka, Kampung Padang Gaong, 07000 Langkawi
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (12.00pm–03.00pm & 06.00pm–09.00pm)

22. Ngopi Pantai

Jika anda mencari tempat santai untuk menikmati secawan kopi sambil ditemani angin laut, Ngopi Pantai Langkawi adalah lokasi yang wajib dikunjungi. Terletak di tepi Pantai Cenang, kafe ini menawarkan suasana chill dengan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan.

ngopi pantai langkawi

Menu di sini menampilkan pelbagai pilihan kopi premium, minuman istimewa, dan juga snek ringan yang sesuai untuk dinikmati sambil bersantai. Sama ada anda peminat latte, espresso, atau kopi kampung, setiap tegukan pasti memberi kepuasan.

ngopi pantai langkawi

Dengan dekorasi minimalis, suasana tenang, dan servis mesra, Ngopi Pantai Langkawi adalah tempat ideal untuk lepak dan menikmati ketenangan pantai sambil menghirup kopi yang berkualiti.

  • Alamat : Cenang Hill Beachfront Lot 113, Tasik Anak, Teluk Bharu, Jalan Pantai Tengah, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi : Setiap Hari (8AM-8PM)

23. Artisan Pizza

Kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Pantai Cenang sudah cukup menarik perhatian ramai orang untuk singgah.

Tapi ini bukanlah daya tarikan sebenar Artisan Pizza, kerana sebab utama ianya dibanjiri pelanggan adalah kerana kualiti pizzanya yang super-duper sedap!

artisan pizza langkawi

Ini adalah berdasarkan banyak review yang pernah dikongsikang oleh mereka yang pernah datang ke restoran ini.

Yang hebatnya, pujian ini diberikan oleh mat saleh sendiri yang menjadikan pizza sebagai makanan ruji mereka, power tak power?

artisan pizza

Tidak hanya menghidangkan pelbagai variasi pizza, restoran ini turut menawarkan fish & chips, seafood pasta, cheeseburger, sandwich, ais krim dan banyak lagi.

pizza langkawi

Harganya? Sangat berpatutan. Wajib singgah tau! Tak larat nak bergerak ke restoran? Artisan Pizza turut menyediakan khidmat delivery terus ke muka pintu secara percuma dari pukul 9 hingga 12 malam.

  • Alamat: Bandar Baru Baron Kuah, Perdana Quay, Telaga Harbour Park, Pantai, Kok, Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi : Setiap Hari Kecuali Ahad (6PM-11PM) | Ahad (Tutup)

24. HBL Food Corner

Ini adalah salah satu restoran masakan tempatan yang paling best di Langkawi. Apa yang anda terbayang nak makan?

Pelbagai masakan sayur, kari, ikan bakar, atau bermacam lagi masakan ala kampung lain, boleh didapati di HBL Food Corner.

HBL Food Corner

Walau apa pun lauk yang diambil untuk dimakan bersama nasi, gandingan paling penting untuk melengkapkan rasanya adalah kerabu bronok dan air asam, wajib!

Sambil menikmati makanan ini, anda boleh menyaksikan pemandangan Gunung Raya yang terbentang di depan mata.

  • Alamat: HBL Food Corner, Kampung Lubok Dalam, Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: 10.00am–04.00pm

25. Warung Jati Aisya

Warung Jati Aisya NAsi Campur
Kredit Gambar : Places And Foods

Masakan kampung memang terkenal di kalangan pelanggan sama ada yang datang dari negara ini atau pun dari luar negara. Ia menyediakan banyak pilihan lauk-pauk dengan pelbagai rasa.

Bukan itu sahaja, harganya juga murah dan sedap. Ditambah pula dengan gaya warung yang ditampilkan, membuatkan sesiapa yang datang pasti merasai suasana Malaysia yang sebenar

  • Alamat: 5, Jalan Chandekura, Kampung Bukit Lembu, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (07.00am–05.30pm)

26. EE Burger Trimula Cafe ( Pekan Kuah Langkawi )

Jangan tertipu dengan nama kafe ini, EE Burger Trimula Cafe, kerana kafe ini bukan hanya menghidangkan burger, tapi juga banyak lagi makanan lain seperti masakan grill, pasta, steak dan masakan tempatan lain.

Berkaitan dengan harganya, jangan terkejut, kerana ada hidangan yang lebih murah daripada gerai-gerai di jalanan.

Saiz hidangannya juga cukup mengenyangkan.

  • Alamat: 1, Persiaran Putera, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (05.00pm–12.00am) | Rabu (Tutup)

27. Kaki Gunung Café

Warung Jati Aisya NAsi Campur

Kalau anda giankan nasi Arab berlaukkan kambing yang enak dalam harga bajet, anda boleh singgah ke Kaki Gunung Cafe yang terletak hanyalah 10 minit sahaja dari tarikan Lafarge Langkawi Plant.

Warung Jati Aisya

Selain nasi Arab, makanan lain yang boleh anda cuba adalah seperti chicken wrap yang kaya dengan rasa, roti leleh, burger yang padu dengan keju, kebab kambing dan banyak lagi.

kaki Gunung cafe nasi arab

Bukan sekadar terkenal dengan nasi Arab, kedai makan ini turut menghidangkan masakan barat, Melayu dan Cina.

kaki Gunung cafe nasi arab langkawi
  • Alamat: 1448, Jalan Ulu Melaka, 07000 Langkawi
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (11.00am–11.00pm) | Jumaat (Tutup)

28. Veena Restaurant Thai Seafood

Pejamkan mata semasa menghirup kuah tom yam yang dihidangkan di sini, fikiran anda akan mula melayang seolah-olah betul-betul berada di Thailand.

Veena Restaurant Thai Seafood

Padat dengan rasa, pekat, pedas dan masam, mustahil untuk anda berhenti menghirup.

Ingin merasai pengalaman seindah ini? Anda boleh singgah ke Veena Restaurant Thai Seafood.

Hidangan di restoran ini bukan sahaja dapat membuatkan anda terasa seperti sedang bercuti di Thailand, tapi harganya juga sangat berpatutan.

Dicadangkan untuk datang ke sini sebelum pukul 8 malam untuk mengelakkan masalah meja penuh.

  • Alamat: 3, Persiaran Mutiara 2, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (05.00 pm–11.30pm)

29. Laksa Power

Saksikan pemandangan kapal terbang berlepas serta lautan biru yang tenang sambil menikmati laksa yang paling power pernah dirasai.

laksa ikan sekoq airport langkawi
Kredit Gambar : Travelling Bob

Setelah puas menghargai rasa laksa, anda boleh menikmati cendol yang turut dijual di sini untuk dijadikan pencuci mulut sambil menanti saat matahari terbenam ketika mana keindahan pemandangannya sukar diungkap dengan kata-kata.

  • Alamat: Jalan Kuala Muda, 07100 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (09.00am–08.00pm)

30. Jom Ikan Bakar

jom ikan bakar langkawi

Kempunan hidangan ala kampung ? Jom makan di Jom Ikan Bakar yang berlokasi di Padang Matsirat.

Gabungan nasi putih, ikan bakar yang berperencah secukup rasa, dimakan bersama dengan ulam dan sambal belacan, baunya saja sudah menarik selera.

Tempat makannya juga agak selesa untuk anda datang menikmati hidangan bersama keluarga. Sebelum pulang, anda boleh singgah ke gerai di sebelah untuk menyegarkan tekak dengan air coconut shake.

  • Alamat: Jom Ikan Bakar Masakan Ala-Kampung, Jalan Lapangan Terbang, Langkawi 07000
  • Waktu Operasi: Setiap Hari (09.00 am–05.00 pm)

31. Restoran Padang Pasir

Perut berbunyi pada pukul 2, 3 pagi? Mai singgah ke tempat makan yang dibuka 24 jam ni iaitu Restoran Padang Pasir.

restoran padang pasir langkawi
Kredit Gambar : Ong Weyjuo

Bermacam masakan mamak boleh anda cuba, antaranya adalah roti paratha, chapati, thosei, dosa, roti canai, ayam tandoori, kari, mee goreng dan macam-macam lagi!

Daripada kesemua menu yang ditawarkan, makanan paling penting untuk anda cuba di restoran ni adalah nasi kandar dan juga apom lenggangnya yang sungguh enak lebih-lebih kalau dinikmati semasa masih panas. Kadar harganya juga sangat berpatutan.

  • Alamat: 121, Jalan Padang Matsirat Kuah, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: 24 Jam

32. Golden Bamboo Cafe

Golden Bamboo Cafe di Pantai Cenang Langkawi adalah sebuah cafe yang sesuai untuk disinggahi bagi anda yang gemar berOOTD !

golden bamboo cafe langkawi
Kredit Gambar : Epic Adventures

Mana taknya, kafe yang diperbuat dari buluh ini cukup cantik dan instagrammable. Menu yang dihidangkan cukup pelbagai, tak hairanlah cafe ini bukan sahaja tempat makan biasa, tetapi dipenuhi pelancong asing !

golden bamboo cafe
Kredit Gambar : Epic Adventures
  • Alamat : PT 364, Jalan Lye, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi : Setiap Hari Kecuali Selasa (9AM-5PM)

33. Restoran Seashell

Terletak di tengah-tengah bentangan sawah padi, suasana yang nyaman dapat anda rasai sebaik menjejakkan kaki ke lantai kayu Restoran Seashell.

restoran seashell

Lokasinya, terletak tidak jauh dari Muzium Laman Padi. Alang-alang melawat muzium, jangan lupa untuk singgah ke restoran bergaya kampung ni ya? Menariknya, dekat sini ada juga pondok-pondok makan yang berasingan di tengah-tengah sawah padi ! Duduk disini, lebih 'privacy', kalau berdua dengan pasangan pasti terasa lebih romantis !

seashell

Bukan hanya sedap dipandang mata, masakan Melayu yang ditawarkan restoran ini juga sungguh enak.

Kesemuanya dihidangkan dalam saiz yang besar dengan kadar harga yang cukup berpatutan. Tiada sebab untuk tak singgah ke sini kan?

seashell langkawi
  • Alamat: Seashells Restaurant, Muzium Laman Padi, Kampung Lubok Buaya, Langkawi, Kedah
  • Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu (02.00pm–12.00am) | Rabu (Tutup)

34. Sungai Chenang Steamboat & Grill

Sungai Chenang Steamboat & Grill menawarkan buffet makan sampai tersandaq dengan pelbagai pilihan makanan laut, daging kambing, lembu, ayam serta ikan siakap tanpa caj tambahan.

Sungai Chenang Steamboat & Grill

Nikmati pengalaman grill menggunakan arang dengan aroma asli serta sup putih dan tomyam secara free flow.

Sungai Chenang Steamboat & Grill

Suasana santai, selesa, serta kemudahan seperti surau dan kawasan parkir yang luas menjadikannya pilihan menarik.

Paling best, bukan sahaja daging dan ayam yang dibakar sendiri sahaja tetapi menu yang sudah siap dimasak pun ada contohnya nasi goreng dan mee goreng.

Sungai Chenang Steamboat & Grill

Dibuka dari 6.30 petang hingga 12.00 tengah malam (tutup pada hari Selasa), dengan harga buffet RM34.90 (dewasa), RM24.90 (kanak-kanak 6-11 tahun), dan RM29.90 (warga emas 60 tahun ke atas).

Alamat : Jalan Pantai Chenang, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah


Haa, itulah 34 port makan terbaik di Langkawi yang wajib anda cuba kalau bercuti ke sini. Tak kira sama ada anda mencari hidangan tempatan yang asli, makanan laut segar, atau tempat lepak santai dengan view cantik, semuanya ada di pulau ni! Jadi, jangan lupa save artikel ni sebagai rujukan untuk trip anda nanti. Dah sampai Langkawi, jangan sekadar menikmati pantai je—puaskan juga selera dengan makanan-makanan terbaik yang ada. Selamat menjamu selera!

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA