Kalau korang peminat Stitch – si makhluk biru nakal dari filem Lilo & Stitch – sekarang masa terbaik untuk ke Gardens by the Bay, Singapura. Sempena kemunculan filem live-action Lilo & Stitch, festival kanak-kanak bertemakan Stitch pertama di Asia Pasifik tengah berlangsung dari 24 Mei hingga 15 Jun 2025. Dan paling best, masuk adalah percuma!

Dari permainan karnival sampai ke pertunjukan cahaya yang epik, ini 7 highlight yang korang tak boleh lepaskan bila datang ke Children’s Festival: Let’s Go Stitch!.
1. Pameran Bersaiz Gergasi Penuh Warna-warni
Supertree Grove kini dah bertukar jadi taman permainan berskala besar, siap dengan gelongsor bergelombang “Great ‘Ohana Wave” yang buat korang rasa macam tengah surfing kat Hawaii. Kanak-kanak boleh juga teroka “Forest of Belonging” – satu zon kembara interaktif yang meraikan keluarga dan persahabatan.

Ada juga “Space Adventure”, satu cabaran mini yang menguji semangat angkasawan cilik. Jangan lupa aktiviti “Stitch’s Mischief Makers” – tempat budak-budak boleh main pasir kinetik dan cipta karya kreatif sendiri.

Nak tambah keseronokan? Ambil buku laluan aktiviti percuma dan kumpul cop di setiap stesen. Kalau lengkap, boleh tebus poskad dan pelekat Stitch eksklusif. Tapi ingat, semua instalasi tutup pada jam 7 malam.
2. Permainan Karnival Bertemakan Stitch
Rasa macam di tapak pesta mini, korang akan jumpa pelbagai permainan dan aktiviti bertemakan ruang angkasa dan tropika. Memang boleh buat anak-anak seronok tak ingat dunia. Permainan ini dikenakan bayaran, tapi confirm berbaloi untuk pengalaman yang unik dan menyeronokkan.
3. Sesi Bertemu Stitch
Nak jumpa Stitch secara langsung? Datang pada 7 atau 8 Jun dan korang boleh ambil gambar dan peluk Stitch dekat Supertree Grove Lawn. Tapi tempat sangat terhad – hanya 4 sesi setiap hari (3.45pm, 4.45pm, 5.45pm dan 6.45pm) dan pas masuk diagihkan 15 minit sebelum setiap sesi. Siapa cepat, dia dapat.
4. Garden Rhapsody Versi Stitch
Waktu malam, Supertree Grove jadi hidup dengan pertunjukan cahaya istimewa bertajuk The Way to ‘Ohana. Iringan lagu-lagu ikonik dari Lilo & Stitch macam Hawaiian Roller Coaster Ride akan buat korang rasa macam betul-betul berada di pulau tropika. Show berlangsung dua kali setiap malam – 7.45pm dan 8.45pm. Memang penutup sempurna untuk hari penuh kenangan.

5. Gerai Jualan Barangan Eksklusif Stitch
Kalau korang kaki beli cenderamata, ini tempat wajib singgah. Gerai runcit dekat North Colonnade ni penuh dengan barangan Stitch edisi terhad – dari baju, aksesori sampai barangan bertemakan Supertree Gardens. Sesuai untuk dijadikan koleksi atau buah tangan.

6. Persembahan Muzik dan Tarian Tropika
Masa petang, suasana makin meriah dengan The Great Island Series – satu persembahan live dari Cake Theatre! yang gabungkan muzik, tarian dan elemen teater dengan vibe pulau yang santai. Persembahan ini berlangsung dari jam 5 hingga 7 petang pada hari-hari tertentu. Duduk santai, layan muzik dan hayati seni di bawah langit terbuka.

7. Bengkel Kreatif Bertemakan Tumbuhan dan Angkasa
Anak-anak yang suka aktiviti seni mesti akan suka bengkel DIY dekat Cannonball Room. Antara yang boleh dicuba ialah buat keychain bunga dalam “Circle of Blooms”, hasilkan kalung bunga di “Petals & Paradise”, dan cipta lantern bercahaya dalam “Cosmos Lanterns”. Ada juga bengkel slime “Goo-ey Fun!” dan sesi interaktif “Plants on the Move!” yang menggabungkan sains tumbuhan dengan keseronokan bermain. Caj dikenakan untuk setiap bengkel.

Kesimpulan
Kalau korang tengah cari aktiviti cuti sekolah yang luar biasa, Stitch-themed Children’s Festival ni memang kena masuk dalam senarai. Gabungan elemen angkasa, suasana tropika dan nostalgia Disney – semuanya dalam satu pengalaman ajaib di tengah-tengah Singapura.
Plan awal, bawa kamera, dan jangan lupa pakai baju Hawaii korang yang paling bergaya. Selamat ber’ohana’ di Gardens by the Bay!