HalalXPlorer Logo
skycab skybridge ticket price combo package operation hours
12 April 2025

Harga Tiket, Waktu Operasi & Segalanya Yang Anda Perlu Tahu Tentang SkyCab Langkawi & Tarikan Sekitarnya

Kongsikan:

Kalau datang ke Langkawi tapi tak singgah SkyCab, memang rugi besar. Terletak di kaki Gunung Machinchang, SkyCab bukan sekadar kereta kabel biasa. Ia adalah antara tarikan paling ikonik di pulau lagenda ini dan merupakan satu pengalaman yang wajib dicuba sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.

skycab langkawi gunung machincang gunung raya

Apa Yang Menarik Tentang SkyCab?

SkyCab Langkawi membawa anda merentasi hutan hujan tropika dan batuan tertua Asia Tenggara berusia lebih 550 juta tahun. Dari stesen bawah ke stesen puncak, perjalanan sepanjang 2.2 km mengambil masa kira-kira 15 minit dengan pemandangan yang luar biasa. Ada juga stesen tengah untuk anda berhenti dan menikmati panorama Langkawi dan pulau-pulau sekitarnya dari ketinggian 650m. Nak lagi tinggi? Teruskan ke Top Station, 708m dari aras laut!

skycab langkawi

Jenis-Jenis Gondola

Normal (biasa)

Setiap gondola boleh memuatkan 6 orang dengan jumlah berat maksimum 480kg. Secara keseluruhan, terdapat 53 unit gondola biasa dan perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke stesen puncak.

normal gondola

Kalau anda suka cabaran dan tak gayat, boleh cuba naik Bottom Glass Gondola – lantai lutsinar, jadi anda boleh nampak terus ke bawah hutan dan gaung. Nak lebih eksklusif dan selesa, pilih saja VIP Gondola, 360° Gondola atau Private Gondola. Apa bezanya ?

Gondola Lantai Kaca (Bottom Glass Gondola)

Jika anda seorang yang sukakan cabaran dan ingin merasai pengalaman unik, Gondola Lantai Kaca (Bottom Glass Gondola) di Langkawi SkyCab adalah pilihan yang tepat. Dengan lantai yang telus, anda dapat menikmati pemandangan hutan tropika dan formasi batuan berusia lebih 550 juta tahun betul-betul di bawah kaki anda. Pengalaman ini pasti akan mengujakan dan memberi perspektif berbeza semasa menaiki kereta kabel.

bottomglass gondola glassbottom

Untuk menikmati pengalaman ini, harga tiket bagi Gondola Lantai Kaca adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia:
    • Dewasa: RM93
    • Kanak-kanak: RM83
  • Pelancong Antarabangsa:
    • Dewasa: RM135
    • Kanak-kanak: RM115

Harga ini termasuk akses ke SkyDome, SkyRex, dan 3D Art Langkawi.

Gondola Lantai Kaca menggunakan laluan ekspres, membolehkan anda mengurangkan masa menunggu dan terus menikmati perjalanan ke puncak Gunung Machinchang. Setiap gondola boleh memuatkan sehingga 6 orang dengan had berat maksimum 480kg.

Nikmati keindahan semula jadi Langkawi dari perspektif yang berbeza dengan Gondola Lantai Kaca – satu pengalaman yang pasti tidak akan anda lupakan!

Gondola VIP

Jika anda mengutamakan privasi dan kemewahan semasa bercuti, VIP Gondola di Langkawi SkyCab adalah pilihan paling eksklusif yang anda patut cuba. Ia direka khas untuk memberikan keselesaan maksimum dan suasana yang lebih peribadi semasa anda menikmati pemandangan menakjubkan dari Gunung Machinchang.

vip gondola

Dengan gondola yang dihias mewah dan suasana eksklusif, anda bukan sahaja dapat menikmati perjalanan yang tenang diiringi alunan muzik menenangkan, malah anda juga akan dihidangkan dengan makanan dan minuman sepanjang perjalanan. Pengalaman ini sesuai untuk pasangan, keluarga kecil atau sesiapa sahaja yang mahukan layanan istimewa.

Harga VIP Gondola:

  • RM550 untuk satu gondola (maksimum 3 orang)

Harga ini termasuk:

  • Laluan ekspres (tanpa perlu beratur panjang)
  • Hidangan makanan & minuman
  • Pemandangan eksklusif dari gondola yang lebih luas dan selesa
  • Akses ke SkyDome, SkyRex dan 3D Art Langkawi

Untuk menikmati pengalaman VIP Gondola, anda boleh terus ke kaunter utama SkyCab atau tempah lebih awal secara dalam talian di laman web rasmi www.panoramalangkawi.com.

Privasi, keselesaan dan panorama luar biasa – semua ini menanti anda di VIP Gondola, Langkawi SkyCab.

360° Gondola

360° Gondola merupakan tarikan terbaharu yang ditawarkan oleh Langkawi SkyCab dan menjanjikan pengalaman yang jauh berbeza daripada gondola biasa. Dengan reka bentuk terbuka tanpa dinding kaca seperti gondola konvensional, anda akan merasai sendiri tiupan angin segar dari Gunung Machinchang sambil menikmati pemandangan semula jadi Langkawi secara terbuka sepanjang perjalanan menuju ke puncak.

360 gondola

Ia sesuai untuk mereka yang sukakan cabaran, ingin bergambar dengan pemandangan tanpa halangan, dan mahu merasai suasana lebih mendekati alam semula jadi. Perjalanan ini pasti membuatkan anda lebih teruja dan terpesona dengan keindahan panorama pulau ini dari sudut yang jarang dapat dilihat.

Harga 360° Gondola:

  • RM155 seorang (dewasa)
  • RM85 seorang (kanak-kanak)

Harga ini termasuk:

  • Tiket SkyCab (gondola 360°)
  • Akses ke tarikan lain seperti SkyDome, SkyRex dan 3D Art Langkawi
  • Laluan ekspres tanpa perlu beratur panjang

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, anda boleh layari laman rasmi www.panoramalangkawi.com atau terus ke kaunter tiket di Oriental Village.

Kalau anda nak rasa pengalaman yang luar biasa di langit Langkawi, gondola 360° ni memang tak boleh lepaskan.

Private Gondola

Kalau anda nak suasana yang lebih tenang dan eksklusif, Private Gondola memang pilihan paling tepat. Dengan tiket ini, anda akan menikmati satu gondola khas hanya untuk anda dan orang tersayang—tiada orang lain, tiada gangguan. Sepanjang perjalanan, anda boleh santai-santai menikmati keindahan panorama hutan tropika dan Gunung Machinchang dalam suasana privasi sepenuhnya.

Sesuai untuk pasangan, keluarga kecil, atau sesiapa sahaja yang nak pengalaman lebih peribadi ketika berada di awan-awan Langkawi.

Harga Private Gondola SkyCab Langkawi:

  • RM550 satu gondola (maksimum 6 orang)

Harga ini termasuk:

  • Tiket SkyCab (gondola peribadi)
  • Laluan ekspres (tanpa perlu beratur panjang)
  • Akses ke tarikan lain seperti SkyDome, SkyRex dan 3D Art Langkawi

Nak buat kejutan romantik, raikan hari istimewa atau sekadar nak ride dengan lebih tenang, Private Gondola ni memang pilihan yang tak menghampakan.

Tiket Masuk & Kombo Menarik

Kalau tak nak gondola yang mahal, anda boleh juga mengambil pakej kombo SkyCab yang biasa bersama tarikan-tarikan yang lain. Harga tiket SkyCab termasuk akses ke SkyDome, SkyRex, dan 3D Art Langkawi:

  • MyKad (Dewasa): RM43
  • MyKad (Kanak-kanak): RM33
  • Biasa (Dewasa): RM85
  • Biasa (Kanak-kanak): RM65
skycab admission

Maklumat Tiket SkyCab Langkawi

  • Tiket kanak-kanak layak untuk umur 3 hingga 12 tahun
  • Percuma untuk kanak-kanak berumur bawah 3 tahun
  • Perlu beratur seperti biasa
  • Masa menaiki gondola mengikut giliran
  • Berkongsi gondola bersama pengunjung lain (6 orang setiap kabin)
  • Pengalaman menaiki Standard Gondola
  • Tiket ini termasuk kemasukan percuma ke:
    • SkyDome
    • SkyRex
    • 3D Art Langkawi

Jika mahu lebih cepat, tambah RM50 untuk akses ke Express Lane

Terma & Syarat dikenakan

Nak lebih menarik? Cuba kombo seperti:

  • SkyBridge Combo (termasuk SkyBridge Nature Walk)
    • MyKad: RM47 (Dewasa), RM36 (Kanak-kanak)
    • Biasa: RM89 (Dewasa), RM68 (Kanak-kanak)

Maklumat Combo :

  • Tiket kanak-kanak layak untuk umur 3 hingga 12 tahun
  • Percuma untuk kanak-kanak berumur bawah 3 tahun
  • Termasuk akses ke:
    • SkyCab
    • SkyDome
    • SkyRex
    • 3D Art Langkawi
    • SkyBridge (laluan Nature Walk)

Tertakluk kepada terma & syarat

skybridge combo
  • Machinchang Petland Combo
    • MyKad: RM64 (Dewasa), RM49 (Kanak-kanak)
    • Biasa: RM121 (Dewasa), RM91 (Kanak-kanak)

Maklumat Tiket :

  • Tiket kanak-kanak layak untuk umur 3 hingga 12 tahun
  • Percuma untuk kanak-kanak berumur bawah 3 tahun
  • Termasuk akses ke:
    • SkyCab
    • SkyDome
    • SkyRex
    • 3D Art Langkawi
    • Machinchang Petland
  • Tambahan RM50 untuk akses Express Lane

Tertakluk kepada terma & syarat

machichang petland combo
  • 6D Cinemotion Combo
    • MyKad: RM56 (Dewasa), RM44 (Kanak-kanak)
    • Biasa: RM112 (Dewasa), RM82 (Kanak-kanak)

Maklumat Tiket :

  • Tiket kanak-kanak layak untuk umur 3 hingga 12 tahun
  • Percuma untuk kanak-kanak berumur bawah 3 tahun
  • Termasuk akses ke:
    • SkyCab
    • SkyDome
    • SkyRex
    • 3D Art Langkawi
    • 6D Cinemotion

Tertakluk kepada terma & syarat

6d cinemotion combo
  • Eagle’s Nest SkyWalk Combo
    • MyKad: RM68 (Dewasa), RM48 (Kanak-kanak)
    • Biasa: RM130 (Dewasa), RM100 (Kanak-kanak)

Maklumat Tiket :

  • Tiket kanak-kanak layak untuk umur 3 hingga 12 tahun
  • Percuma untuk kanak-kanak berumur bawah 3 tahun
  • Termasuk akses ke:
    • SkyCab
    • SkyDome
    • SkyRex
    • 3D Art Langkawi
    • Eagle’s Nest SkyWalk

Tertakluk kepada terma & syarat

eagle's nest skywalk

Semua pakej ni boleh ditempah secara dalam talian di laman rasmi www.panoramalangkawi.com dan anda hanya perlu imbas kod QR untuk masuk.

Tarikan Sekitar SkyCab

1. SkyBridge Langkawi
Jambatan melengkung sepanjang 125 meter ini menawarkan pengalaman berjalan atas awan. Harga tiket: RM6 (dewasa), RM4 (kanak-kanak).

skybridge langkawi

2. SkyGlide
Alternatif kepada trekking ke SkyBridge. Naik lif kaca dari puncak ke SkyBridge – RM16 (dewasa), RM11 (kanak-kanak) untuk dua hala.

skyglide

3. Oriental Village
Pusat komersial di kaki Gunung Machinchang. Ada lebih 90 kedai, kafe dan kiosk yang menjual cenderamata, makanan dan pakaian. Juga tersedia kemudahan surau, ATM dan money changer.

oriental village

4. Machinchang Petland Langkawi
Petting zoo yang menempatkan lebih 80 spesis haiwan jinak dan eksotik seperti raccoon, capybara, emu dan angsa hitam. Tempat yang sesuai untuk bawa anak-anak mengenali haiwan sambil berinteraksi.

machincang petland

5. 6D Cinemotion & SkyRex
Dua pengalaman hiburan imersif yang buat anda rasa macam dalam dunia filem aksi. SkyRex juga termasuk dalam semua tiket SkyCab.

skyrex

6. SkyBistro
Bersantai sambil menikmati kopi dan snek di puncak gunung dengan angin sejuk dan pemandangan 360°.

skybistro

7. Langkawi SkyTrail
Satu lagi tarikan buat yang suka trekking dan nak tahu lebih lanjut tentang geologi dan biodiversiti Gunung Machinchang.

skytrail

8. Telaga Tujuh (Seven Wells Waterfall)
Terletak berdekatan SkyCab. Air terjun yang membentuk tujuh kolam semula jadi – sesuai untuk berendam selepas penat berjalan. Waktu terbaik untuk datang: September – Disember (musim hujan, air banyak).

air terjun telaga 7 waterfall

Tips Penting Sebelum Datang

  • Datang awal pagi (sebelum jam 10 pagi) atau lewat petang (lepas jam 4) untuk elak cuaca panas dan barisan panjang.
  • Gunakan Express Lane jika tak nak menunggu lama terutama waktu cuti sekolah.
  • Pakai kasut selesa, kalau nak ke Telaga Tujuh atau berjalan ke SkyBridge.
  • Bawa air minum dan pelindung matahari, terutamanya kalau nak habiskan masa seharian di sini.
  • Parking luas tersedia, tapi cepat penuh masa hujung minggu.

Waktu Operasi

  • Setiap hari: 9.30 pagi hingga 7.00 malam

Cara Membeli Tiket Skycab Langkawi

Untuk memastikan pengalaman yang lancar, disarankan untuk membeli tiket secara dalam talian melalui laman web rasmi atau platform tempahan yang dipercayai. Jangan lupa untuk membawa MyKad bagi warganegara Malaysia semasa penebusan tiket.

Sekiranya anda menghadapi masalah untuk membeli tiket, ikuti langkah mudah di bawah. Jika masalah masih berterusan, jangan ragu untuk hubungi pasukan mereka

LANGKAH 1
Tempah tiket anda melalui laman tempahan atas talian kami dan buat bayaran menggunakan kad kredit, kad debit atau perbankan dalam talian.

LANGKAH 2
Selepas proses tempahan selesai, anda akan menerima dua emel:

  • Emel pertama daripada SenangPay sebagai pengesahan bayaran
  • Emel kedua mengandungi Invois bersama kod QR tiket

Emel ini mengandungi maklumat pembayaran, nombor tempahan, butiran produk, maklumat pelanggan dan nombor rujukan transaksi.

LANGKAH 3
Imbas kod QR dari emel anda di pintu masuk SkyCab untuk terus masuk. Anda juga boleh cetak tiket sebagai pilihan tambahan.

Nota Penting:
Jika anda tidak menerima emel dengan invois dan kod QR, sila semak folder spam atau junk mail terlebih dahulu. Jika masih tidak ada, sila hubungi mereka di:

Sertakan maklumat berikut:

  1. Kod transaksi (daripada SenangPay)
  2. Nombor pesanan (Invois)
  3. Jumlah bayaran
  4. Butiran produk
  5. Kod QR

Untuk pemegang tiket khas seperti Private Gondola, VIP Gondola, Glass Bottom Gondola, 360 Gondola dan Express Lane, anda dikehendaki memperkenalkan diri kepada staf di pintu masuk SkyCab untuk bantuan lanjut.

Lokasi & Alamat

Terletak di bahagian barat pulau utama Langkawi, Langkawi SkyCab berada di Oriental Village, di kaki Banjaran Gunung Machinchang. Perjalanan mengambil masa kira-kira 39 minit dari Pekan Kuah dan hanya 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Untuk memudahkan carian, anda boleh muat turun aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Map di peranti elektronik anda dan cari “Langkawi Cable Car” sebagai panduan arah ke Langkawi SkyCab.


Kesimpulan

Langkawi SkyCab bukan sekadar tempat naik kereta kabel, tapi satu dunia pelbagai pengalaman – dari puncak gunung, ke jambatan tergantung, ke taman haiwan eksotik dan ke dunia filem imersif. Kalau anda bercuti di Langkawi, pastikan Oriental Village dan semua tarikan SkyCab masuk dalam itinerari anda. Sangat berbaloi dan pasti tak menyesal!

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA