Rancang untuk terbang ke luar negara? Kini warganegara Malaysia boleh melepasi imigresen dengan lebih pantas di KLIA melalui sistem MyBorderPass QR. Dengan sistem ini, masa pemprosesan imigresen melalui autogate dapat dikurangkan daripada 15-25 saat kepada hanya 5 saat!
Yang menariknya, anda tidak perlu mengeluarkan pasport sepanjang proses pelepasan imigresen.
Apa Itu MyBorderPass QR?
Sistem MyBorderPass QR menggantikan keperluan untuk menyerahkan pasport secara fizikal di kaunter imigresen. Sebaliknya, pengguna hanya perlu mengimbas QR code yang dihasilkan melalui aplikasi MyBorderPass.
Setakat ini, Jabatan Imigresen telah memasang 40 lorong MyBorderPass di KLIA, dengan 20 lorong di KLIA Terminal 1 dan 20 lagi di KLIA Terminal 2.
Berikut adalah panduan lengkap untuk menyediakan aplikasi MyBorderPass dan cara menggunakannya:
Cara Mendaftar Aplikasi MyBorderPass
Pendaftaran MyBorderPass mudah dan hanya memerlukan telefon pintar serta pasport fizikal anda. Ikuti langkah berikut:
- Muat turun aplikasi MyBorderPass dari Google Play Store atau Apple App Store.
- Pilih "Daftar Sekarang" (REGISTER NOW) jika ini kali pertama anda menggunakan aplikasi.
- Benarkan aplikasi mengimbas halaman butiran pasport anda. Pastikan zon bacaan mesin (MRZ) di bahagian bawah halaman kelihatan.
- Aplikasi akan mengambil butiran seperti nama penuh, nombor IC, jantina, tarikh lahir, nombor pasport, dan tarikh tamat pasport.
- Isikan maklumat hubungan anda.
- Ambil swafoto (selfie) untuk tujuan pengesahan wajah.
- Pendaftaran selesai!
Untuk keselamatan tambahan, aplikasi memerlukan PIN 4 digit yang perlu dimasukkan setiap kali anda membukanya. Kod QR juga diperbaharui secara automatik setiap 60 saat.
Jika pasport anda diperbaharui, anda boleh menggunakan fungsi "Update Passport" untuk mengemaskini butiran pasport baharu.
Cara Menggunakan MyBorderPass QR
- Pastikan aplikasi MyBorderPass telah dipasang dan QR code tersedia.
- Pergi ke lorong MyBorderPass di KLIA.
- Imbas kod QR anda di pintu masuk lorong.
- Pintu pertama akan terbuka, dan anda perlu mengimbas wajah untuk pengesahan terakhir.
- Setelah pengesahan selesai, pintu kedua akan terbuka, dan anda boleh meneruskan perjalanan.
Sekiranya berlaku sebarang isu semasa imbasan di lorong MyBorderPass, anda boleh menggunakan kaunter imigresen manual yang masih disediakan.
Perkara Penting Tentang MyBorderPass
- Pasport fizikal masih diperlukan. Sistem ini bertujuan mempercepatkan proses imigresen tetapi pasport sah tetap wajib untuk perjalanan antarabangsa.
- Pilihan, bukan keperluan. Lorong MyBorderPass adalah pilihan. Autogate sedia ada dan kaunter manual masih boleh digunakan.
- Satu pengguna untuk satu telefon. Buat masa ini, aplikasi tidak menyokong penambahan ahli keluarga atau pasport tambahan.
- MyDigital ID bakal hadir. Fungsi ini sedang dibangunkan dan akan ditambah pada masa hadapan.
Sekiranya anda menukar telefon, muat turun semula aplikasi dan pilih "Change New Device". Anda hanya perlu memasukkan butiran seperti IC, tarikh lahir, nombor pasport, dan tarikh tamat pasport untuk log masuk semula.
Dengan sistem ini, Malaysia menyertai negara-negara maju seperti Singapura dalam memodenkan proses imigresen. Sudahkah anda mencubanya?